suria

Empat Pelabur Tunjuk Minat Melabur Di Taman Industri Halal Gambang

KUANTAN: Empat pelabur baharu dalam kluster pengeluaran makanan menunjukkan minat untuk melabur di Taman Industri Halal Gambang, dengan jumlah pelaburan dijangka bernilai RM280 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan kerajaan negeri sedang berbincang secara aktif dengan pelabur-pelabur berkenaan.

"Setakat ini, hanya satu sahaja syarikat diluluskan, iaitu Gelnas Sdn Bhd dengan jumlah pelaburan sebanyak RM153.6 juta," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini, Khamis.

Adnan berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail (BN-Pulau Tawar) yang ingin tahu perkembangan cadangan membangunkan hab halal di Pahang dan jumlah syarikat yang melabur dalam industri itu.

Beliau berkata berdasarkan anggaran terkini pelabur berpotensi baharu dan syarikat yang diluluskan, pecahan syarikat tempatan kepada syarikat antarabangsa ialah 42:58 peratus.

Taman Industri Halal Gambang diluluskan pada 21 Julai 2010 dengan keluasan kira-kira 100 hektar, merangkumi lot industri dan komersial, gudang, pusat pengumpulan, pemprosesan serta pembungkusan. 

Taman tersebut telah mendapat status Halal Malaysia (Halmas) daripada Perbadanan Pembangunan Industri Halal pada 18 Ogos 2011. -- Bernama 

Artikel Lain