suria

Kanger Bakal Muktamad Perjanjian Dengan Pemaju Malaysia

Xingmin menunjukkan produk lantai yang dihasilkan Kanger.
SHENZHEN:Pembuat lantai buluh dari China, Kanger International Bhd memperoleh perniagaan di Malaysia selepas sembilan bulan disenaraikan di Pasaran ACE.


Syarikat itu semakin hampir memuktamadkan perjanjian dengan pemaju Malaysia untuk membekalkan lantai buluh bagi projek hartanah syarikat tersebut menjelang hujung tahun ini, kata Pegawai Eksekutif Kanger, Amita Chong.

Kanger merancang untuk melancarkan pejabat jualan di Kuala Lumpur menjelang akhir 2015 bagi mengembangkan perniagaannya dan membolehkan syarikat berhubung terus dengan pemaju tempatan, katanya.

"Kira-kira lima hingga enam tahun lepas, pembuat lantai buluh China cuba menembusi pasaran Malaysia tetapi produk mereka tidak serasi dengan keadaan iklim negara yang lembap.

"Kanger mengubah keadaan itu menerusi kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan menghasilkan produk yang sesuai untuk keadaan iklim tempatan," katanya kepada pemberita pada pelancaran pejabat korporat baharu Kanger di taman teknologi di sini.

Syarikat pembuat lantai itu sedang melaksanakan penyelidikan dan pembangunan secara usaha sama dengan FRIM sejak 2010.

Kanger disenaraikan di Pasaran ACE pada Disember 2013.

Antara pemegang kepentingan terbesarnya di Malaysia ialah Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail, yang merupakan adinda Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamallulail.

Kedua-dua mereka masing-masing memiliki 3.2 peratus saham.

Menurut Pengarah Urusan syarikat Leng Xingmin, Kanger sedang berbincang dengan kerajaan negeri Perlis dan Perak tentang kemungkinan membeli tanah bagi menanam pokok buluh.

Bercadang memperoleh tanah dengan keluasan keseluruhan sekurang-kurangnya 4,000 hektar, Kanger berharap urus niaga itu dapat dimuktamadkan awal tahun depan.

Ladang buluh itu bagi memastikan syarikat mempunyai bekalan mencukupi sebelum membangunkan kilang pengeluarannya di Malaysia.

Kilang itu sebagai tambahan kepada dua kilang sedia ada di China iaitu di Yanshan dan Ganzhou.

Kanger sebelum ini memaklumkan merancang untuk disenaraikan di Pasaran Utama menjelang 2016.

Di China, Kanger memperuntukkan 50 juta yuan bagi pembesaran kilang dan kedainya.

Syarikat menyasarkan untuk membuka lebih 100 kedai di seluruh China berbanding 40 sekarang.



Kanger, lantai buluh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain