suria

Bagaimana Penyu Dilindungi Di Mabul & Sipadan

Pasukan penyelidik meletakkan 'lift bag' di bahagian badan penyu. - Foto Ihsan: PUSHPA PALANIAPPAN.
PULAU Sipadan dan Mabul cukup terkenal sebagai lokasi percutian popular di Sabah. Disebalik kecantikan pantai dan keindahan dasar lautnya yang merupakan syurga kepada penyelam, pasti ramai yang tidak mengetahui kedua-dua pulau ini turut dijadikan lokasi penetasan penyu.
 

Jadi, tidak salahlah jika kedua-dua pulau yang menjadi aset penting negara ini juga umpama syurga sang penyu untuk meneruskan kehidupan.
  

Pulau Sipadan mula berperanan sebagai tapak penetasan penyu sejak 1995 diikuti Pulau Mabul pada 2012. 

Kedua-dua pulau yang terletak di daerah Semporna ini boleh dikunjungi dengan menaiki bot.  Pulau Mabul dan Sipadan mempunyai pantai berpasir dan landai, sekali gus memudahkan penyu mendarat, mengorek pasir serta mengeram telur.

Kaedah menangkap penyu menggunakan tali.

Menurut Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan Marin Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr P Pushpa, terdapat dua jenis penyu yang sering menetas di kedua-dua pulau ini,  iaitu penyu sisik dan hijau. 


Dr P. Pushpa

"Faktor geografi di Pulau Mabul dan Pulau Sipadan sesuai untuk aktiviti penyu bertelur kerana kedua-dua pulau ini mempunyai kawasan pantai berpasir yang luas dan mampu menampung populasi penyu yang banyak pada satu-satu masa.

"Kawasan pantai yang agak landai ini memudahkan penyu untuk mendarat, mengorek pasir untuk bertelur, " katanya kepada mStar Online dalam temubual melalui kiriman e-mel baru-baru ini. 

Penyu hijau merupakan spesies yang sering bertelur di Pulau Mabul dan Sipadan. 

Beliau berkata, UMS dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) di bawah program Sciencefund (e-Science) turut menjalankan kajian dengan melekatkan penanda (tagging) kepada setiap penyu yang bertelur di kedua-dua pulau ini. 


Projek tersebut turut mendapat tajaan daripada Tabung Hidupan Liar Sedunia- Malaysia (WWF-Malaysia) serta Sabah Parks and Treasure Images Sdn Bhd. 

"Kajian tersebut dijalankan selama dua tahun, bermula pada Mac 2010 hingga Februari 2012. Ia dijalankan untuk melihat kehidupan spesies penyu di Mabul dan Sipadan serta tempoh jangka hayat mereka.. 

"Pada 2013, satu lagi projek jangka panjang telah dilancarkan, projek ini bagi memantau spesies penyu di Pulau Mabul. Program tersebut diadakan dengan kerjasama Resort Mabul Uncle Chang. 

"Program ini diadakan sebanyak dua kali, setahun. Program pertama dikenali sebagai 'Sambutan Hari Penyu Sedunia Mabul ' yang diadakan pada 23 Mei setiap tahun sementara program 'Sambutan Hari Penyu bagi Penyelam Borneo Mabul' merupakan anjuran Borneo Divers and Sea Sports (Sabah) Sdn Bhd diadakan pada November setiap tahun," katanya. 

Penyu Sisik. 


Menurutnya, program tersebut  diadakan bertujuan untuk menimbulkan kesedaran serta mendidik masyarakat tempatan dan pelancong asing mengenai spesies penyu yang singgah untuk bertelur di Pulau Mabul, malahan data saintifik turut diambil untuk menjalankan kajian lanjut mengenai penyu di sini.

"Daripada pelaksanaan program berkenaan apa yang dapat dikenal pasti ialah, populasi penyu hijau dan penyu sisik, semakin bertambah terutamanya di dua pulau ini. 

"Sejak projek ini dijalankan kami berjaya meletakkan penanda kepada 494 penyu hijau dan 21 penyu sisik di Pulau Sipadan dan 260 penyu hijau serta 21 penyu sisik di Pulau Mabul. Namun masih banyak lagi penyu yang belum dapat diletakkan penanda kerana hanya sebahagian kecil sahaja yang mendarat untuk bertelur di pantai," katanya. 

Pasukan penyelidik turut mengukur lilitan badan penyu untuk mengumpul data. 

Bukan itu sahaja, kaedah meletakkan penada pada penyu yang dibangunkan UMS dan beberapa resort di Pulau Sipadan dan Mabul telah berjaya meraih beberapa anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa . 

Antaranya ialah, pingat perak Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah (PEREKA 2011), pingat gangsa Pameran Ciptaan Rekaan, Teknolongi dan Inovasi Antarabangsa (ITEX 2012 Malaysia) serta pingat perak Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2013.

"Teknik meletakkan tanda dikenali sebagai JS, yang diambil sempena nama individu yang bertanggungjawab membangunkan kaedah tersebut, Johny Hasbulah Buis daripada Sabah Parks dan Subuh Yunus daripada The Borneo Divers Mabul Resort.  

"Teknik ini diiktiraf sebagai kaedah yang selamat dan ideal untuk menangkap penyu bagi menjalankan kajian biologi. Kaedah ini menggunakan beberapa item seperti seperti tali, karabin dan beg angkut. Penggunaan teknik ini langsung tidak menakutkan penyu walaupun beberapa kali ia haiwan tersebut ditangkap untuk menjalankan kajian," katanya. 

Penanda digunakan untuk memberikan nombor pengenalan kepada setiap penyu dan penada tersebut dilekatkan di bahagian sirip hadapan. Penanda ini diperbuat daripada logam jenis Iconel dan yang mampu bertahan dalam air masin. 

Kepupusan penyu turut dipengaruhi dengan kewujudan haiwan pemangsa, kata Pushpa sering menyebabkan telur penyu yang dieram tidak sempat menetas kerana dimakan oleh haiwan berkenaan. 

"Telur penyu sering menjadi sasaran haiwan pemangsa seperti burung, ketam, semut dan ikan. Suhu pengeraman turut mempengaruhi kualiti telur yang dihasilkan oleh penyu betina. Justeru, tempat pengeraman yang sedikit terlindung daripada cuaca panas dapat mengelakkan daripada telur terkena jangkitan bakteria dan rosak sebelum proses penetasan," katanya. 

Bukan itu sahaja, Pushpa berkata, aktiviti menjual telur penyu sedikit sebanyak memberi kesan populasi penyu di negeri itu. 

"Di Sabah tindakan menjual telur penyu adalah salah di sisi undang-undang, ini kerana kadar kematian penyu laut sangat tinggi. Setiap telur penyu yang dieram dalam tanah perlu dibiarkan menetas dengan selamat bagi menambah populasi penyu sedia ada. 

Tegasnya, masyarakat perlu tahu sekiranya aktiviti menjual telur penyu ini tidak dibendung, penyu akan pupus tidak lama lagi. 

"Contoh yang jelas ialah penyu belimbing di Rantau Abang, akibat aktiviti menjual telur penyu yang berlebihan, ditambah pula dengan kematian penyu betina dewasa menyebabkan penyu spesies itu pupus. 

"Penyu laut merupakan spesies yang mempunyai kadar pertumbuhan yang perlahan, ia mengambil masa 15 hingga 20 tahun untuk mencapai tempoh matang. Setakat ini juga kita belum dapat pastikan, sama ada anak-anak penyu yang dilepaskan di laut akan kembali bertelur semula di kedua-dua pulau ini, katanya. 

Mengulas lanjut, Pushpa berkata, penyu hijau akan bertelur sekali dalam tempoh dua hingga tujuh tahun. 

"Apabila penyu betina ingin bertelur ia tidak boleh makan ketika proses berkenaan. Ia telah mempunyai bekalan makanan yang mencukupi melalui lemak terkumpul di bawah kulitnya. 

"Ketika proses pengeraman juga penyu betina akan mencari lokasi yang sesuai dan bertelur sebanyak 6 hingga 7 kali (kira-kira 100 biji dalam tempoh 10 hingga 14 hari) dapat dihasilkan setiap kali ia mendarat. Selepas itu barulah ia akan makan semula sebelum kembali ke laut," katanya. 

Justeru, beliau berharap dengan penganjuran program mendekati penyu dapat memupuk semangat masyarakat dalam menghargai fauna yang semakin sukar untuk ditemui. 

"Penyu adalah haiwan yang berkarisma, orang ramai mudah sayang kepadanya. Oleh itu, usaha mewujudkan lebih banyak pusat penetasan penyu wajar diwujudkan oleh pengusaha resort atau Jabatan Taman Laut di kawasan pantai yang sesuai," katanya. 

Artikel Lain