KWSP Sasar 26 Peratus Aset Asing Dalam Tempoh Tiga Tahun

Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 7:59 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dana pelaburan persaraan terbesar Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menyasarkan untuk meningkatkan aset asingnya kepada 26 peratus daripada jumlah keseluruhan aset dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, peningkatan itu adalah kira-kira satu peratus setahun daripada 23 peratus sekarang.

"Pertumbuhan aset asing itu akan disumbang oleh pendapatan tetap, ekuiti dan hartanah," katanya kepada pemberita pada sesi taklimat mengenai keputusan pelaburan kumpulan itu pada 2014, di sini, Isnin.

Menurutnya, pendedahan terhadap luar negara itu adalah sebahagian daripada program kepelbagaian untuk menjana pulangan yang konsisten dalam jangka panjang.

Tahun lepas, pendapatan pelaburan kasar KWSP meningkat 11.66 peratus kepada  RM39.08 bilion daripada RM35 bilion dicatatkan pada 2013 yang kebanyakannya dipacu oleh pasaran domestik dan ekuiti global.

Pelaburan global menyumbang 33 peratus daripada keseluruhan pendapatan biarpun hanya mewakili 23 peratus daripada jumlah keseluruhan aset.

Dana wang persaraan itu turut mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.75 peratus iaitu peningkatan 40 mata asas bagi 2014 berbanding 6.35 peratus yang dibayar pada tahun sebelumnya.

Bagi unjuran masa depan, Sharil Ridza turut menjangkakan KWSP untuk terus menawarkan dividen lebih stabil tahun ini biarpun berdepan ketidaktentuan pasaran global dan domestik.

Menurutnya, KWSP juga kurang terjejas akibat penyusutan ringgit kerana sebahagian besar pelaburannya bertumpu di Malaysia.

"Sebahagian besar pelaburan kami adalah pasaran domestik dan biarpun  sentimen terhadap produk pelaburan dan mudah tunai dalam jumlah besar agak terhad, kami tetap kekal optimis berikutan asas pasaran tempatan kami yang kukuh," katanya.

Bersandarkan pendirian itu, kata Sharil Ridza, KWSP akan terus meneroka peluang dalam pasaran tempatan yang bersesuaian dengan profil risiko pulangannya.

Sehingga 31 Disember tahun lepas, keseluruhan aset pelaburan KWSP adalah  RM636.53 bilion iaitu meningkat 7.91 peratus daripada RM589.87 bilion yang dicatatkan pada 2013.

Sementara itu, mengulas pelantikan pengerusi Battersea Project Holding Company Ltd, beliau berkata, pihaknya menyerahkan keputusan mengenainya dibuat oleh syarikat konglomerat Sime Darby Bhd dan firma hartanah terkemuka, SP Setia Bhd, yang masing-masing memiliki pegangan 40 peratus dalam projek itu dengan baki 20 peratus dipegang KWSP.

Laporan media bulan lepas menyatakan Pengerusi Projek Battersea ketika ini, Tan Sri Liew Kee Sin, berhasrat untuk berundur bagi memberi tumpuan terhadap projek pembangunan hartanah lain di United Kingdom.

Mengulas isu penyenaraian aset tenaga 1Malaysia Development Bhd, Sharil Ridza berkata, KWSP tidak dipelawa oleh mana-mana pihak untuk bertindak sebagai  pelabur dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO).

"Sudah pasti, sebagai pelabur terbesar di Bursa Malaysia, kami mahu meneliti setiap IPO yang memasuki pasaran," katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, KWSP perlu menunggu bagi semua urusan dimuktamadkan dan diluluskan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan