suria

Secure Parking Rancang Lengkapi 110 Tempat Parkir Dengan Aplikasi 'Parkaide'

KUALA LUMPUR: Secure Parking Corporation Sdn Bhd merancang untuk melengkapi 110 kawasan parkir kendaliannya dengan aplikasi 'parkaide' menjelang pertengahan 2015.

Aplikasi berbentuk penyelesaian parkir tanpa tiket itu yang memanfaatkan kelebihan telefon pintar dilaksana dengan kerjasama ParkAide Mobile (M) Sdn Bhd.

Pada masa ini 20 kawasan parkir di Lembah Klang sudah dilengkapi aplikasi itu yang membolehkan pengguna menerima diskaun lima peratus daripada caj perkhidmatan jika mereka memuat turun dan menggunakan aplikasi itu menjelang hujung tahun ini, kata Pengarah Urusan Secure Parking, Edward Poh dalam sidang media, di sini, Selasa.

Poh berkata, kumpulan itu menyasarkan penggunaan inovasi tersebut di lebih 1,000 kawasan parkir di negara-negara Asia Pasifik seperti Australia, Singapura dan China menjelang hujung 2015.

Ketua Pegawai Teknologi ParkAide, Jason Soong berkata, aplikasi itu akan mengubah perniagaan operator kawasan parkir dan peniaga yang beroperasi dari fasiliti parkir.

"ParkAide menggembleng pelbagai ciri yang membolehkan mereka mengangkat perniagaan ke tahap lebih tinggi termasuk perbelanjaan modal sifar, mudah dipasang, mesra alam dan kos penyelenggaraan dikecualikan," katanya.

Katanya, token tambah nilai boleh dibeli dalam talian dengan minimum 5,000 token berharga RM55.


Artikel Lain