Mobilebookcafe, Kedai Buku Bergerak Pertama Di Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 1:18 PM

Mobile Book Cafe merupakan kedai buku bergerak pertama di Malaysia. - Foto Ihsan mobilebookcafe.com.

(Ubah saiz teks)

IBARAT mini perpustakaan bergerak, itulah yang dapat disimpulkan mengenai mobilebookcafe, perniagaan yang diusahakan dua sahabat karib, Muhammad Ali  dan Muhammad Azam Nor Anwar yang baru beroperasi beberapa bulan lalu. 



Van bergerak ini mampu memuatkan buku sebanyak 1,000 naskah di atas rak, sementara 1,500 naskah lagi stok yang disimpan di bahagian dalam van pada satu-satu masa. 
Van ini mampu memuatkan 1,000 naskah buku di rak.

Pelbagai genre buku turut dijual oleh mobilebookcafe, antaranya buku ilmiah, novel, masakan, karya sastera, komik mahupun buku agama.

Mengambil inspirasi daripada kedai buku bergerak milik Penguin Books di Amerika Syarikat, mobilebookcafe kini sudah beroperasi hampir tiga bulan yang lalu. 

Menurut Muhammad, 55 pada asalnya beliau ingin membuka kedai buku, namun kerana kos menyewa bangunan yang terlalu tinggi menyebabkan dia terpaksa mengubah niat asalnya itu dan akhirnya mendapat idea untuk mewujudkan kedai buku bergerak seperti yang ada sekarang. 

Pelajar USIM berminat dengan buku yang dijual mobilebookcafe.

Bercerita lanjut, Muhammad berkata tumpuan utama mereka ialah pelajar sekolah kerana mereka ini gemar membaca terutamanya bahan bacaan ringan.

"Harga yang ditawarkan sama sahaja tetapi untuk pelajar mereka tidak kisah sangat mengenai diskaun. Diskaun minimum yang diberikan ialah 10 peratus daripada harga asal buku. Dari segi jualan pula, sangat mengalakkan. 

"Bagi jualan di sekolah secara purata kita boleh memperoleh, sekitar RM5,000 bagi satu lawatan. Paling tinggi jualan kita pernah mencecah RM18,000, ini kerana pihak sekolah menempah buku untuk bahan bacaan di pusat sumber sekolah," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Pesta Buku yang diadakan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini. 

Untuk menarik lebih ramai pengunjung, Muhammad berkata pihaknya sering mengajak penulis buku serta mengadakan bengkel penulisan mahupun mewarna ketika mengadakan lawatan di sekolah mahupun tempat awam. 

"Kami juga menyumbang buku kepada perpustakaan di sekolah yang kami lawati, sebagai menghargai dan tanda terima kasih kepada mereka kerana sudi menerima kehadiran kami,” katanya yang turut menjelajah ke beberapa buah sekolah dan institusi pengajian tinggi negeri-negeri di utara tanah air.

Dua sahabat baik, Muhammad Ali , (kiri) dan Muhammad Azam Nor Anwar merupakan pemilik mobilebookcafe.


Komik Paling Laris

Bagi menarik minat lebih ramai pengunjung untuk singgah ke kedai mereka, Muhammad sering menjemput penulis buku turut serta dalam sesi jelajah mereka.

Running Man merupakan komik yang paling laris jualannya.

"Dengan kehadiran penulis buku ini selalunya akan menarik minat lebih ramai pengungjung untuk singgah dan membeli buku. 

"Jika di sekolah kami juga sering mengadakan bengkel penulisan atau pertandingan mewarna, kanak-kanak akan teruja dengan aktiviti seperti ini. Mereka juga gemar membeli komik seperti Running Man, merupakan buku paling laris jualannya. 

Selain itu, terdapat juga komik ilmiah sains dan matematik seperti, Skor A, Skor A, Senangnya Sains, Oh Semua A!, Bijak Kimia (terbitan ITBM) ," kata Muhammad yang merupakan pesara kerajaan yang pernah berkhidmat di Unit Pemodenan Tadbiran dan Peracangan Pengurusan Malaysia (Mampu). 

Muhammad Azam dan Muhammad Ali bercadang mencari rakan niaga agar dapat  mengembangkan perniagaan mobilebookcafe.


Bagi pelajar universiti pula, Muhammad berkata, mereka lebih suka mencari buku ilmiah serta buku motivasi karya tokoh terkenal seperti Hamka dan kisah sirah Nabi. 

Beliau berkata pihaknya mementingkan kualiti serta gaya bahasa yang digunakan oleh pihak penerbitan sebelum membuat keputusan untuk mengambil buku tersebut untuk dijual di mobilebookcafe

"PTS Media Group Sdn Bhd, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Karangkraf merupakan tiga syarikat penerbitan utama yang kami beri tumpuan. Ini kerana syarikat penerbitan berkenaan menggunakan tatabahasa yang betul serta gaya bahasa yang mudah difahami oleh pelajar sekolah," katanya. 

Selain mudah untuk bergerak ke mana-mana sahaja, beliau berkata kawasan pinggir bandar dan pedalaman juga sering memberikan jualan yang memberangsangkan kepada mereka. 

"Berdasarkan survei yang dijalankan kami memperoleh jualan yang memberangsangkan di kawasan pinggir bandar seperti Puncak Alam, Selangor dan Kulim, Kedah. Di kawasan ini, capaian internet agak lemah, jadi apabila kami berkunjung ke tempat-tempat ini, jualan buku di sana sangat mengalakkan. 

"Lokasinya juga perlu sesuai, seperti di kawasan pasar tani, tempat letak kereta, karnival mahupun berhampiran perpustakaan," katanya. 
Pelbagai jenis genre buku dijual di mobilebookcafe.

Beliau berkata, rakyat Malaysia suka membaca, cuma kadangkala mereka malas untuk ke kedai buku, jadi untuk mengalakkan budaya membaca ini, mobilebookcafe pergi menemui peminat buku di lokasi yang menjadi tumpuan ramai. 

"Maklum balas yang kami terima setakat ini sangat baik terutama berhubung konsep yang kami bawa. Mereka yang datang tidak semestinya membeli buku, sebaliknya ada yang hanya singgah untuk membaca buku-buku yang dipamerkan sambil menikmati kopi panas yang disediakan," katanya. 

Usaha tersebut kata Muhammad, merupakan sebahagian daripada khidmat sosial mereka bagi menggalakkan masyarakat untuk menjadikan membaca sebagai sebahagian budaya dalam kehidupan seharian.

Bukan sekadar menjadi penjual buku, malah Muhammad juga merupakan seorang penulis yang telah menghasilkan beberapa buku, antaranya 50 Jawatan Dalam Kerajaan, Kerjaya Dalam Bidang ICT dan Buat Duit Dengan Foto.

"Selepas itu saya menghasilkan dua lagi buku genre pengembaraan, iaitu Travelog Jepun dan Travelog UK. Buku ini saya terbitkan sendiri dan menjualnya secara atas talian," katanya.

Cabaran 

Bagaimanapun, Muhammad mengakui menjual buku secara bergerak ini mempunyai cabarannya tersendiri terutamanya ketika berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu. 

"Setiap kali cuaca mendung, kami akan mula mengemas buku-buku dan bersiap sedia untuk menutup kedai. Sementara tunggu hujan reda kami tunggu dalam van sehingga cuaca kembali cerah," katanya. 

Pada awal usaha mereka untuk menjalankan perniagaan buku secara bergerak ini juga mencabar, kerana dua sahabat baik ini melalui proses permohonan yang agak lama sebelum perniagaan buku bergerak mereka diluluskan oleh Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

"Pada awalnya, ada yang mencadangkan kami menggunakan lori dan bas tapi kami mahukan kenderaan yang tidak terlalu besar kerana kami mengambil kira masalah logistik terutama tempat letak kenderaan yang mempunyai keluasan terhad. 
 
"Proses untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak JPJ juga mengambil masa agak lama sekitar empat bulan kerana jabatan itu tidak mempunyai rekod untuk memudahkan permohonan kami diluluskan," katanya. 

Mencari Rakan Niaga

Bercerita mengenai perancangan jangka panjang, Muhammad berkata, beliau bercadang mencari rakan niaga di seluruh negara. 

"Kami sedang mencari rakan niaga di setiap negeri, dan berharap ia akan dapat dilaksanakan tahun hadapan. Modal awal yang diperlukan ialah sekitar RM50,000 bagi membuat pengubahsuaian terhadap van dan membeli stok buku. 

"Setakat ini sudah ada peniaga yang berminat, dan masih mencari beberapa orang lagi untuk menjadi rakan niaga mobilebookcafe," katanya. 

Selain menjual buku secara online, ayah kepada enam cahaya mata lelaki ini berkata, mobilebookcafe akan menjual buku menggunakan e-book untuk membolehkan buku mereka dijual di seluruh dunia. 

Sementara itu, beberapa pelajar USIM yang ditemui mengakui keunikan mobilebookcafe menjadi faktor penarik mereka mengunjungi kedai buku berkenaan. 

Arina Afiza gemar membaca buku motivasi.


Arina Afiza Abdullah, pelajar tahun pertama Al-Quran Multimedia berkata dengan adanya mobilebookcafe memudahkan mereka mencari buku motivasi dan buku ilmiah dengan mudah tanpa perlu keluar daripada universiti. 

"Ini dapat menjimatkan kos. Ia secara tidak langsung dapat memupuk budaya membaca di kalangan pelajar. Ia juga sesuatu yang unik dan ini kali pertama saya melihat kedai buku bergerak seperti ini," katanya. 

Nor Fahrahin gemar dengan konsep mobilebookcafe, kerana ia memudahkan pelajar seperti mereka mendapatkan buku rujukan.

Bagi Nor Farahin Mustapha, 19, berkata dia akan memperuntukkan wang untuk membeli buku motivasi atau berkaitan tokoh srikandi Islam. 

"Setiap bulan saya akan baca sekurang-kurangnya sebuah buku tak kira sama ada buku motivasi atau tokoh pejuang Islam ketika era kegemilangan Islam. 

"Dengan kewujudan mobilebookcafe ini memudahkan pelajar universiti mendapatkan buku-buku agama yang sukar didapati di kedai buku biasa," katanya yang merupakan pelajar al-Quran, sunnah. 

Muhammad Asyraf  (kanan) berharap lebih banyak van bergerak yang menjual buku pada masa hadapan.

Muhammad Asyraf Ismail pula berharap agar lebih banyak kedai buku bergerak seperti mobilebookcafe akan diwujudkan selepas ini. 

"Kedai buku bergerak ini idea yang sangat bagus dan ia harus diteruskan, supaya budaya membaca dapat disuburkan dikalangan pelajar universiti," katanya. 


iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan