Jangan Pandang Rendah Semangat Patriotisme Generasi Muda

Diterbitkan: Khamis, 20 Ogos 2015 12:35 PM

1Malaysia ... Para peserta yang membuat persembahan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 di Dataran Parlimen, bergambar sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Tema
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tahu tak apakah tema sambutan Hari Kebangsaan kita tahun ini? Tanya penulis kepada seorang daripada anak muda ketika ditemui pada satu acara belia baru-baru ini.

"Tak pastilah kak, saya tak sempat nak google", jawab anak muda yang hanya memperkenalkan diri sebagai Ashraf sambil tersenyum.

Pelajar kolej itu mengakui, beliau tidak mengambil tahu tentang tema Hari Kebangsaan tetapi mengingati tarikh keramat itu sebagai sejarah negara. Tetapi tidak perlulah terlalu skeptikal terhadap anak muda ini untuk terus membuat kesimpulan beliau tidak patriotik.

Meluahkan rasa cinta kepada negara tidak cukup dengan hanya tahu tema Hari Kebangsaan, mengibarkan bendera, menyanyikan lagu Negaraku mahupun manghafal Rukun Negara.

Kalau hanya itu sahaja dianggap sebagai bukti menunjukkan rasa cinta kepada negara, pekerja asing yang ada di negara ini juga boleh menghafal dan menyanyikannnya, demikian pandangan Presiden Pertubuhan Belia Perdana, Suhail Mohamed Kamarudin.

CARA ANAK MUDA

Beliau, yang sering turun padang mendekati golongan muda di peringkat sekolah, kolej dan universiti, berpendapat bahawa salah faham terhadap anak muda hari ini hingga ada yang menyatakan mereka generasi yang kurang patriotik adalah satu pernyataan yang cukup dangkal.

Pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2015 itu cukup optimis bahawa generasi belia hari ini cukup menghargai kemerdekaan cuma mereka tidak sedar apa yang dilakukan itu membuktikan rasa cinta yang begitu mendalam terhadap negara.

Tidak ramai rakyat Malaysia yang memahami dan memiliki kesedaran bagaimana untuk menterjemahkan semangat patriotisme dengan cara yang betul.

Antara cara paling mudah untuk menterjemahkan rasa cinta kepada negara ialah dengan menjadi rakyat yang baik. Sentiasa mengamalkan lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan serta sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk berbakti kepada negara mengikut kemampuan masing-masing.

"Terdapat 12.8 juta belia di negara ini dan mengikut statistik hanya sekitar lima peratus daripada jumlah itu yang bertindak agak nakal hingga ada yang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

"Adakah disebabkan segelintir itu boleh dijadikan ukuran bahawa belia hari ini tidak patriotik?," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jika ada dua atau tiga orang yang membuat masalah, ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur.

Hakikatnya ramai dalam kalangan mereka ini berjaya dalam pendidikan sama ada dalam dan luar negara, menjadi pekerja yang profesional serta melakukan banyak perkara yang membanggakan. Ini adalah antara bukti cinta mereka kepada negara.

PENDEKATAN BERBEZA

Suhail, yang juga wakil Parlimen Belia Wilayah Persekutuan, tidak menafikan pendekatan anak muda hari ini jauh berbeza dengan generasi terdahulu dalam meluahkan rasa cinta mereka.

Kebanyakan mereka tidak lagi hanya mahu berdiri memegang bendera bagi menunjukkan rasa cinta sebaliknya menterjemahkan rasa cinta itu dengan memberi khidmat bakti melalui kerja-kerja kesukarelawan.

"Semangat itu semakin subur kerana mereka lebih terkesan setiap kali 'berbakti' terutama kepada masyarakat sekeliling.

"Konsep berbakti yang diterapkan dalam kerja sukarelawan melalui kaedah 'learning by doing" akan melahirkan rakyat yang berjiwa besar, sabar, faham erti kesusahan, lebih bersyukur serta yang paling penting sentiasa ingin melakukan kebaikan," katanya, yang sedang menggerakkan para pemimpin sukarelawan di seluruh negara.

