MRT Corp Siap Sedia Langkah Keselamatan Roboh Bangunan MCA Di Kajang

Diterbitkan: Khamis, 31 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bangunan MCA Hulu Langat akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja projek pembinaan MRT Lembah Klang
Bangunan MCA Hulu Langat akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja projek pembinaan MRT Lembah Klang

KAJANG: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan memastikan kerja-kerja perobohan bangunan MCA Hulu Langat di sini tidak membahayakan orang awam dan menjejaskan aliran trafik di kawasan yang terlibat.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Strategik MRT Corp Amir Mahmood Razak berkata, pihaknya telah menetapkan beberapa ciri dan langkah keselamatan di tapak bangunan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan tiang dan pembinaan struktur keluli tinggi jajaran MRT bagi projek MRT Lembah Klang itu.

"Perobohan bangunan yang dulunya bangunan MCA Hulu Langat akan dimulakan pada awal November 2013.

"Kerja-kerja persediaan di tapak telah bermula pada pertengahan Oktober 2013 dengan memasang penghadang keselamatan, memasang mesin dan peralatan untuk kerja-kerja berat, penadah serpihan serta mengalihkan bahan mudah terbakar untuk memastikan kawalan dari segi keselamatan dapat dilakukan," katanya di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan dan memberi taklimat media mengenai persediaan MRT Corp untuk merobohkan bangunan MCA bagi membina jajaran MRT berhampiran stesen MRT Bandar Kajang.

Hadir sama Pengurus Pembinaan MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd Mohd Faiz Daud, Pengurus Projek UEM Construction Sdn Bhd Jazlan Salleh.

Amir Mahmood berkata, penghadang yang dipasang dua minggu lalu itu bertindak menghalang serpihan batu-bata daripada terjatuh atau terkeluar ke kawasan sekeliling tapak bangunan yang dirobohkan.

Jelasnya, selain memasang paip dan penghadang, sebuah penghadang 'skyfolding' dengan ukuran 10 kaki melebihi ketinggian bangunan berkenaan turut dibina.

"Apabila kerja-kerja perobohan dilakukan, tiada serpihan yang akan jatuh di sekitar kawasan tapak bangunan dan tidak akan terkena orang awam dan kenderaan yang lalu-lalang.

"Bagi mengelakkan habuk, ketika memecahkan struktur bangunan kita akan menggunakan pancutan air supaya habuk tidak berterbangan," katanya.

Beliau menambah, kerja-kerja perobohan bangunan tiga tingkat itu dijangka mengambil masa selama enam minggu.

Kerja-kerja akan dilakukan bermula dari pukul 7 pagi hingga 7 malam.

"Saya tidak melihat ia akan menimbulkan apa-apa masalah," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bangunan tersebut merupakan bangunan keempat selepas tiga bangunan komersial lain iaitu Stesen Bas Klang, Plaza Warisan dan Pasaraya UO di Jalan Sultan perlu dirobohkan untuk tujuan sama.

Sebelum ini, bangunan berkenaan tidak siap sepenuhnya dan belum sempat digunakan sehinggalah ia dipersetujui kerajaan untuk dirobohkan kerana menjadi sebahagian daripada laluan projek MRT.

Mengenai trafik dan persekitaran tapak perobohan, Amir Mahmood berkata Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sementara akan dilaksanakan di Lorong Mendaling, bersebelahan tapak bangunan menuju ke jalan utama iaitu Jalan Sungai Chua.

"Di bawah pelan ini, lorong ini hanya dibuka untuk trafik sehala untuk keluar ke jalan utama yang mana sebelum ini lorong itu menjadi laluan masuk dan keluar kenderaan.

"Pekerja dan penyelia keselamatan akan ditempatkan setiap masa untuk memantau aktiviti dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pejalan kaki yang lalu lalang di kawasan itu," katanya.

Beliau menambah, stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran juga tidak dirobohkan, tetapi tujuh peniaga gerai di belakang bangunan akan dipindahkan sementara sejauh 200 meter dari gerai asal masing-masing.

Projek MRT Lembah Klang Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 km turut melibatkan laluan bawah tanah sepanjang 9.5 km.

Selain stesen Bandar Kajang, dua buah lagi stesen MRT akan dibina di bandar itu iaitu di Saujana Impian dan berhampiran stesen komuter Kajang yang merupakan stesen terakhir bagi laluan MRT ini.

Projek ini dijangka siap pada 2017 dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 10 juta orang menjelang 2020.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan