suria

Harga Kereta Pasca CBP Bergantung Kepada Tukaran Asing - Kastam

KUALA LUMPUR: Harga kereta baharu secara umumnya dijangka turun antara satu dan tiga peratus selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), tetapi akan diimbangi oleh harga tinggi komponen kenderaan yang diimport berikutan faktor pertukaran asing.

Komponen kenderaan kebanyakannya diimport dari Jepun dan jika yen meningkat berbanding ringgit, penjimatan satu hingga tiga peratus boleh berkurangan kerana kos komponen kini akan lebih tinggi dan akan mempengaruhi harga kereta.

Pengarah Bahagian CBP Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Subromaniam Tholasy berkata tiada siapa tahu kadar pertukaran asing sebenar pada Disember ini atau Januari tahun depan.

"Oleh itu, saya tidak akan sekali-kali mengatakan bahawa harga kereta akan turun. Saya tidak tahu, tiada siapa yang tahu," katanya.

CBP yang akan berkuat kuasa pada 1 April, 2015, sepatutnya menurunkan harga kereta antara satu peratus dan tiga peratus.

"Terdapat sedikit penjimatan tetapi kita perlu ingat, kos terbesar bagi kereta bukan komponen cukai, iaitu CBP, tetapi kadar pertukaran asing.

"Secara teorinya, harga akan turun, antara satu hingga tiga peratus. Tetapi, kita perlu ingat, itu untuk kereta baru," katanya dan menambah secara tidak langsung akan turut menjejaskan harga kereta lama.

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus akan dimansuhkan pada 1 April, 2015 dan diganti dengan CBP yang ditetapkan pada enam peratus.

Dalam laporan sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Mohamad Madani Sahari berkata pelaksanaan CBP pada 2015 bakal merangsang permintaan bagi kenderaan dengan pengurangan harga disebabkan oleh pemansuhan SST.

Beliau berkata jumlah keseluruhan industri (TIV) lebih baik tahun ini berbanding tahun lepas didorong oleh kempen jualan yang agresif oleh peserta industri.

Unjuran TIV bagi tahun ini daripada 670,000 unit telah disemak semula kepada 680,000 unit.

MAI melaporkan TIV bagi tempoh Januari hingga Julai berjumlah 11,490 unit atau tiga peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2013.


CBP, GST, Kastam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain