Kebahagiaan Warga Emas Pada Tahun Baru Cina

Diterbitkan: Khamis, 27 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pengurus The Curve, Adele D. Flores melancarkan festival 'Kegembiraan Musim Bunga' di The Curve, Petaling Jaya, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Pengurus The Curve, Adele D. Flores melancarkan festival 'Kegembiraan Musim Bunga' di The Curve, Petaling Jaya, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tahun Baru Cina kali ini meraikan tahun arnab yang melambangkan kebijaksanaan, kesihatan, kekayaan dan kemakmuran.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, tradisi sambutan Tahun Baru Cina tidak akan lengkap tanpa tarian singa, mercun, makan besar, pertemuan semula, menziarahi saudara-mara, angpow merah dan limau mandarin.

Bertemakan 'Kegembiraan Musim Bunga' ('The Joy of Spring'), The Curve di Petaling Jaya telah mengatur pelbagai aktiviti menarik sempena festival 30 hari sambutan Tahun Baru Cina hinggalah 15 Februari depan.

Ini termasuk hiasan mewah kraf kertas merah di ruang dalam laluan pejalan kaki dengan pelbagai lambang zodiak Cina khususnya arnab yang dikenali sebagai haiwan yang bijak selain pokok Sakura merah bercahaya dan tanglung.

Sepanjang festival itu, pelbagai acara telah diatur termasuk persembahan menarik tarian singa akrobatik oleh kumpulan tempatan 'Kwong Ngai Acrobatic Lion Dance Troupe' yang telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa.

Sebagai pelancaran festival itu, seramai 14 warga emas dari rumah kebajikan warga emas Joyhaven telah diraikan dengan pertunjukan istimewa tarian singa, penampilan 'Dewa Kemakmuran' dan persembahan anak-anak arnab yang comel.

Pengurus The Curve, Adele D. Flores berkata, The Curve telah mengatur dengan teliti aktiviti sepanjang festival ini bagi menyebarkan kegembiraan dan penghargaan kepada pengunjung tanpa melupakan golongan tua.

"Kami amat berbesar hati dengan kehadiran warga emas dari Joyhaven yang turut bersama kami bagi memeriahkan perayaan penting ini," ujarnya.

Selain menerima cenderahati dan angpow, warga emas yang hadir dihidangkan dengan makan tengah hari termasuk menggaul 'yee sang' setinggi yang boleh sebagai simbol kekayaan dan kemakmuran untuk tahun ini.

MENGUKIR SENYUMAN WARGA EMAS

Mengenai rumah kebajikan Joyhaven, ia ditubuhkan pada 2001 di Seksyen 12, Petaling Jaya oleh badan kebajikan Kristian antarabangsa, The Salvation Army.

Kemasukan ke rumah kebajikan ini, menurut sukarelawan kebajikan yang mengiringi rombongan, Joon Moi, adalah berdasarkan permohonan yang mana waris residen akan memberi sumbangan kewangan sepanjang penginapan residen.

Bagaimanapun, ada juga kes tertentu yang mana residen dirujuk ke rumah itu kerana tiada tempat lain untuk dituju ekoran hidup sebatang kara seperti seorang residen yang dikenali sebagai Micheal Goh, 69 tahun.

"Goh dirujuk ke Joyhaven tujuh tahun lepas dari Hospital Besar Kuala Lumpur selepas mengalami episod kemurungan yang sangat serius.

"Dia hidup dalam kekecewaan tanpa tempat bergantung malah pernah cuba membunuh diri dari bumbung bangunan, namun berjaya diselamatkan oleh pihak bomba," jelas Joon Moi sambil menambah Goh kini mampu bersosial dan hidup dengan gembira serta aktif berkebun di sekitar kawasan rumah kebajikan.

Katanya, matlamat utama Joyhaven ialah menyediakan persekitaran selesa bagi membolehkan warga emas menghabiskan sisa-sisa hidup mereka dengan cara bermaruah.

Residen digalakkan berdikari malahan kebanyakan mereka mempunyai rutin dan hobi tersendiri seperti riadah pagi, senaman tai chi atau sebarang kerja-kerja rencam yang mereka mahu lakukan.

Malah terdapat juga aktiviti mingguan seperti kelas menjahit dan kraftangan selain keluar membeli-belah setiap minggu.

"Buat masa ini, rumah yang boleh memuatkan 24 warga emas itu, didiami oleh 17 warga emas dari pelbagai latar belakang," ujar Joon Moi.

KISAH HIDUP DUA BERADIK

Barangkali antara kisah paling menarik residen yang paling lama menetap di Joyhaven ialah dua beradik Tham Siew Meng, 74, dan Tham Kwai Heng, 76.

Asalnya ibu mereka merupakan anak kepada peniaga kaya dari Pulau Pinang tetapi kehidupan mereka mula berubah apabila perniagaan keluarga tiba-tiba menemui kegagalan.

Selaku anak perempuan tunggal, Kwai Heng taat menjalankan tanggungjawab menjaga ibunya yang sakit, bagaimanapun, apabila ibunya meninggal dunia, dia telahpun berusia 45 tahun, tanpa sebarang pendidikan asas, tidak pernah berkahwin atau bekerja di luar rumah.

Ini menjadikannya terpaksa merempat selama 22 tahun dengan mengambil upah kerja-kerja kecil demi mencari sesuap nasi.

Seperti kakaknya, Siew Meng juga tidak pernah bersekolah, tetapi telah dihalau keluar rumah dan merempat di jalanan sejak usia 14 tahun.

Dia hanya mampu mengisi perut melalui upah membasuh pinggan serta menumpang tidur di bawah teduhan warung tepi jalan.

Pada usia emas masing-masing 64 dan 67 tahun, mereka berdua ditemui merempat di setinggan di Selayang yang sedang dibersihkan untuk pembangunan.

Bayangkanlah betapa gembiranya mereka menikmati segelas susu dan tidur di atas katil buat pertama kali selepas sekian lama, ini menurut Siew Meng merupakan kenangan paling bermakna buat dirinya.

Bagi Kwai Heng pula, tidak menyesali nasibnya yang dia tidak pernah berumahtangga, kerana diberkati dengan kegembiraan hidup bersama residen lain yang dianggap sebagai keluarga sendiri.

"Walaupun tidak mempunyai anak, saya tetap ternanti-nanti sambutan Tahun Baru Cina yang sangat meriah bersama kawan-kawan," ujarnya sambil melemparkan senyuman penuh erti.

SEKILAS TRADISI TAHUN BARU CINA

Mengikut tradisi, beberapa hari sebelum tahun baru, setiap rumah akan dibersihkan dengan teliti bagi membuang semua nasib buruk dari tahun sebelumnya serta menyediakan ruang untuk rezeki dan nasib yang baru.

Pada hari pertama tahun baru pula, rumah tidak boleh dibersihkan atau disapu kerana dibimbangi rezeki baru yang akan dikurniakan oleh dewa akan tersapu keluar.

Tradisi balik kampung pula membolehkan jamuan ‘makan besar’ diadakan sebagai tanda kemakmuran dan perpaduan keluarga.

Golongan muda walau di manapun berada akan pulang ke kampung halaman untuk melawat ibu bapa, datuk serta nenek dan saudara mara lain yang lebih tua manakala pada hari kedua pula, ibu bapa dan saudara mara lain belah isteri pula akan dilawati.

Kedua-dua tradisi yang dikenali sebagai ‘kunjungan tahun baru’ itu adalah aspek penting yang menandakan ketaatan mendalam dan rasa hormat golongan muda kepada ibu bapa.

Semasa kunjung mengunjung, selain pemberian limau mandarin dan hadiah berbentuk makanan, golongan dewasa akan memberi angpow kepada pelawat yang masih belum berkahwin.

Lazimnya, sampul angpow yang berwarna merah akan diisi dengan jumlah wang bernombor genab yang boleh bernilai sehingga ratusan ringgit, sekaligus menjadikan not merah RM 10 sebagai nilai angpow yang popular di Malaysia.

MAKNA DARI SEGI MITOS

Perayaan paling penting bagi masyarakat Cina ini telah disambut sejak beribu-ribu tahun dahulu, serta membawa makna tersendiri bukan sahaja dari sudut tradisi malahan mitos.

Menurut mitos, Tahun Baru Cina disambut sebagai tanda kejayaan rakyat negara China purba menentang raksaksa Nien yang muncul pada hari pertama tahun baru setiap tahun.

Bagi mengelakkan ia menyerang ternakan, tanaman dan manusia terutama kanak-kanak, penduduk terpaksa berkorban dengan meletakkan hidangan makanan di pintu rumah.

Hinggalah pada suatu hari apabila penduduk kampung menyedari kelemahannya Nien yang terkejut melihat seorang kanak-kanak yang berpakaian merah.

Hanya dengan itu, penduduk mula menggantung tanglung besar, skrol kertas dan kain pemidang merah di pintu dan tingkap masing-masing selain menyalakan mercun bagi menghalau Nien sekaligus memulakan tradisi baru sambutan Tahun Baru Cina. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan