suria

Takaful Ikhlas Sumbang 18 Ekor Lembu Korban

SUNGAI SIPUT: Takaful Ikhlas Berhad menyumbang 18 ekor lembu untuk ibadah korban kepada 59 buah perkampungan Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang, bersempena Aidiladha.

Ketua Pegawai Komersial Keluarga Takaful Ikhlas, Wan Rosli Shaharuddin Wan Yaacob berkata selain itu, sebanyak 12 ekor kambing bagi melaksanakan ibadah aqiqah turut disumbangkan kepada penduduk setempat.

"Program menerusi tanggungjawab sosial korporat itu diadakan setiap tahun di seluruh negara bertujuan untuk mendekati golongan yang memerlukan. Kesemua daging korban akan diagih kepada fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal, orang kelainan upaya, warga emas serta mualaf daripada masyarakat Orang Asli.

"Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, Takaful Ikhlas sentiasa prihatin dengan nasib serta kesusahan anggota masyarakat," katanya ketika berucap pada Program Korban Takaful Ikhlas bersempena Aidiladha di perkarangan Surau Baiturrahman, Kampung Kenang di sini, Sabtu.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Lintang Datuk Dzolkafly Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Dr Amiruddin Muhamed.

Wan Rosli Shaharuddin berkata aktiviti korban itu dilakukan secara bergotong-royong membabitkan penyertaan kakitangan Takaful Ikhlas serta penduduk setempat.

Pada majlis itu, Takaful Ikhlas turut menyampaikan zakat berjumlah RM30,000 kepada MAIPk untuk mengadakan aktiviti dakwah dan sumbangan RM5,000 untuk pembangunan Surau Baiturrahman.

Takaful Ikhlas turut mengadakan program korban di Masjid Darul Hana, Kampung Patingan, Kuching di Sarawak hari ini dan menyumbangkan sebanyak 12 ekor lembu.

Takaful Ikhlas

Artikel Sebelum

Artikel Lain