suria

Calon BN, PAS hanya mahukan kemenangan adil dan saksama

[DIKEMAS KINI] KUALA TERENGGANU: Kedua-dua calon Barisan Nasional (BN) dan PAS mahu menawan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam persekitaran pemilihan yang adil dan saksama manakala Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan BN menggunakan taktik ugutan dan tekanan untuk meraih undi.

Harapan dan jaminan itu diberikan ketika tinggal kira-kira 30 jam bagi kempen pilihan raya kecil Parlimen untuk berakhir.

Pengundian berlangsung Sabtu ini.

Ketika ditemui wartawan di pejabatnya di sini, calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, beliau mahukan kemenangan yang diperoleh dalam platfrom yang adil dan saksama.

"Saya mahukan satu kemenangan yang adil dan saksama... tidak diragui bahawa saya mahu menang dalam pilihan raya ini, saya mahu menang dengan adil dan saksama tanpa sebarang bentuk unsur tidak sihat," katanya.

"Apabila kita merasakan kedudukan kita tidak beberapa selesa, maka kita akan menyiapkan alasan...," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan PAS sejak kebelakangan ini bahawa BN menggunakan media, wang dan jentera kerajaan untuk meraih undi.

Dalam pada itu, calon PAS Mohd. Abdul Wahid Endut juga mengharapkan gelanggang persaingan yang sihat.

"Saya mahu satu pertandingan yang sihat dan bersih," katanya ketika ditemui selepas majlis hi-tea anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini sebntar tadi.

Tambah beliau, tidak perlu ada sebarang bentuk paksaan dan ugutan keatas pengundi menjelang hari pengundian sabtu ini.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, tidak akan menggunakan taktik kotor untuk mendapatkan undi.

"Kami mempunyai kekuatan sendiri (untuk mencapai kemenangan)," katanya.

Artikel Lain