suria

Industri Minyak Sawit Ancam Tapak Ramsar

SANDAKAN: Malaysia mempunyai kawasan tanah lembap yang agak luas dengan pengiktirafan antarabangsa sebagai tapak Ramsar dan satu daripada kawasan tanah lembap ini seluas 78,000-hektar terletak di Sabah.

Tapak-tapak Ramsar, yang diiktiraf di bawah konvensyen Ramsar, iaitu satu perjanjian antarabangsa yang ditandatangani di Ramsar, Iran, pada 1971, perlu dipulihara dan digunakan secara lestari.

Tapak Ramsar di Sabah ini meliputi kawasan Hutan Simpan Paya Bakau Trusan Kinabatangan, Hutan Simpan Paya Bakau Kuala Segama-Maruap dan Hutan Rizab Hidupan Liar Kulamba di hilir Kinabatangan-Segama, dan mewakili 60 peratus daripada hutan bakau yang masih terdapat di Malaysia.

Malaysia telah mendapatkan bantuan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dalam melindungi tapak ini, yang merupakan antara usaha di bawah program Konservasi Biodiversiti dan Ekosistem Borneo (BBEC) di Sabah. Program ini kini berada pada Fasa II.

JICA membantu dengan menawarkan kepakaran teknikal serta nasihat dalam melaksanakan aktiviti pemuliharaan. Bagaimanapun, Ketua Penasihat BBEC II Motohiro Hasegawa memberitahu Bernama bahawa beberapa kepincangan perlu diatasi jika tidak usaha pemuliharan tapak kaya biodiversiti ini pasti sukar.

PENCEMARAN DARI LADANG-LADANG KELAPA SAWIT

Ancaman utama kepada Tapak Ramsar Sabah jelas sekali berpunca daripada ladang-ladang kelapa sawit, kata Hasegawa. Ancaman lain, kata beliau, adalah terhad. Tapak Ramsar itu sebahagian besarnya terletak di hilir lembangan sungai, katanya, jadi selagi tiada aktiviti pemuliharaan yang baik di hulu lembangan sungai ini, tapak di hilir ini pasti terancam.

Beliau berkata kawasan hulu di Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak merupakan kawasan hutan dara. Bagaimanapun, kilang minyak sawit dan ladang-ladang kelapa sawit mendominasi bahagian tengah. Dan di mana terdapat ladang dan kilang minyak sawit terdapat pula sisa buangan industri dan pertanian, dua daripada sisa buangan yang sukar untuk dirawat. Ini tidak membantu dalam melindungi kawasan tanah lembap ini.

"Oleh itu, kami perlu menjalankan program kesedaran supaya ladang-ladang kelapa sawit ini mengambil kira aspek pemuliharaan dalam operasi mereka," kata beliau. Kesedaran awam akan isu ini adalah sangat penting.

Beliau berkata semua kawasan lembangan sungai kini dianggap sebagai kawasan pemuliharaan, jadi adalah wajar bagi kilang-kilang minyak sawit yang terdapat di bahagian tengah lembangan untuk mengambil kira aspek pemuliharaan dalam operasi mereka.

"Kami merancang untuk mengadakan bengkel mengenai aspek pemuliharaan dalam industri kelapa sawit pada Julai. Kami akan menjemput penggiat industri ini untuk mendedahkan mereka mereka kepada teknologi terbaru dalam merawat sisa buangan kilang minyak sawit, teknik-teknik untuk mengurangkan sedimen dan sebagainya," kata Hasegawa.

Mengawal sisa buangan daripada kilang-kilang walaupun satu cabaran yang sukar, tetapi jika perbuatan ini tidak dibendung ia akan mengancam masa depan tapak Ramsar itu.

"Kami bercadang memperkenalkan persijilan RSPO (Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari), kepada semua ladang dan kilang dalam tempoh 10 tahun," kata beliau.

KERJASAMA PENTADBIRAN MERUPAKAN KUNCI

Satu masalah tipikal dalam pentadbiran hutan serta tugas-tugas pemuliharaan yang dilaksanakan berbilang agensi ialah ketiadaan koordinasi dalam pentadbiran.

Hasegawa berkata sebahagian daripada masalah ialah ketidakseimbangan kuasa, dengan ada pihak lebih berkuasa daripada yang lain.

"Terdapat institusi-institusi berkuasa seperti Jabatan Perhutanan di Sabah, dan sebaliknya institusi seperti Jabatan Hidupan Liar Sabah pula agak lemah.

"Jika anda mempunyai pihak yang kuat dan lemah, pasti sukar untuk mewujudkan koordinasi dalam pentadbiran," kata beliau.

Bagaimanapun, Hasegawa berkata pengalaman 20 tahun beliau menunjukkan ia masalah biasa bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di banyak negara lain.

Jadi, apa yang kita perlu buat? Mengkordinasi usaha pemuliharaan, kata beliau.

Buat masa ini, Jabatan Perhutanan bertanggungjawab bagi satu aspek dan Jabatan Hidupan Liar pula bagi aspek lain.

"Tindakan-tindakan ini tidak terselaras. Kita perlu membangunkan satu mekanisme untuk merangkai pelbagai agensi dan bekerjasama dalam satu usaha pemuliharaan tergabung atau jika tidak usaha pemuliharaan ini menjadi sia-sia dan kita tidak mahu ini berlaku.

"Kita perlu mengkordinasi usaha-usaha ini dan berusaha ke arah pemuliharaan bersepadu," kata beliau.

Satu pendekatan 'sektor tertutup' juga sangat penting, kata beliau.

"Dalam berbuat demikian, pembabitan pihak ketiga sangat cekap dan berguna.

"JICA, yang bukan sebahagian daripada birokrasi Sabah ataupun Malaysia, telah menggunakan pendekatan ini sejak Fasa I BBEC pada 2002. Ia membantu menyelaraskan tugas agensi-agensi ke arah tujuan yang sama," kata Hasegawa.

Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 telah membantu mewujudkan laluan perundangan untuk menubuhkan badan tunggal bagi menyelia dan menyelaras usaha pemuliharaan biodiversiti di seluruh negeri.

Badan yang diperkatakan itu ialah Majlis Biodiversiti serta sekretariatnya, Pusat Biodiversiti Sabah (SBC), di mana JICA telah menghantar sukarelawannya untuk membantu.

PERANAN JICA

Sistem pemuliharaan yang digunakan oleh JICA dalam BBEC I dan II di bawah Konvensyen Biodiversiti merupakan pendekatan ekosistem. Ini bermakna mereka melihat alam sekitar secara menyeluruh dan menyesuaikan aspek pengurusan untuk memuliharanya.

Hasegawa berkata: "Apa yang ia lakukan ialah proses sistematik dan kitaran yang mengenalpasti masalah alam sekitar berdasarkan kepada data. Kami perkenalkan tindakbalas berdasarkan kepada masalah yang wujud, kami melaksanakannya dan kemudian memantau bagaimana ia dapat membantu. Jika ia tidak berhasil, kami akan muncul dengan langkah tindakbalas lain."

Kehadiran JICA di Malaysia adalah mengikut permintaan daripada kerajaan Malaysia, dan peranannya dalam BBEC adalah untuk menghulurkan bantuan teknikal kepada Malaysia dengan menghantar profesional Jepun untuk bekerja sepenuh masa bersama rakan-rakan tempatan.

Hasegawa mengingatkan bahawa peranan JICA dalam BBEC II ialah untuk menghulurkan sokongan kepada Enakmen Biodiversiti Sabah serta untuk memudahkan usaha pemuliharaan bersepadu, dan oleh itu penghargaan harus diberikan kepada usaha yang diambil oleh agensi-agensi berkaitan di negeri itu.

"Kami sekadar menghulurkan sokongan kepada SBC untuk mengkordinasi usaha pemuliharaan pelbagai agensi, selain daripada menghulurkan sebanyak mungkin bantuan teknikal bagi usaha-usaha pemuliharaan," katanya.

JICA merupakan sebuah institut pentadbiran bebas, yang melaksanakan projek-projek yang menerima bantuan rasmi kerajaan Jepun. Ia bertindak sebagai agen penghubung antara penduduk Jepun dan negara-negara membangun, melanjutkan kerjasama antarabangsa menerusi perkongsian pengetahuan dan pengalaman.

JICA juga menyumbang kepada kepentingan antarabangsa serta matlamat seperti membasmi kemiskinan dan kebuluran, pendidikan, kesamarataan gender, pengurangan kadar kematian kanak-kanak dan memastikan kelestarian alam sekitar.

Konvensyen Ramsar merupakan nama tidak rasmi Konvensyen mengenai Tanah Lembap Penting Antarabangsa Sebagai Habitat Unggas Air. Konvensyen ini merupakan satu perjanjian antarabangsa bagi pemuliharaan dan penggunaan lestari tanah lembap. Malaysia menjadi pihak kepada konvensyen ini pada 10 Mac 1995 dan agensi yang bertanggungjawab baginya ialah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Sebanyak 5 lagi tapak Ramsar di Malaysia ialah Taman Negara Tanah Lembap Kuching (Sarawak), Pulau Kukup (Johor), Sungai Pulai (Johor), Tanjung Piai (Johor) dan Tasek Bera (Pahang). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain