Berikanlah Tumpuan Kepada Ekonomi...

Diterbitkan: Rabu, 30 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Wong Chun Wai
Wong Chun Wai

SAYA selalu merasa resah – dan saya percaya banyak rakyat Malaysia yang lain turut mengalami perasaan yang sama – melihat ahli-ahli politik, khususnya yang menjadi anggota parti yang terlibat dalam menguruskan negara, tidak mampu bercakap tentang perkara selain politik.

Sesiapa yang mengikuti perjalanan perhimpunan tahunan parti-parti politik akan melihat bagaimana persoalan ekonomi negara amat jarang diberikan keutamaan.

Anggota-anggota parti yang berucap dalam perhimpunan sedemikian lebih suka memperkatakan isu politik.

Mereka mengikut arus dan menyampaikan retorik yang mampu menarik perhatian agar mendapat tempat dalam media dan seterusnya meraih khalayak lebih luas daripada yang hadir dalam dewan perhimpunan.

Kita pernah menyaksikan segala jenis permainan.

Ada yang memuji-muji pemimpin mereka, ada yang mengemukakan tuntutan-tuntutan tidak munasabah, ada pula yang tampil seperti badut tanpa sepenuhnya menyedari bahawa jenaka yang mereka lontarkan itu adakalanya menyakitkan hati.

Memang, ada waktu yang diperuntukkan untuk perbahasan ekonomi, tetapi biasanya pihak yang berucap gagal melihat gambaran yang lebih luas.

Sebaliknya, mereka sering bercakap tentang bagaimana sesuatu kelompok berhak ke atas habuan yang lebih besar atau tentang siapa yang sepatutnya mendapat kontrak dan projek lumayan.

Pembangkang pula tampak gemar mengkritik semata-mata untuk menghentam tanpa mengemukakan Belanjawan alternatif yang lebih berdaya-maju.

Dalam perhimpunan agung tahunan mereka, ekonomi turut dijadikan agenda kurang penting.

Namun, ironinya, pembentangan Belanjawan mendapat liputan meluas dan ia boleh disebut sebagai acara paling banyak dianalisa sepanjang tahun.

Dalam perhimpunan tahunan parti politik, kita jarang sekali mendengar sebarang perbincangan yang rasional atau bijak tentang ekonomi dan tentang bagaimana negara ini perlu melangkah maju dalam persekitaran global yang sengit persaingannya.

Sedangkan hakikatnya habuan yang boleh kita kongsi semakin mengecut.

Tiada guna bercakap tentang pembahagian habuan jika kita tidak mampu menjana hasil dengan baik.

Lalu kita menghabiskan masa bertelagah tentang isu-isu yang tidak menyumbang kepada pengeluaran atau membantu mengukuhkan hubungan antara kaum.

Ahli-ahli politik kita diketahui suka bercakap tidak bertempat, lalu kita terkenal sebagai kaum yang suka membuat pengumuman tanpa terlebih dahulu mengkaji kesan-kesannya.

Tidak kira dalam soal dasar mahu pun undang-undang, para pemimpin kita cenderung untuk membuat pengumuman terlebih dahulu dan kemudian menunggu reaksi.

Jika reaksi yang diterima adalah negatif, mereka membuat semakan semula, berundur atau langsung mengabaikannya.

Padahal ketika itu kemudaratan telah terhasil dan dunia melihat kita sebagai masyarakat yang tidak memikirkan secara bersungguh-sungguh perkara yang serius.

Belanjawan 2014 dibentangkan pada Jumaat lalu dan kita tidak terperanjat mendengar perbelanjaan operasi telah ditingkatkan.

Dalam ungkapan mudah, kita berbelanja lebih daripada penghasilan.

Berdepan dengan keadaan sedemikian, siapa saja yang terlibat dalam perniagaan akan mula mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan, merendahkan biaya dan mencari jalan untuk meningkatkan penghasilan.

Ahli-ahli politik kita terlalu banyak berjanji dalam pilihan raya dan kini mereka perlu menunaikan janji.

Malangnya, beban daripada pendekatan populis mereka terpaksa ditanggung rakyat, khususnya para pembayar cukai yang terdiri daripada individu dan syarikat perniagaan.

Kerajaan terpaksa menggunakan wang simpanan untuk memberikan ‘habuan’ kepada rakyat. Lumrahnya, sesuatu yang tidak bagus dari segi ekonomi apabila kita mula menggunakan wang wimpanan.

Malangnya, dalam negara yang penduduknya sebanyak 28 juta orang ini, kumpulan pembayar cukainya adalah kecil, iaitu sekitar sejuta orang yang sebahagian besarnya terdiri dari anggota kelas menengah.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem percukaian kita.

Kata sesetengah orang, orang kaya boleh menjaga diri sendiri, manakala golongan miskin perlu dijaga.

Kelas menengah tersepit di tengah. Mereka yang paling merasa terbeban kerana tidak dapat mengelak daripada membayar cukai pendapatan tetapi pada masa yang sama terpaksa bergelut dengan kos sara hidup.

Mereka bukan seperti golongan kaya yang mampu untuk terus menjalani kehidupan mewah tidak kira apa masalah yang muncul. Pada masa yang sama, mereka tidak cukup miskin untuk layak menerima bantuan kerajaan.

Masalah yang sedang kita hadapi ialah golongan kaya masih terus menerima manfaat berupa barangan keperluan harian yang disubsidi seperti petrol, gula, dan tepung, sedangkan pada masa yang sama mereka mampu berbelanja membeli barangan mewah.

Kerana itu, lebih baik dan adil jika dilaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) supaya seseorang itu dikenakan cukai berdasarkan tabiat dan bentuk perbelanjaan.

Dengan mengembangkan cukai menerusi GST, ia juga diharapkan akan membekalkan dana untuk golongan miskin.

GST telah ditetapkan pada kadar 6% dan akan dilaksanakan mulai 1 April 2015.

Pada masa yang sama, kadar cukai individu dikurangkan antara satu hingga tiga peratus, manakala kadar cukai korporat akan dikurangkan satu peratus, iaitu dari 25% kepada 24%.

Sebahagian ahli politik telah mula menggunakan GST sebagai senjata politik.

Ini menyedihkan kerana begitu banyak negara Asean, termasuk Indonesia, Vietnam, dan Kemboja telah mula melaksanakan GST.

Malah, lebih 160 buah negara di dunia sedang menguatkuasakan GST.

Cukai patut dikembangkan kerana semua pihak yang berbelanja, termasuk golongan yang gemar mengelak daripada cukai dan para penjaja yang berjaya dalam perniagaan tetapi tidak perlu membayar cukai, kini akan membayar cukai menerusi GST.

Tiada siapa perlu membayar GST untuk sebungkus nasi lemak atau char koay teow. Terdapat sekitar 3,000 barang yang dikecualikan daripada GST nanti, termasuk barangan makanan.

Pendek kata, barangan seperti beras, gula, dan garam, serta perkhidmatan seperti bekalan air menerusi paip, bas, kereta api, kesihatan, dan tol lebuh raya tidak termasuk dalam senarai yang dikenakan GST.

Pelancong juga akan dibolehkan untuk mendapat potongan cukai jika mereka berbelanja lebih daripada jumlah tertentu, dengan tujuan mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang tidak membebankan.

Ahli-ahli politik tidak sepatutnya membantah GST tetapi sebaliknya meluangkan waktu untuk memastikan dana awam diuruskan dengan baik dan dibelanjakan secara tidak membazir dan tanpa kebocoran.

Rakyat Malaysia merasa marah apabila mereka membaca tentang pembaziran dan kebocoran yang dilaporkan setiap tahun oleh Ketua Audit Negara.

Mereka juga merasa putus asa melihat tiada tindakan diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan.

Tindakan pihak terbabit adalah tindakan jenayah, bukan semata-mata kerana kecuaian atau kebodohan.

Dalam sektor swasta, pelaku kesalahan pasti akan dikenalpasti dan dipecat.

Berlainan dengan kakitangan kerajaan. Mereka tidak dipecat jika berbuat salah.

Jumlah kakitangan awam Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia dan kadar gaji kumpulan ini sentiasa meningkat. Tahun lalu, kadar gaji mereka meningkat sebanyak 20%.

Malaysia memerlukan lebih banyak usahawan yang mampu membuka peluang pekerjaan, bukan lebih banyak kerani dan birokrat.

Rakyat Malaysia juga muak membaca tentang projek-projek yang biayanya tampak mengelembung.

Bagi mereka, ini kerana banyak pihak yang perlu dihulurkan ‘pelincir’.

Korupsi perlu dipandang serius jika kita mahu rakyat menyokong langkah berjimat-cermat.

Banyak isu berkaitan ekonomi yang boleh dijadikan tumpuan ahli-ahli politik. Semua mereka, tidak kira dari parti mana, perlu mengubah sikap dan tindakan.

Berikanlah tumpuan pada ekonomi.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan