Generasi Muda Terpengaruh Dengan Slogan Kumpulan Jihad

Diterbitkan: Isnin, 1 Disember 2014 2:15 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isu jihad dilihat berkait rapat dengan pergolakan yang berlaku di Syria dan Iraq sehinggakan ada yang beranggapan jihad itu sinonim dengan berperang dan pertumpahan darah.

Propaganda meluas yang tersebar di media sosial dilaporkan berjaya mempengaruhi ramai anak muda termasuk dari negara Barat untuk menyertai apa yang dipanggil sebagai Kumpulan Negara Islam (IS).

Bernama baru-baru ini menemubual Md. Asham Ahmad, Felo Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (Syarak), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) untuk merungkai isu Jihad.

Berikut adalah bahagian akhir daripada dua siri yang bertumpu kepada jihad dan pengaruhnya ke atas generasi muda.

Bernama : Generasi muda dikatakan begitu mudah terpengaruh dengan laungan jihad meskipun mereka hanya membacanya di media sosial, di internet. Mengapa?

Md Asham: Kita berada pada zaman informasi di mana maklumat bergerak begitu pantas dan dunia tidak ada sempadan. Maka sesiapa sahaja, baik organisasi mahupun individu boleh menggunakan internet, khususnya media sosial untuk menyampaikan propaganda masing-masing.

Anak muda begitu mudah akses kepada bahan ini sedangkan mereka tidak memiliki persediaan yang cukup untuk menilai, menyaring atau menapis maklumat berkenaan.

Jadi dia terima maklumat itu begitu sahaja dan mudah dipengaruhi. Pada masa yang sama dia melihat ketidakadilan, melihat negara kuat menekan negara lemah, khususnya negara Islam. Maka di situ timbul semangat yang membuak-buak untuk turut sama berjuang menentang kezaliman. Sebahagian daripada mereka mengikut perjuangan IS.

Bahkan kita difahamkan, sebahagian besar bersetuju menyertai kumpulan itu hanya melalui internet, mendapat arahan di internet, beli tiket, pergi ke satu tempat dan terus masuk latihan. Jika ini dibiarkan, ia akan menimbulkan satu malapetaka yang besar.

Bernama : Apakah negara Islam sahaja yang perlu bimbang dengan malapetaka ini?

Md Asham: Malapetaka ini bukan sahaja kepada negara Islam. Negara barat juga dilaporkan bimbang. Kalau selama ini mereka memomokkan jihad itu dengan makna yang bukan-bukan, sekarang ini anak-anak muda mereka yang pergi berperang di negara-negara yang berkonflik.

Golongan anak muda ini datang dari negara maju, aman dan cukup kemudahan seperti Perancis dan Britain. Mereka juga terpengaruh melalui propaganda di internet. Sebahagiannya memeluk agama Islam dan terus pergi berjihad.

Ini juga berpunca akibat kelemahan dari segi pendidikan. Mereka ini tidak cukup faham makna sebenar Islam, apatah lagi makna jihad.

Apa akan jadi apabila mereka ini pulang ke negara masing-masing, membawa ideologi sebegitu dan 'battle-hardened' pula? Mereka ini biasa tengok pertumpahan darah, biasa hidup dalam konflik, dan keganasan.

Kita bayangkan bentuk kemusnahan, kerosakan, huru-hara yang mereka boleh lakukan. Ini yang saya maksudkan dengan malapetaka.

Bernama : Jelas sekali, kefahaman itu penting supaya tidak mudah terpengaruh.

Md Asham: Mana-mana pun orang Islam perlu ada kefahaman termasuk mengenai jihad. Jika tidak, boleh hilang keseimbangan. Mereka yang digelar 'jihadist' ini mempunyai daya tarikan tersendiri.

Pada zahirnya, mereka mengambil berat tentang agama tapi yang rosak ialah fikiran. Fikiran atau akal ialah perkara yang paling diutamakan dalam maqasid syariah iaitu memelihara akal dan sebab itu ilmu dan pendidikan itu perkara yang asas dalam Islam, bahkan kewajipan yang pertama.

Kita berada pada satu zaman di mana jumlah umat Islam itu ramai, ramai dari segi jumlah sahaja tetapi tidak terdidik dengan sewajarnya dengan ilmu Islam, dengan kefahaman yang benar, maka akibatnya sudah disebut dalam hadis.

Nabi berkata umat Islam terlampau ramai pada akhir zaman tetapi hal keadaan mereka seumpama makanan yang sedang dimakan sekumpulan manusia yang lapar. Kita bayangkan kalau orang yang pelahap sedang makan, sedang berebut. Kita tengok apa yang berlaku di Iraq dan di Syria.

