suria

MAHB Rancang Tingkat Kapasiti KKIA Tampung 16 Juta Penumpang Setahun

KOTA KINABALU: Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) merancang meningkatkan kapasiti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi menampung 16 juta penumpang setahun yang dijangkakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata perkara itu merupakan rancangan jangka panjang dalam usaha mereka menjadikan KKIA, yang kini menampung sembilan juta penumpang setahun, sebagai hub penerbangan di rantau ini.

"Kami perlu mula merancang. Saya rasa ada peluang untuk berbuat demikian sekiranya terdapat permintaan bagi hab seperti Kota Kinabalu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di KKIA, di sini, Isnin.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan melihat secara berterusan keperluan menaik taraf kemudahan dan pengembangan infrastruktur di KKIA sebagai usaha meningkatkan keupayaan operasi serta memberi keselesaan kepada penumpang.

Badlisham berkata ini termasuk perancangan menambah sebanyak 10 tempat letak kapal terbang baharu yang dijangka dibina mulai hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Menurutnya, penambahan tempat letak kapal terbang itu akan memudahkan syarikat penerbangan meletakkan pesawat bermalam di KKIA sebelum memulakan penerbangan seterusnya.

"Kami memiliki lebih daripada mencukupi (tempat letak kapal terbang). Kami menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan untuk datang dan menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab," katanya.

Setakat ini, katanya, KKIA mempunyai 22 tempat letak kapal terbang, yang mana 20 daripadanya digunakan setiap malam oleh pelbagai syarikat penerbangan.

Badlisham turut memaklumkan syarikat penerbangan Tigerair Taiwan akan memulakan operasi di KKIA pada Mac ini.-- Bernama



MAHB, KKIA, Badlisham Ghazali

Artikel Lain