Mengambil contoh banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas. Siapa sangka 1,300 orang iaitu hampir 90 peratus daripada sukarelawan yang dikumpulkan setiap hari selama 10 hari di Pangkalan Tentera Udara Subang adalah kalangan generasi muda. Mereka ini ditugaskan untuk kerja-kerja sukarelawan seperti membungkus dan mengangkat barang-barang bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Malah, beliau sendiri dalam siri jelajah ke seluruh negara menemui banyak kumpulan belia yang ingin terlibat secara aktif dalam kerja sukarelawan.

"Ramai belia yang ingin menyumbang bakti dalam kerja kesukarelaan, tetapi ada yang tidak tahu cara dan salurannya. Bagi mereka, inilah cara terbaik untuk berbakti dan menyumbang kepada masyarakat yang secara tidak langsung menunjukkan rasa cinta mereka kepada negara," katanya.

LAHIRKAN PEMIMPIN SUKARELAWAN

Sebagai pejuang aktiviti sukarelawan, Suhail kini dalam usaha melahirkan 100,000 pemimpin sukarelawan di seluruh negara menjelang 2020.

Nampak agak mustahil kerana hanya berbaki kurang lima tahun sahaja lagi untuk mengapainya, namun anak kelahiran Kelantan ini tetap positif usaha itu akan tercapai.

Sehingga kini kira-kira 10,000 pemimpin sukarelawan dilatih di seluruh negara, menjadi penggerak aktiviti sukarelawan di tempat masing-masing.

"Tujuannya hanya satu untuk menanam rasa cinta kepada negara terutama dalam kalangan generasi muda," katanya yang memulakan usaha itu sejak enam tahun lepas.

Dengan lahirnya para pemimpin sukarelawan serta jutaan sukarelawan pasti akan memberi kesan positif terutama dalam membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sama seperti pemimpin, matlamat mereka yang melakukan kerja kesukarelaan ialah untuk membantu mereka yang memerlukan. Jika seseorang mempunyai sifat sukarelawan yang tinggi nescaya dia akan menjadi pemimpin yang baik kerana seseorang itu tidak layak digelar sebagai pemimpin jika tidak memiliki sifat suka menolong orang.

"Pergilah ke negara maju, satu daripada ciri yang ada dalam diri mereka ialah sikap suka membantu orang lain.

"Untuk faham erti sabar kena buat sesuatu yang mencabar, untuk faham erti kasihan kena cari orang susah, untuk mengerti makna kemenangan harus berlumba dan untuk terjemahkan rasa cinta kepada negara, harus berbakti dan satu daripada caranya ialah dengan melakukan kerja kesukarelaan," katanya yang kini sedang merangka penubuhan Majlis Sukarelawan Negara bagi menyelaras aktiviti kesukarelawan yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan.

Sukarelawan kini berada dalam landasan yang betul sebagai agen penggerak semangat berbakti kepada negara.

Kepincangan dari sudut kefahaman, kesedaran dan pendidikan yang tidak jelas kepada belia perlu diperbaiki untuk memupuk rasa cinta itu.

Ia harus dimulakan di rumah dengan mendidik anak agar suka membantu orang lain. Ibu bapa dan sekolah adalah pihak terpenting dalam usaha mendidik rakyat negara ini menjadi seorang patriotik dan cintakan negara dengan sepenuh hati.

"Ubah pendekatan... tanamkan setiap kebaikan yang dilakukan untuk negara.

Apabila nilai itu sudah sebati, ia akan menyerap masuk ke dalam jiwa dan akan melahirkan individu yang sangat cintakan negara," katanya yang akan terus memperjuangkan semangat kesukarelawan hingga ke akhir hayat. -- Bernama



iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan