suria

Alam Maritim Sasar Pertumbuhan Hasil Menjelang 2015

KUALA LUMPUR: Syarikat pegangan pelaburan, Alam Maritim Resources Bhd, menyasarkan pertumbuhan hasil dalam tahun kewangan akan datang berakhir 31 Disember 2015, didorong pembelian kapal sokongan menyelam (DSV) baharu.

Pembelian itu akan dibiayai oleh hasil daripada cadangan terbitan dan peruntukan saham langganan pada harga terbitan RM1.35 sesaham dan ia dijangka mengumpul RM166.05 juta.

"Pembelian kapal itu bernilai kira-kira US$80 juta (RM261.08 juta).

"Kami menjangka mengumpul kira-kira 80 peratus pembiayaan untuk membeli bot itu dan 20 peratus akan datang daripada hasil cadangan terbabit," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Azmi Ahmad kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa kumpulan berkenaan, Isnin.

Kira-kira RM40 juta daripada keseluruhan hasil akan digunakan untuk pembelian DSV dan bakinya akan dibiayai melalui pinjaman bank dan persetujuan usaha sama.

Bagaimanapun, syarikat itu belum memutuskan mengenai usaha sama itu lagi.

Menurut laporan tahunannya, pembelian itu akan membolehkan kumpulan itu memasuki tender dan menjalankan pemeriksaan dalam air, aktiviti membaiki dan menyelenggara serta beroperasi sebagai syarikat menyelam yang lengkap.

Azmi berkata, syarikat akan dapat melihat pertumbuhan hasil dan kesan pembelian DSV tahun depan ketika Alam Maritim terus menstabilkan kegiatannya tahun ini.

Nilai projek yang diperolehi syarikat setakat ini ialah RM1.2 bilion manakala tender projek bernilai RM2 bilion dengan 20 peratus kadar kejayaan.

"Untuk tahun ini, kami menjangka suku kedua dan ketika akan meningkat kembali berbanding prestasi lebih rendah pada suku pertama," katanya.

Alam Maritim Resources memperuntukkan RM95.080 juta daripada pendapatan keseluruhan yang dijangka selesai pada pertengahan bulan depan untuk menjelaskan pinjaman bank.

Syarikat itu kini mengurus dan mengendali 42 kapal.


Artikel Lain