Sistem Kewangan Malaysia Teguh - Kumpulan Bank Dunia

Diterbitkan: Selasa, 15 Mac 2016 2:50 PM

Dr Ulrich Zachau

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sistem kewangan Malaysia yang kukuh berbanding negara Asean serta dunia bukan sahaja telah menimbulkan kekaguman tetapi kepakarannya kini sedang dicari ramai, kata Kumpulan Bank Dunia.

Pengarah Negara bagi Asia Tenggara (Brunei, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Thailand), Asia Timur dan Rantau Pasifik, Dr Ulrich Zachau berkata banyak negara telah mencari kepakaran Malaysia untuk memperbaiki sistem kewangan mereka.

Katanya, Malaysia lebih kehadapan dan teguh di kalangan negara lain dari segi akses kredit dan jumlah penduduk yang mempunyai laluan kepada kemudahan pelaburan kewangan yang sofistikated.

"Ini adalah hasil daripada usaha dan pembangunan bersistematik oleh pihak awam dan swasta selama beberapa dekad," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Program Pasaran Baru Muncul Global(GEMP) anjuran Suruhanjaya Sekuriti di sini, Selasa.

Katanya, fokus Malaysia dan peraturan-peraturan yang ketat ke atas tadbir urus kewangannya telah menarik banyak negara untuk mencontohi negara ini.

"Selain Asean, negara-negara di Timur Tengah juga mencari manfaat daripada perkhidmatan kewangan Malaysia untuk mengukuhkan sistem mereka sendiri," katanya.

Zachau ketika ditanya mengenai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini, berkata Bank Dunia telah mengekalkan unjurannya pada kadar 4.5 peratus.

"Pada ketika ini, unjuran kami masih 4.5 peratus.

"Bagaimanapun, kami akan sentiasa menyemak semula dan analisis dalaman kami akan keluar dengan unjuran baharu dalam tempoh sebulan dari sekarang," katanya.

Tahun lepas, Bank Dunia meramalkan KDNK Malaysia akan berkurangan kepada 4.5 peratus pada 2016, berbanding 4.7 peratus pada 2015, mencerminkan beberapa kelembapan di dalam permintaan domestik.

Badan kewangan antarabangsa itu berkata permintaan domestik diunjurkan akan terus berkembang dan menjadi pemacu utama pertumbuhan walaupun permintaan global mengalami kelembapan.

Sementara itu, program tiga hari yang bermula hari ini, merupakan satu platform untuk pengawal selia pasaran modal membuat pertukaran maklumat dan idea bagi menggalakkan kerjasama merentas sempadan dalam membangun, melaksana dan mematuhi standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kira-kira 200 pengawal atur dan industri pasaran modal dari 23 buah negara menghadiri GEMP.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan