Jubli Emas: TV Malaysia Pamer Kematangan

Diterbitkan: Isnin, 30 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua, kiri) memotong kek bersama para artis sempena sambutan ulang tahun ke-50 TV Malaysia, di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua, kiri) memotong kek bersama para artis sempena sambutan ulang tahun ke-50 TV Malaysia, di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Masih jelas terbayang tarikh 28 Disember 1963.

Itulah tarikh bersejarah bagi industri penyiaran di Malaysia apabila TV Malaysia memulakan siaran di Lembah Klang dalam hitam putih.

Penduduk di kawasan lain pula mula menonton siaran televisyen (TV) setahun kemudian apabila siaran diperluas berperingkat-peringkat ke seluruh negara.

Pada ketika kebanyakan kampung masih belum menerima bekalan elektrik, satu-satunya cara penduduk kampung menonton siaran TV masa itu adalah melalui tenaga elektrik yang dijana daripada generator mudah alih.

Kampung penulis, Pengkalan Pegoh di Lahat, Perak juga demikian. Beberapa hari sebelum siaran bermula, seorang penduduk kampung yang agak berada mengumumkan bahawa beliau telah membeli sebuah peti televisyen dan sebuah alat generator.

Katanya, sesiapa yang ingin menonton hanya perlu membayar lima sen sebagai bayaran minyak generator.

TIBA HARI YANG DINANTI.

Pada hari yang dinanti-nantikan itu, berbondong-bondonglah orang kampung termasuk penulis, yang ketika itu baru darjah satu, ke rumah orang kaya itu.

Ketika penulis tiba, orang sudah ramai. Setiap ruang sudah dipenuhi. Ada yang berdiri di tangga, ada yang berdiri di luar tingkap memanjat basikal. Di dalam rumah memang sudah penuh seperti panggung wayang ketika tayangan filem Hindustan.

Penulis tidak ingat apa siri pertama yang ditonton itu tetapi kedatangan televisyen atau dipanggil TV melahirkan satu fenomena baharu dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang baru sahaja menyambut penubuhan sebuah negara baru Malaysia terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura tiga bulan sebelumnya.

LANTIK PAKAR LUAR.

Cadangan mewujudkan perkhidmatan TV dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet pada 16 Mac, 1960.

Satu jawatankuasa tetap yang dipengerusikan oleh Menteri Muda bagi Kementerian Penerangan dan Penyiaran, Syed Jaafar Albar dibentuk bagi mengkaji cadangan mewujudkan perkhidmatan TV yang dikendalikan kerajaan.

Anggota lain terdiri daripada Yaakob Latif (Pengarah Penerangan), Dol Ramli (Pengarah Penyiaran), J.H. Wagstaff (Ketua Pengarah Telekom) dan Ow Kheng Law (Ketua Unit Filem Negara) dan Penolong Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri, Abdullah Ayub bertindak sebagai setiausaha jawatankuasa.

Dua perunding Suruhanjaya Penyiaran Kanada (CBC) dilantik untuk menyediakan laporan mengenai pelbagai aspek penyiaran TV kepada kerajaan.

G.H. Jones, pakar kejuruteraan CBC telah mengemukakan beberapa cadangan mengenai aspek kejuruteraan pada 14 Ogos, 1962 manakala G.F. Brickenden, pakar perancangan dan pentadbiran CBC mengemukakan satu lagi laporan pada 1963.

Akhirnya pada 28 Disember, 1963, perkhidmatan TV Malaysia dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dari studio sementaranya di Dewan Tuanku Abdul Rahman di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

BERMULA DENGAN SATU SALURAN.

Dengan pelancaran itu, bermulalah fasa baharu industri penyiaran di negara ini setelah penubuhan stesen radio pertama di Tanah Melayu pada 24 Ogos, 1934.

Dengan pengawasan pakar CBC, TV Malaysia memulakan operasi dengan beberapa penggerak terdiri daripada anak tempatan.

Mereka ialah Ow Kheng Law (Pengarah TV), Kirpal Singh (Ketua Kejuruteraan) Raja Iskandar (Ketua Bahagian Rancangan) dan Luke Ang (Ketua Berita).

Mereka dibantu lapan penerbit termasuk (Tan Sri) Ahmad Merican, (Datuk) Abdullah Mohamad, (Datuk) Syed Alwi, Hashim Amir Hamzah, Low Hing Boon, Tan Gek Siam dan Richard Job.

Pada awal penubuhannya, TV Malaysia hanya mempunyai satu saluran yang bersiaran selama 44 jam seminggu dari pukul 6.30 petang hingga 9.45 malam manakala pada Sabtu dan Ahad siaran bermula pada pukul 3.00 petang dan tamat pada 11.10 malam.

Lima puluh peratus rancangan disiarkan secara langsung dari studio. Ini termasuk siaran berita dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil yang mengambil masa siaran 40 minit sehari.

Lima puluh peratus lagi siaran merupakan filem terbitan Filem Negara Malaysia serta rancangan import.

TEMPOH PELBAGAI FASA.

Walaupun kini Malaysia mempunyai lebih 10 stesen TV awam dan swasta dan lebih 150 saluran TV berbayar, industri penyiaran TV negara masih berpaksi kepada TV Malaysia.

"Selama 21 tahun, TV Malaysia satu-satunya stesen TV yang beroperasi sebelum tertubuhnya stesen TV swasta pertama pada 1984. Sebagai perintis industri penyiaran TV, TV Malaysia masih mampu bersaing dengan sekian banyak stesen swasta dan saluran berbayar kerana kami masih berpegang kepada matlamat asas kami iaitu memaklum, mendidik dan menghibur", kata Timbalan Pengarah (Penerbitan), Bahagian Program TV, Radio Televisyen Malaysia, Norliza Mohd Ali kepada Bernama.

Dalam tempoh lima dekad ini, TV Malaysia yang kini sebagai entiti penting dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah berjaya menempuh pelbagai fasa.

PERKEMBANGAN TEKNOLOGI PENYIARAN.

Setelah bersiaran melalui satu saluran selama lima tahun, rangkaian kedua diwujudkan pada 17 November, 1969.

Ini susulan pelancaran Wisma TV di Angkasapuri oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman pada 1968.

Pada 1978 pula, siaran TV warna dilancarkan dan sekaligus meletakkan ia setaraf dengan industri penyiaran di negara-negara lain.

RTM turut mengorak langkah dalam memanfaatkan teknologi media baharu dengan memperkenalkan penstriman TV.

Mulai tahun 2012, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu, Tan Sri Dr Rais Yatim telah melancarkan perkhidmatan penstriman TV melalui telefon pintar.

Seiring dengan perkembangan teknologi penyiaran dan ledakan media baharu, misi dan objektif RTM turut mengambil kira cabaran dan saingan dalam industri penyiaran terkini.

"Kami mahu menjadi peneraju industri penyiaran negara tetapi dalam masa sama tetap komited dalam melahirkan negara bangsa menerusi perkhidmatan penyiaran berteraskan gagasan 1Malaysia.

"Kami turut memanfaatkan teknologi maklumat dan media baharu untuk jangkauan khalayak yang maksimum serta memartabatkan Bahasa Melayu dalam membina negara bangsa", kata Norliza.

HASIL PENERBITAN BERMUTU.

Namun demikian, siaran TV konvensional tetap menjadi keutamaan RTM kerana majoriti penonton TV masih menggunakan kaedah penontonan cara lama.

Kini selain TV1 dan TV2, RTM turut memanfaatkan saluran TV berbayar dengan mewujudkan TVi dan Muzik Aktif.

"Untuk tempoh dua tahun ini, tumpuan utama kami adalah melahirkan tenaga profesional yang dapat menghasilkan kandungan dan hasil penerbitan bermutu menjelang pendigitalan sepenuhnya program TV pada 2015", kata Norliza.

Untuk itu, ruang dibuka seluas-luasnya kepada penerbit swasta agar terus membekalkan program-program bermutu kepada RTM.

"Selain memenuhi slot siaran, ia juga usaha kecil kami menyemarakkan industri penerbitan TV yang telah kami pelopori sejak program penswastaan rancangan TV diperkenalkan pada 1984", kata Noorliza. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan