suria

Perniagaan Selepas Jualan Bakal Sumbang 25 Peratus Kepada Pendapatan - Perodua

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjangka perniagaan selepas jualan menyumbang 25 peratus kepada pendapatannya  menjelang akhir tahun ini berbanding 15 hingga 20 peratus sekarang, berikutan  penubuhan banyak fasiliti baharu dan serta kenderaan Perodua di atas jalan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata syarikat menyasarkan untuk mempertingkat penerimaan (bilangan kenderaan menggunakan perkhidmatan pusat penyenggaraannya) sebanyak 2.4 peratus kepada 1.97 juta daripada 1.92 juta pada 214.

"Berdasarkan kepada jangkaan peningkatan ini, kami unjur pendapatan daripada penerimaan meningkat tahun ini kepada RM306 juta daripada RM303 juta pada 2014.

"Kami juga menyasarkan untuk mengembangkan jualan alat ganti dan aksesori sebanyak 6.2 peratus kepada RM258.9 juta tahun ini berbanding RM243.7 juta pada  2014," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Aminar berkata, Perodua menjual 16,600 unit kereta bulan lepas berikutan sokongan berterusan untuk model terkini Axia, Myvi dan Alza.

Beliau berkata, sasaran jualan sebelum ini akan dikekalkan dan jika ada semakan semula ia akan dibuat pada pertengahan tahun.

"Kami bersyukur, setakat ini tempahan untuk Axia dan Myvi baharu adalah kukuh.

"Kami menjual 16,600 unit pada Januari (2015) walaupun berhadapan persekitaran yang mencabar dan ini boleh menandakan penguasaan 31 peratus daripada pasaran tempatan," kata Aminar.

Perodua sebelum ini menetapkan sasaran jualan 208,000 unit bagi 2015, peningkatan enam peratus berbanding 2014 yang merekodkan 195,600 unit, dalam usahanya untuk kekal sebagai peneraju jenama kereta kompak paling digemari di Malaysia.

Selain mempertingkat kapasiti bagi mengendalikan lebih banyak penerimaan, Aminar berkata Perodua juga mempertimbang untuk menjual sendiri kereta pramilik, satu langkah untuk meningkatkan kegiatan hiliran.

"Kami sedang mencari lokasi di Lembah Klang untuk menubuhkan pusat kereta pramilik kami yang pertama dan kami berhasrat untuk mula menjual sendiri unit Perodua pramilik menjelang suku ketiga tahun ini," katanya.

Beliau juga membayangkan pelancaran model baharu dalam masa terdekat.

"Sekadar tiga model tidak mencukupi," katanya yang bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai model baharu itu dan pelancarannya.


Perodua, Aminar Rashid Salleh, Myvi, Axia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain