Jobstreet Masih Mencari Perniagaan Baharu Untuk Dibeli

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2015 11:35 PM

jobstreet
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jobstreet Corporation Bhd menegaskan yang ia masih mencari peluang untuk membeli perniagaan baharu selepas menjual perniagaan portal pekerjaan dalam taliannya tahun lepas.

Ketua Pegawai Kewangan, Greg C. Poarch berkata, bagaimanapun syarikat itu tidak tergesa-gesa berbuat demikan berikutan penyusutan ringgit yang menjadikan pembelian perniagaan baharu kini tidak berbaloi.

“Kami telah berbincang dengan beberapa pihak daripada pelbagai sektor, tetapi setakat ini belum membuat sebarang keputusan mengenainya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan di sini, Selasa.

Jobstreet menjual perniagaan portal pekerjaan dalam talian kepada syarikat senaraian awam Australia, Seek Ltd untuk RM1.89 bilion pada 20 November 2014 melalui anak syarikat Seek, iaitu Seek Asia Investment Ltd.

Sebelum jualan itu, Seek Asia memiliki 22 peratus saham dalam perniagaan portal pekerjaan dalam talian Jobstreet.

Poarch juga menegaskan yang syarikat itu mampu mengekalkan perniagaannya dalam tempoh dua tahun akan datang melalui aktiviti pelaburan di Malaysia, Taiwan dan Hong Kong, termasuk pendapatan sewa aset daripada ibu pejabat Wisma Jobstreet yang dimilikinya.

Untuk keputusan suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015, Jobstreet mencatat lebih 100 peratus peningkatan dalam untung sebelum cukai kepada RM2.82 juta berbanding RM1.3 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Peningkatan itu disebabkan kenaikan pendapatan operasi, pendapatan faedah serta perkongsian keuntungan ekuiti syarikat bersekutu, tetapi sebahagiannya terjejas oleh peningkatan perbelanjaan operasi.

Tags / Kata Kunci: Jobstreet

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan