suria

Anak Syarikat Eversendai Peroleh Kontrak RM44 Juta Di Dubai

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Eversendai Corp Bhd di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) memperoleh kontrak bernilai RM44 juta untuk kerja-kerja di Arena Nas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, penyedia perkhidmatan pakar kejuruteraan dan pembinaan itu berkata kontrak tersebut untuk kerja-kerja rekaan sambungan, memasang siap serta membekalkan dan mendirikan struktur keluli bagi Arena Futsal dan Bola Tampar Tertutup Nas.

Arena baharu itu yang berkapasiti 5,000 tempat duduk akan diguna untuk penganjuran pertandingan peringkat antarabangsa, katanya.

Pengerusi Eksekutif/Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri AK Nathan berkata,  Eversendai kekal sebagai pemain kukuh dalam industri kerana mempunyai kumpulan pengurus, jurutera dan tenaga kerja mahir berpengalaman.

"Kami bersandar pada reputasi kami dalam membida projek-projek yang bakal dilaksana bersempena Ekspo Dunia Dubai 2020 dan pada masa sama memperkukuh kedudukan kami sebagai peserta global dalam pasaran pembinaan yang berkembang pesat di Timur Tengah.

"Menerusi pengalaman luas kami dalam kerja-kerja struktur keluli di rantau berbeza, kami menampilkan keupayaan kami dari segi sumber dan teknologi bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam industri yang sentiasa berkembang ini," katanya.


Eversendai Corp, UAE, Arena Nas

Artikel Lain