Negara Islam ini jadi tempat manusia yang rakus, yang memperkotak-katikkan bumi Islam kerana di situ ada minyak, ada hasil yang banyak, ramai yang berminat.

Bernama : Apa yang boleh dilakukan untuk melindungi golongan muda dan pengguna aktif internet ini daripada pengaruh yang bersifat sabversif?

Md Asham: Mereka perlu dibantu untuk memahami perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka.

Mereka ini orang muda yang penuh dengan semangat tetapi tidak cukup persediaan untuk menguruskan semangat itu.

Dalam hal ini, penting untuk kerajaan, pihak yang berkuasa memberikan pendidikan atau kefahaman yang betul.

Soalannya, adakah pendidikan yang kita ada pada hari ini menyediakan pelajar atau generasi muda dengan keupayaan untuk berhadapan dengan pemikiran semasa.

Adakah mereka faham sejarah? Sejarah itu adalah asas pemikiran yang sangat penting tetapi dalam sistem pendidikan kita sekarang, kita tak melihat ia suatu yang penting. Yang dianggap penting ialah Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Kita sudah sekian lama mengabaikan kepentingan sejarah, apatah lagi sejarah yang berkaitan dengan hubungan antara Islam dan Barat, iaitu tamadun dan kebudayaan Barat, yang sebenarnya tidak lain dari sejarah dunia.

Sejarah dunia itu sejarah pertembungan Islam dengan tamadun Barat. Jadi kita perlu faham, anak muda juga perlu faham asal mulanya berlaku pertembungan itu, apa sebab musababnya, daripada jurusan mana pertembungan itu datang, dan apa kaedah yang digunakan untuk menyerang.

Pemikiran semasa ini susur galurnya difahami dalam sejarah. Kalau sekiranya kita tidak faham sejarah dalam berhadapan dengan cabaran semasa, kita akan mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh orang dahulu dalam sejarah.

Kalau kita mahu berbicara tentang isu jihad ataupun soal keganasan, kita tengok dahulu dalam sejarah, kita akan temui banyak contoh untuk dibuat teladan.

Puak ini dalam sejarah dipanggil 'khawaraj'. Mereka ini sudah ada pada zaman Nabi lagi. Muncul secara terbuka pada zaman Saidina Uthman dan Saidina Ali. Mereka inilah yang memberontak, menumpah darah, melawan kuasa para khalifah, mengangkat senjata dan menghalalkan membunuh mereka yang tidak bersependapat dengan mereka.

Inilah yang sedang dilakukan oleh IS. Sama sahaja. Mereka yang mengkaji sejarah tidak akan terkejut dengan apa yang berlaku sekarang. Barang siapa mengkaji sejarah Islam maka dia faham perkembangan dunia. Malangnya ini yang diabaikan langsung. Bila kita buta sejarah maka kita mengulangi kesilapan dulu.

Bernama : Apakah menerusi medium pendidikan sahaja boleh membetulkan keadaan ini?

Md Asham: Kita tidak boleh semata-mata menggunakan undang-undang. Tangkap hanyalah langkah sementara. Kita mungkin tidak tahu kumpulan sepenuhnya yang terlibat.

Kalau kita tak didik dengan betul, mungkin akan timbul puak lain. Bayangkan kumpulan yang tidak dikenali, yang asing di negara kita boleh dapat penyokong daripada Indonesia, Malaysia, malah ada yang sanggup menawarkan diri mereka jadi isteri.

Kita perlu lihat kembali di mana ada lompong yang besar dalam pendidikan kita. Apakah penekanan kita kepada sains, teknologi, Bahasa Inggeris, itu memadai. Bukan saya kata jangan belajar, akan tetapi ada banyak lagi perkara lain yang perlu mereka fahami kerana yang pergi ni sebahagian besarnya memang pelajar yang ada latar belakang sains dan teknologi.

Sebab itu mereka ini cukup mahir menggunakan IT , mahir menggunakan teknologi semasa. Bahkan menurut pakar, cara mereka membuat video propaganda mereka mengikut teknik Hollywood.

Mereka ini memiliki kemahiran teknikal hasil daripada sistem pendidikan yang menekankan aspek teknikal dan praktikal. Akan tetapi akal mereka boleh dikatakan kosong, dari fikiran yang bersifat "conceptual", pemikiran yang berasaskan kefahaman terhadap sejarah.

Akibatnya, fikiran mereka ini boleh diisi dengan mudah oleh mana-mana bentuk ideologi semasa yang mampu membangkitkan sentimen mereka. Negara kita kena ambil pengajaran daripada perkara ini supaya tindakan pembetulan yang menyeluruh itu dapat diambil.

Bernama : Adakah usaha ini ada dilakukan sekarang?

Md Asham: Setakat ini saya tak nampak. Apa yang saya nampak kita masih terlalu menekankan sains dan teknologi, mungkin kecenderungan ini bertitik tolak daripada cara kita mentakrifkan "pembangunan".

Kalau kita melihat pembangunan negara itu semata-mata dari segi pembangunan fizikal, pembangunan ekonomi, maka memang itulah bidang disiplin ilmu yang diberi penekanan.

Pembangunan itu terasnya pembangunan manusia dan manusia itu bukan sahaja aspek ekonomi itu yang dia perlukan, bukan sahaja makan minum yang menjadi keutamaan tetapi manusia itu yang terutama sekali adalah ciptaan Allah yang berfikir.

Itu yang paling penting. Manusia itu sifatnya berfikir sebab dia ada fikiran. Maka apakah yang kita lakukan untuk membentuk fikiran mereka itu? Sehingga begitu mudah mereka dipengaruhi oleh pandangan yang bukan-bukan. Habis sekolah sahaja, umur 17 tahun cepat sahaja dia mengikut yang pelik-pelik ini.

Apa sahaja bentuk pemikiran yang menimbulkan kekeliruan, kecelaruan, menimbulkan keraguan adalah sesuatu yang merosakkan, yang mesti dijaga, dan diawasi kerana ia menjadi tanggungjawab pihak yang berwajib.

Maqasid syariah itu, salah satu matlamatnya yang terpenting ialah memelihara akal fikiran. Bagi saya, kita tak cukup melakukan tindakan yang memelihara akal fikiran masyarakat daripada kerosakan.

Kita perlu pemikiran yang kritikal, memahami persekitaran semasa, memahami sejarah dengan pengertian yang luas, bukan setakat yang sempit, bukan sejarah negara kita sahaja.

Sepatutnya kita belajar sejarah dunia. Daripada sejarah dunia kita memahami pola jatuh bangun sesuatu bangsa, satu masyarakat. Apa punca dia boleh berjaya, apa punca dia merudum jatuh.

Belajar peradaban dunia, baru kita dapat menghasilkan manusia yang faham sunatullah dalam sejarah. Jadi kalau kita mengulangi perbuatan yang membawa kepada kejatuhan, jatuhlah bangsa kita. Kalau kita nak suruh bangsa kita naik, kita kena tiru bangsa dan sifat-sifat yang menyebabkan mereka naik seperti yang disebut dalam sejarah.

Kita perlu faham bagaimana satu bangsa itu daripada rendah menjadi tinggi. Apa yang mereka buat, apa yang berlaku dalam pemikiran mereka?

Masyarakat kita sendiri pun mesti kita kaji betul-betul sejarahnya. Apa yang menyebabkan bangsa Melayu pada satu ketika dahulu naik. Bila masa dia jatuh? Apa faktor? Ini berlaku kepada semua.

Kita sibuk dengan Jepun kerana ekonominya, teknologinya. Kita ingat kita boleh maju dengan teknologi sedangkan kekosongan jiwa itu, kehampaan pemikiran boleh mendatangkan pelbagai bencana pada diri dan masyarakat.

Bahkan sains dan teknologi itu sendiri akan menjadi alat mencetuskan kemusnahan bila manusia itu tidak betul fikirannya. Saya katakan tadi kita perlukan pendidikan yang menghasilkan manusia yang berfikir, biar betul fikirannya.

Teknologi itu bandingannya seperti pisau. Pisau boleh digunakan untuk memotong sayur dan boleh juga digunakan untuk membunuh orang. Jadi yang akan menentukan nilai pisau itu bukan pisau itu sendiri tetapi manusia yang menggunakannya.

Sains dan teknologi itu macam pisau, yang akan menentukan baik-buruk kegunaannya ialah manusia. Jadi manusia yang jahat seperti puak IS akan menggunakan manusia dan teknologi serta kemahiran menggunakan alat itu untuk mendatangkan kemusnahan dan penderitaan sedangkan manusia yang baik akan menggunakannya untuk kebaikan dan kemakmuran. 


Tags / Kata Kunci: JI , IS , jihad , Md Asham Ahmad , Ikim

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan