suria

Industri Penerbangan Dijangka Catat Keuntungan - IATA

Tony Tyler.

SINGAPURA: Industri penerbangan dijangka dapat mencatatkan keuntungan yang bertambah baik tahun kedua berturut-turut, kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Tony Tyler.

Beliau berkata, keuntungan ini diunjurkan meskipun semakan semula menurun prospek industri bagi 2014 kepada keuntungan AS$18.7 bilion daripada unjuran terdahulu sebanyak AS$19.7 bilion.

"Pemacu utama semakan semula menurun itu ialah harga minyak tinggi yang kini dijangka berada pada purata AS$108/setong (Brent) iaitu AS$3.50/setong mengatasi unjuran terdahulu.

"Kos tambahan AS$3 bilion bagi kos bahan api industri itu dijangka diimbangi oleh permintaan kukuh, terutamanya bagi kargo, yang disokong oleh pengukuhan ekonomi global," katanya pada taklimat media menerusi telepersidangan dari Geneva.

Keseluruhan pendapatan industri dijangka meningkat kepada AS$745 bilion, AS$2 bilion lebih tinggi berbanding yang diunjurkan sebelumnya, katanya.

Beliau berkata secara umumnya, prospek adalah positif.

"Kitaran peningkatan ekonomi disokong oleh persekitaran permintaan yang kukuh. Dan ia mengimbangi cabaran kos bahan api tinggi berkaitan dengan ketidakstabilan geopolitik. 

"Bagaimanapun, keseluruhan pulangan industri kekal pada paras tidak memuaskan dengan margin keuntungan bersih hanya 2.5 peratus," katanya. 

Artikel Lain