suria

Pengeksport Dinasihat Teliti Garis Panduan Baharu Halal Kanada - Matrade

KUALA LUMPUR: Pengeksport Malaysia dinasihat supaya meneliti garis panduan baharu Halal di Kanada, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Menerusi kenyataannya, Matrade berkata, kerajaan Kanada memperkenal garis panduan baharu bagi pelabelan produk makanan Halal yang akan dikuatkuasakan mulai April 2016.

"Antara lain, garis panduan itu menetapkan label makanan, pembungkusan atau bahan iklan produk Halal perlu memasukkan nama penuh badan atau orang yang mengesahkan sijil Halal terbabit," katanya.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Toronto Norzihan Mohd Zain berkata, menerusi pelaksanaan garis panduan baharu itu, pengguna dijamin bahawa makanan Halal terbabit sesungguhnya memenuhi piawaian badan pengesahan, selain membolehkan mereka memperoleh maklumat khusus mengenai sejauh mana makanan berkenaan memenuhi standard yang ditetapkan.

"Perubahan itu juga membolehkan industri lebih konsisten selain membantu mencegah amalan salah label dan tuntutan membabitkan produk makanan Halal," katanya.

Norzihan berkata, Kanada menawarkan pasaran produk Halal bernilai US$1 bilion.

"Oleh itu, pengeksport produk Halal Malaysia wajar meneroka pasaran ini dan memanfaatkan perakuan Kanada ke atas Malaysia sebagai pengeluar produk Halal yang boleh dipercayai, selain pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia," katanya.

Mengikut peraturan baharu itu, seseorang tidak boleh menggunakan perkataan Halal atau mana-mana abjad Arab, atau mana-mana perkataan lain, gambar, tanda atau bentuk lain yang menunjukkan atau dipercayai akan mewujudkan tanggapan bahawa makanan itu halal, dalam pelabelan, pembungkusan, pengiklanan atau jualan makanan, kecuali orang itu atau agensi yang mengesahkan makanan itu sebagai Halal seperti yang dinyatakan.

Pengeluar makanan juga diberi pilihan untuk mencetak maklumat tambahan seperti laman web badan-badan pengesahan ke atas label produk, katanya.

Matrade, Kanada, halal

Artikel Lain