suria

Amah Dipercayai Subahat Rompak Rumah Majikan Ditahan

KUALA LUMPUR: Curiga dengan keterangan yang diberikan, polis mengesyaki seorang pembantu rumah warga Indonesia bersubahat dengan dua lelaki yang merompak rumah majikannya di Ukay Perdana, Melawati dekat sini pagi semalam. Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, pembantu rumah berusia 36 tahun itu pada mulanya mendakwa didatangi dua lelaki yang tidak dikenali sebelum mengikatnya dan merompak rumah majikannya yang merupakan seorang pengarah di sebuah bank terkemuka di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata keterangan wanita yang sudah lebih setahun bekerja di rumah tersebut menimbulkan kecurigaan kerana sering berubah-ubah setiap kali disoal polis.

Lebih mencurigakan, katanya, apabila didapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di banglo majikannya itu tidak berfungsi ketika kejadian dan berfungsi seperti biasa kira-kira sejam selepas kejadian itu.

"CCTV itu berfungsi seperti biasa kira-kira satu jam selepas kejadian dan dipercayai ketika kejadian, CCTV tersebut dimatikan terlebih dahulu oleh wanita itu yang tinggal berseorangan di rumah.

"Amah itu pada mulanya mendakwa dua lelaki berkulit gelap mengikat dan membawa lari pelbagai barangan berharga milik majikannya termasuk komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai," kataya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang dekat sini hari ini.

Beliau berkata sebaik dirompak wanita itu terus menghubungi majikannya dan memaklumkan kejadian rompakan itu sebelum membuat laporan polis.

Abdul Jalil berkata keterangan wanita itu tentang dua lelaki yang merompak juga mencurigakan dengan mendakwa kedua-dua suspek merupakan warga Pakistan dan Myanmar sedangkan melalui penilaian polis, suspek dipercayai rakan senegara wanita itu.

Abdul Jalil berkata wanita itu kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan dan polis sedang giat memburu dua lelaki berusia 40-an yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

Katanya, polis juga sedang berusaha mendapatkan semula barangan yang dibawa lari termasuklah rantai mutiara dan beberapa utas jam tangan pelbagai jenama. "Kesemua barangan yang dilarikan itu termasuk wang tunai bernilai RM100,000," katanya.

Sementara itu, polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan yang dipercayai menghina dan memfitnah di dalam laman web sosial Facebook berkenaan kematian Ketua Puteri Umno Bahagian Ampang Allahyarham Haslinda Zerain baru-baru ini.

Beliau berkata satu laporan polis dibuat oleh Penyelaras Umno Ampang Datuk Ismail Kijo kira-kira pukul 11 malam tadi. "Kes itu akan disiasat di bawah Sekyen 233 Akta Multimedia," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain