Formula 'Menjadi' Mustapha Kamal Bantu Golongan Miskin

Diterbitkan: Rabu, 29 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mustapha Kamal
Mustapha Kamal

TAN Sri Datuk Mustapha Kamal Abu Bakar pernah berkata, usah berbicara tentang hidup susah dengannya kerana beliau awal-awal lagi pernah merasai dan melalui pengalaman sedemikian sebelum berada di tahap sekarang.

Bertitik tolak daripada pengalaman itulah maka pengerusi MK Land Holdings ini nekad untuk menjadikan sebuah kampung yang serba-serbi mundur dan penduduknya dikategorikan sebagai miskin tegar iaitu Kampung Selamat yang terletak di pinggir Tasik Bukit Merah, Perak, sebagai kampung angkat kepada syarikat beliau.

Falsafah beliau untuk melaksanakan program ini nampak mudah, namun agak mencabar untuk dilaksana iaitu 'memberi pancing', bukan 'memberi ikan' bagi membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kampung, khususnya dalam bidang pendidikan.

Ahli perniagaan ulung ini percaya apabila memberi pancing seseorang itu akan mendapat kemahiran memancing yang boleh digunakan sepanjang hayatnya untuk menangkap ikan berbanding memberi ikan, yang lambat laun akan habis.

Namun, idea dan usaha murni ini bukan tercetus sekarang atau baru sehari dua.

Sebaliknnya, program ini telah pun dimulakan beliau 18 tahun lalu.

"Jangan cakap tentang susah dan kesusahan kerana saya tahu maksud susah. Saya tahu betapa susahnya hidup susah. Datuk saya dulu seorang penjual sayur di pasar Ipoh.

"Sebab itu saya berfikir untuk tolong orang miskin, tolong melalui pendidikan. Pendidikan akan beri peluang untuk seseorang membuat pilihan. Saya nak buktikan jika diberi peluang, orang miskin pun boleh berjaya," katanya.

Mustapha Kamal berkata demikian ketika menguar-uarkan mengenai perkembangan dan keberkesanan program kampung angkat yang diletakkan di bawah Yayasan Emkay, 18 tahun lalu kepada pihak media di Bukit Merah Laketown Resort, baru-baru ini.

Mengimbas kembali pelaksanaan-pelaksanaan bagi menjayakan hasrat ini, Mustapha Kamal mengakui mengambil risiko kerana ia melibatkan perbelanjaan besar tanpa mengetahui hasil dan keberkesanannya.

Apatah lagi, apa yang dilaksanakan ini pada masa itu belum pernah dilakukan sesiapa, sama ada secara individu atau berkumpulan.

Namun, apabila memikirkan niat asal untuk membantu anak bangsa dan masyarakat, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

"Tradisi Mustapha Kamal dan MK Land tidak mahu orang lain jadi penonton tetapi mahu mengajak mereka sertai apa sahaja peluang yang terbuka," katanya yang ketika itu turut dalam proses membangunkan Tasik Bukit Merah dan Pulau Orang Utan yang kini menjadi sebuah pusat pelancongan terkenal di Perak.

Tersentuh melihat kedaifan penduduk yang pada masa itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan secara purata setiap keluarga berpendapatan RM250 sebulan, semangat beliau untuk membantu semakin berkobar-kobar.

Inisiatif dan pelaksanaan

PELAKSANAAN program ini dalam jangka masa panjang nyata memberi tumpuan terhadap pendidikan anak-anak di Kampung Selamat.

Bagi jangka masa pendek, bantuan kewangan diberikan selain usaha-usaha membaiki taraf hidup penduduk seperti membaiki rumah dan membersihkan kawasan persekitaran kampung.

"Jika pelajar kampung diberi peluang dengan kemudahan belajar sama seperti di bandar, mereka pasti mampu mencipta kejayaan," katanya penuh yakin.

Sama seperti pendidikan dan pembelajaran di bandar, sistem kelas bimbingan pendidikan berkualiti dan sistematik dibawa masuk ke Kampung Selamat melalui satu jawatankuasa khas yang dibentuk.

Dalam hal ini, tumpuan diberikan terhadap Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat yang merupakan satu-satunya sekolah di kampung itu dengan jumlah pelajar yang tidak sampai 100 orang pada masa itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kampung Angkat Kampung Selamat Mazlan Mat Yassin berkata di bawah Program Pendidikan Kampung Angkat Kampung Selamat (PPKAKS), murid-murid akan 'disambut' selepas tamat waktu belajar di sekolah.

"Selama ini murid-murid balik sekolah mereka bebas dan tidak tahu apa yang patut mereka lakukan.

"Jadi kita sambut mereka di kelas tambahan untuk isi masa terluang mereka.

"Selain tenaga pengajar dari sekolah, kita juga bawa masuk guru-guru luar yang terdiri daripada pemeriksa kertas peperiksaan dan dari Kuala Lumpur terutama pada cuti sekolah" katanya.

Tidak cukup dengan itu, pelajar turut dibawa mengikuti ceramah motivasi, ceramah kerjaya, lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur dan program-program lain yang menjurus kepada kemajuan pelajaran.

Mustapha Kamal sendiri sering turun padang untuk bertemu guru-guru, ahli jawatankuasa program, ibu bapa dan para pelajar bagi menyuntik semangat dan keyakinan kepada mereka.

Tidak hairanlah jika beliau cukup dikenali di kalangan merid-murid sekolah, malah beliau sendiri senang apabila disapa sebagai 'ayah' atau 'pakcik' oleh mereka.

Kesan & Hasil

TERNYATA perubahan dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan yang ditunjukkan di Kampung Selamat amat ketara berbanding 18 tahun lalu.

Beliau dilihat bukan sahaja bijak mencipta formula membangunkan bidang hartanah, tetapi juga pintar mewujudkan formula bagi memastikan keberkesanan tanggungjawab sosial.

"Dalam tempoh 40 tahun sebelum kampung ini diambil sebagai anak angkat, hanya terdapat dua orang graduan sahaja di kampung ini," katanya.

Dari segi pencapaian pelajar, seramai 17 pelajar telah mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 26 pelajar mendapat 4A 1B dari tahun 1997 hingga 2012.

Dilihat dari segi pencapaian sekolah pula, pada tahun 2003 sekolah ini telah menduduki tempat ke-12 dari keseluruhan 516 sekolah kebangsaan di Perak dan mendapat anugerah 'Bintang Akademik' oleh pengarah pendidikan negeri.

Pejabat Pelajaran Daerah Kerian turut menganugerahkan tempat pertama bagi Lonjakan Keseluruhan UPSR 2006 dan sijil penghargaan untuk Lonjakan 5A UPSR 2006 bagi kategori sekolah kurang daripada 50 calon.

Paling membanggakan apabila ramai anak jati kampung ini berjaya keluar dari kampung mereka untuk bersekolah asrama penuh seterusnya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

"Terima kasih kepada guru-guru dan Yayasan Emkay yang membuka minda dan peluang kepada kami sekeluarga untuk lebih maju.

"Saya tidak akan lupa jasa Tan Sri Mustapha Kamal yang banyak membantu dan tidak lupa bertanya khabar dan menjenguk kami di kampung," kata Mohd Yusof, bapa kepada anak jati Kampung Selamat Muhammad Farid yang kini sedang mengikuti kursus persediaan untuk belajar di luar negara.

Mohd Yusof juga berkerja sebagai pemandu bot di Resort Bukit Merah milik Mustapha Kamal.

Seorang lagi pelajar yang menunjukkan pencapaian membanggakan ialah Muhammad Farid Iwan Abdul Rauf yang berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Ottawa, Kanada dalam bidang kejuruteraan.

Cabaran Buat Golongan Korporat

SELEPAS 18 tahun, Mustapha Kamal kini boleh tersenyum puas dengan usaha dan pencapaian di kampung angkatnya, terutama dari segi peningkatan taraf pendidikan.

Justeru, beliau turut mencabar syarikat-syarikat korporat lain untuk melakukan perkara yang sama kerana ia terbukti berkesan dan boleh dipraktikkan.

"Saya ingin menguar-uarkan kepada semua bahawa program ini dapat digunakan di tempat lain dan saya harap pendekatan ini dapat digunapakai oleh golongan korporat lain yang membuat keuntungan berbilion ringgit.

"Jika program ini tidak berjaya, saya tak akan buat cabaran ini.

"18 tahun dulu kampung ini tak macam ini. Selama 18 tahun kita berusaha dan sekarang ia telah bertukar corak. Rumah batu pun sudah ada," katanya.

Katanya, beliau masih ingat lagi bagaimana ibu bapa pada 18 tahun lalu yang hanya menganggap pendidikan sebagai satu pilihan, bukan kemestian untuk anak-anak mereka.

Pada masa itu, anak-anak yang belum sampai masa untuk berkerja juga disuruh oleh ibu bapa mereka untuk melakukan sesuatu yang boleh menampung pendapatan keluarga.

"Kita bawa orang kampung ini dengan tiga buah bas untuk melihat sebuah kampung contoh di Kuala Langat dan minta ketua kampung bercerita bagaimana kampungnya boleh maju.

"Dengan melihat sendiri kemajuan itu, wujud perasaan untuk maju dan akhirnya timbul kesedaran dalam diri mereka untuk sama-sama menjayakan program ini," katanya.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan