suria

FGV Kenalkan Produk Kek Pracampuran Adela

DUBAI: Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menggunakan peluang penyertaannya dalam pameran makanan antarabangsa, Gulfood 2014, untuk memperkenalkan produk terbaharu, kek pracampuran, di bawah jenama Adela.

Ketua Kluster Hiliran FGV Zakaria Arshad berkata produk terkini, selepas marjerin dan minyak masak canola dan bunga matahari Adela itu, disasarkan untuk wanita berkerjaya yang mempunyai masa terhad membuat kek.

"Kami membangunkan produk ini dan membuat kajian dan penyelidikan selama setahun dan hasilnya rasanya sedap dan mudah disediakan serta cepat. Kami hasilkan campuran tepung dan pengguna hanya perlu menambah air sebelum dibakar," katanya pada pameran lima hari itu yang bermula Ahad.

Kek pracampuran Adela yang terdiri daripada tiga jenis kek 'Butter Cake', 'Mud Cake' dan 'Hedgehog Slice' keluaran Delima Oils Products Sdn Bhd, syarikat sekutu FGV, telah dilancarkan oleh Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad di Pavilion Malaysia pada pameran di Pusat Dagangan Dunia Dubai.

Zakaria yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil berkata kek pracampuran itu baru dipasarkan di Malaysia dua bulan lepas dan dijual dengan harga runcit RM8 sekotak di pasar raya- pasar raya besar seluruh negara.

"Kami sasarkan sekurang-kurangnya lima hingga 10 peratus penguasaan pasaran kerana ia produk baharu, produk ini berkualiti tinggi dan kami percaya pengguna yakin dengan produk kami kerana kami sudah ada jenama yang kuat seperti Saji," katanya.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Mohd Emir Mavani Abdullah berkata penyertaan kali ini merupakan langkah pertama dalam mempromosi produk keluaran Delima Oil di Emiriyah Arab Bersatu.

"Sasaran pasaran ialah di peringkat global, bagaimanapun, untuk masa ini kami sasarkan dahulu produk kek pracampuran ini di Malaysia dan Asia Tenggara.

"Kami juga mengambil kesempatan untuk lancarkan produk ini di sini kerana pameran ini disertai oleh banyak negara di seluruh dunia dan ia platform yang terbaik," katanya.

Selain Adela, jenama lain keluaran Delima Oil ialah mentega kacang Sunbear, minyak masak Saji dan barang penjagaan diri Purich.

Gulfood 2014 merupakan acara tahunan terbesar perdagangan makanan dan minuman yang disertai oleh 4,500 pempamer dari 120 buah negara. - BERNAMA


fgv, felda, kek, produk baharu kek

Artikel Sebelum

Sapurakencana Lancar PSLV Kedua

Artikel Berikut

Artikel Lain