Pelabur Malaysia Disaran Teroka Peluang Di Sri Lanka

Diterbitkan: Isnin, 21 April 2014 3:41 PM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Sri Lanka menawarkan peluang yang besar bagi pelabur Malaysia, terutamanya dalam pembangunan infrastruktur, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka Azmi Zainuddin.

Beliau berkata kerajaan Sri Lanka berazam untuk menarik pelaburan ke negara itu selepas berakhirnya perang saudara yang berlanjutan selama 30 tahun pada 2009.

"Syarikat-syarikat Malaysia telah ada di sini, walaupun semasa perang, terutama dalam segmen telekomunikasi dan infrastruktur. Kini terdapat lebih banyak peluang dan kita perlu mengambil kesempatan daripadanya," kata beliau.

Antaranya, industri hospitaliti yang semakin pesat membangun di Sri Lanka, katanya.

"Di Colombo, terdapat banyak pembinaan hotel baharu, dan merupakan peserta utama industri berkenaan," kata beliau sambil menambah Jaffna dan Wilayah Timur, yang masih belum dibangunkan sepenuhnya, menawarkan peluang yang besar.

Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dua hala yang baik dengan Sri Lanka untuk mempunyai kehadiran lebih besar di negara ini, katanya.

Beliau berkata hubungan antara rakyat kedua-dua negara juga baik, dengan ketibaan pelancong dari Sri Lanka mencecah 64,051 tahun lepas, meningkat dua peratus daripada 62,821 pada 2012.

Tahun ini, Tourism Malaysia menjangka 70,000 pelancong dari Sri Lanka.

Menurut laporan, pelaburan sektor swasta Malaysia di Sri Lanka sehingga kini mencecah US$1.5 bilion.

Menurut Jabatan Perdagangan Sri Lanka, perdagangan dua hala pada 2013 antara kedua-dua negara berjumlah US$577.66 juta, dengan eksport dari Sri Lanka sebanyak US$44.92 juta dan import US$532.740 juta. 


Tags / Kata Kunci: Sri Lanka , Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan