suria

Miti Optimis Data Dagangan Malaysia bagi Suku Pertama 2015

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) optimis dengan data perdagangan Malaysia bagi tempoh suku pertama 2015 biar pun berdepan ketidaktentuan harga minyak mentah ketika ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Lee Chee Leong berkata, walaupun jangkaan harga minyak mentah terus menurun, segmen pembuatan dan pelancongan sebaliknya diunjur sebagai penyumbang data bagi tempoh suku pertama berkenaan.

"Berdasarkan angka perdagangan tahun lepas, ia masih lebih baik berbanding 2013. Namun, berikutan penurunan ringgit sekarang, saya unjurkan dua segmen itu untuk mengimbangi data perdagangan negara.

"Bagaimanapun, ia semestinya turut bergantung kepada persekitaran ekonomi global," katanya.

Bagi tempoh suku pertama 2013, jumlah perdagangan Malaysia adalah RM322.71 bilion.

Lee berkata demikian kepada wartawan selepas majlis pelancaran Program Sarjana Perdagangan Antarabangsa (MIT) Universiti Perdana, di sini, Isnin. Program perintis berkenaan dijangkakan akan membentuk aspek pengajian perdagangan antarabangsa di rantau ini.

Ia hasil kerjasama dengan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) dan Fakulti Sains Gunaan, Pengurusan dan Undang-Undang (ZHAW) Universiti Zurich dengan sokongan Miti.

Program komprehensif 12 modul itu boleh ditamatkan dalam masa 15 bulan dengan tempoh maksimum pengajian selama empat tahun.

Lee turut menyifatkan kolaborasi program MIT itu sebagai bertepatan pada masanya ketika perdagangan antarabangsa dianggap penting bagi menyokong serta memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Menerusi tawaran program Universiti Perdana yang menyediakan lima tempat untuk Miti, pegawai kita berpeluang meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang seperti rundingan perdagangan serta hal ehwal berkaitan dagangan antarabangsa," katanya.



Miti, data dagangan, minyak mentah

Artikel Berikut

Artikel Lain