suria

Bekas Calon PKR, PAS Di Perak Failkan Petisyen PRU-13

IPOH: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi parlimen Tapah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) K.Vasantha Kumar pada Rabu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengisytiharkan keputusan PRU13 bagi kerusi itu sebagai tidak sah.

Vasantha Kumar,, 40, memfailkan petisyen itu melalui Hariharan Mohanna & Co pada 2.30 petang.

Pada PRU-13, calon Barisan Nasional (BN) Datuk M.Saravanan menewaskan Vasantha Kumar, Shaharuzzaman Bistamam daripada Berjasa dan calon Bebas Ridzuan Bani dengan majoriti 7,927 undi untuk memenangi kerusi parlimen Tapah.

PKR hanya menang lima daripada 19 kerusi DUN Perak yang ditandinginya manakala bagi kerusi parlimen pula, parti itu menang tiga daripada sembilan yang ditandingi iaitu Lumut, Sungai Siput dan Gopeng.

Terdahulu, tiga calon PAS bagi PRU-13 juga memfailkan tiga petisyen di mahkamah yang sama untuk mengisytiharkan tidak sah dan membatalkan keputusan bagi tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain berkata, petisyen itu membabitkan DUN Rungkup, Selama dan Manong yang difailkan masing-masing oleh Misbahul Munir Masduki, Mohd Akmal Kamarudin serta Jamil Dzulkarnain, kesemuanya melalui Tetuan Chan & Associates.

Beliau berkata, ia menjadikan petisyen yang difailkan PAS sebanyak enam termasuk tiga petisyen melibatkan DUN Manjoi, Lubok Merbau dan Pasir Panjang yang difailkan pada Selasa.

"Sebanyak 22 peguam termasuk peguam daripada PAS pusat serta peguam daripada Pakatan Rakyat yang lain bagi mengendalikan perjalanan kesemua petisyen ini," katanya kepada pemberita.

Pada pilihan raya umum lepas, Misbahul Munir ditewaskan calon BN Datuk Shahrul Zaman Yahya yang meraih majoriti 613 undi bagi kerusi DUN Rungkup manakala di DUN Selama, calon BN Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff meraih majoriti 619 undi sekaligus menewaskan calon PAS Mohd Akmal.

Sementara di DUN Manong, Mohamad Kamil Shafie daripada BN menang kerusi itu apabila mendapat majoriti 231 undi sekaligus mengalahkan Jamil.

Pada PRU-13, PAS hanya menang lima daripada 22 kerusi DUN Perak yang ditandinginya manakala bagi kerusi parlimen pula, parti itu menang dua daripada lima yang ditandingi - Parit Buntar dan Bukit Gantang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain