NCIA Labur RM2 Juta Beli Alat Bantu Petani Menerusi Projek Nestle Di Kedah

Diterbitkan: Selasa, 22 Julai 2014 3:01 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan melabur RM2 juta untuk membeli peralatan dan jentera baharu bagi projek penanaman padi Nestle di Kedah, di bawah Kelab Padi Nestle (NPC), kata Ketua Eksekutifnya Datuk Redza Rafiq.

Di bawah NPC, Nestle membantu petani menanam padi melalui inovasi lestari menggunakan pendekatan mesra alam dan pengkomersilan Intensifikasi Beras Semi-Aerobik bagi pengeluaran bijirin bayi.

NCIA menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Nestle Malaysia dan Pertubuhan Peladang Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, untuk membantu petani di Kerpan dan Sanglang, Kedah, dalam mencapai sasaran hasil mereka.

"Melalui kerjasama dengan Nestle, kita akan dapat belajar bukan sahaja tentang kaedah Nestle, tetapi juga semangat mereka dalam melibatkan dan membantu masyarakat tempatan," kata beliau kepada pemberita pada majlis menandatangani kontrak dua tahun itu di sini, Isnin.

Redza berharap pelaburan berkenaan akan membolehkan petani bukan sahaja meningkatkan hasil mereka, tetapi juga mengurangkan kos penanaman dan mewujudkan peluang perniagaan.

Beliau berkata, dana itu juga akan digunakan untuk menambah baik keadaan tanah, pelabelan tanah dan pengairan.

Ketua Wilayah Nestle Malaysia dan Singapura, Alois Hofbauer berkata, mengikut MoU berkenaan, syarikat itu akan membantu petani meningkatkan hasil tanaman mereka daripada empat tan metrik sehektar semusim di samping memastikan jaminan makanan negara.

Bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, 310 petani yang merupakan anggota NPC, menuai 4,758 tan metrik padi di lebih 814 hektar sawah padi, dengan hasil purata 5.85 tan metrik sehektar atau kenaikan 17 peratus berbanding 2013. 


Tags / Kata Kunci: NCIA , Datuk Redza Rafiqm Nestle

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan