suria

56 Kes Dicatat Pada Hari Kesepuluh Ops Harga

Hasan Malek.
Hasan Malek.

KUALA LUMPUR: Seramai 56 peniaga dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan pada hari kesepuluh Ops Harga 2014 yang dijalankan di seluruh negara pada Rabu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata, seramai 49 peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 manakala tujuh lagi di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Sebanyak 5,475 premis perniagaan diperiksa pada Ops Harga semalam membabitkan nilai rampasan sebanyak RM5,277.30 manakala kompaun yang dikeluarkan ialah RM4,100," katanya kepada Bernama menerusi kenyataan di sini, Khamis.

Perak mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Terengganu (10), Perlis (tujuh), Johor (enam), Kedah (lima), Selangor (empat), Sabah (tiga), masing-masing dua di Melaka dan Labuan dan satu di Pulau Pinang.

Pemeriksaan pada hari kesepuluh itu meliputi 2,728 pasar basah, kedai runcit (1,155), pasar malam atau pasar tamu (710), pasar tani (399), kedai makan (85), pemborong (85), pasar mini (83), pasar raya (75), restoran (60), gerai makan (52), pasar raya besar (19), medan selera (12) kawasan rehat dan rawat (10) dan pengeluar (dua).

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah premis perniagaan yang diperiksa KPDNKK sejak 1 Januari lalu hingga Rabu berjumlah 106,547 melibatkan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM182,524.29 dan nilai kompaun RM64,750.

KPDNKK melaksanakan operasi itu serentak di seluruh negara bermula minggu lepas melibatkan 1,800 pegawai penguat kuasa dan 1,100 pegawai pemantau harga bagi membendung masalah kenaikan harga barangan yang membebankan pengguna kebelakangan ini.

Mereka yang didapati bersalah mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun manakala bagi kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM4,000 atau penjara tiga tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain