AmBank Optimistik Hasil Perjanjian Dengan Metlife

Diterbitkan: Jumaat, 2 Mei 2014 6:32 PM

Azman(kiri) menyumbang sebuah van jenis Kia Pregio kepada Ruby Khong (kanan) di permis KCK dekat Jalan Barat, Off Jalan Imbi di sini, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan AmBank optimistik mengenai pertumbuhan perniagaan dalam segmen insurans berikutan termeterainya perjanjian pembelian saham dengan Metlife baru-baru ini, kata Pengerusinya Tan Sri Azman Hashim.

"Perkongsian ini akan membantu segmen insurans hayat memberi sumbangan yang lebih kepada keuntungan kumpulan pada masa hadapan. Saya tidak dapat memberikan peratusannya lagi kerana masih terlalu awal untuk mengulas mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sebuah van kepada Kechara Soup Kitchen (KSK) yang diwakili Presidennya, Datuk Ruby Khong di sini, Jumaat.

Pada 28 April, anak syarikat milik penuh Kumpulan AmBank, AMAB Holdings Sdn Bhd dan anak syarikat MetLife Inc, MetLife International Holdings Inc (MetLife), memeterai perjanjian perkongsian strategik jangka panjang bertujuan merebut pasaran yang semakin meningkat terhadap insurans Takaful hayat dan keluarga.

Sementara itu, van Kia Pregio bernilai RM75,270, sumbangan Kumpulan AmBank kepada KSK bertujuan memudahkan makanan diagihkan setiap hari kepada golongan gelandangan dan miskin bandar yang tidak sempat ke pusat KSK.

Azman berkata sumbangan menerusi Program AmKasih, yang menjadi platform melaksanakan tanggungjawab sosial korporat kumpulan itu, dimulakan pada November 2009.

Kumpulan itu memperuntukkan RM1 juta setahun untuk membantu masyarakat. KSK ialah sebuah kumpulan bertindak masyarakat bukan agama yang mengagihkan makanan, bantuan perubatan asas dan memberi kaunseling kepada golongan gelandangan dan miskin bandar di Malaysia.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan