Bila Ibu Bapa Bertemu Guru

Diterbitkan: Khamis, 8 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUBANG JAYA: Sekolah-sekolah di seluruh negara telah melepasi suku pertama penggal persekolahan tahun 2010 dan banyak yang sudah mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

Pada mesyuarat ini, ibu bapa diberi peluang menyuarakan pandangan serta cadangan dan pendapat mereka tentang isu-isu di sekolah bagi tujuan penambahbaikan pembelajaran anak-anak mereka.

Sudah tentu AGM merupakan ruang terbaik bagi ibu bapa menyuarakan idea serta sokongan terhadap pihak pentadbiran sekolah.

Menurut seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Usha, beliau hadir pada AGM PIBG sekolah anaknya kerana mahu mengenali sekolah itu dengan lebih dekat.

"Saya sampai awal dan tidak rasa rugi hadir sesi perbincangan ini. Saya dapat jumpa ramai ibu bapa dan saya percaya mereka yang datang berjumpa dengan guru pada pagi hujung minggu sebegini adalah komited dan berhasrat menyumbang kepada sekolah," kata Usha kepada Bernama ketika meninggalkan dewan SMK USJ12 bersama dengan teman-teman yang baru dikenali pada mesyuarat itu.

AGM PIBG

Banyak sekolah di Lembah Klang mengadakan AGM PIBG mereka pada bulan Mac , sebelum bermulanya cuti sekolah penggal pertama.

Ibu bapa dan guru, sememangnya mempunyai peranan besar membentuk anak-anak yang masih di bangku sekolah.

Mereka menyumbang waktu berharga bersama generasi ini, memberi anak-anak mereka pendidikan dan penjagaan yang sudah tentu mempunyai impak terhadap pembentukan mereka yang berada dalam lingkungan umur ini dan juga bagi masa depan mereka.

Tetapi dalam menaruh harapan yang besar terhadap anak-anak mereka, ibu bapa dengan secara tidak sengaja melepaskan beban tanggungjawab kepada guru-guru.

IBU BAPA DAN GURU SAMA PENTING

"Saya percaya guru dan ibu bapa sama penting dalam mengejar kecemerlangan serta kesempurnaan pendidikan anak-anak," menurut bapa kepada tiga anak yang masih di sekolah rendah, Abu Haziman.

Abu Haziman menghantar ketiga-tiga anaknya ke sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina yang berhampiran rumah beliau di Subang Jaya.

"Saya memang tak faham dan tak tahu bertutur bahasa Mandarin. Jadi bila saya hadir mesyuarat PIBG ini saya menerima hakikat yang mesyuarat hampir keseluruhannya dijalankan dalam bahasa Mandarin. Tetapi bila mereka mengedarkan dokumen tentang akaun perbelanjaan dan pendapatan saya boleh faham apa yang tertera dengan angka," kata beliau.

Sementara itu ibu kepada dua anak, Amy Rosley, berpendapat sebaliknya.

"Kebelakangan ini saya jarang hadir mesyuarat sebegini. Saya dapati terlampau banyak perkara yang dicakapkan tetapi tiada apa yang dijalankan selepas cadangan disuarakan. Agak mengecewakan bila anda meletakkan harapan tinggi bagi melihat suatu perubahan", kata beliau.

KERESAHAN IBU BAPA

Ada juga ibu bapa yang bimbang untuk memberikan komen, takut nanti ia mencetuskan rungutan serta percanggahan pendapat. Ibu bapa juga takut anak mereka 'disenarai hitam' oleh sekolah jika mereka terlampau banyak mengutarakan rungutan.

Tetapi 'ketakutan serta kekuatiran' ini sebenarnya tidak perlu, kerana secara semula jadinya memang sifat manusia akan terasa hati bila ditegur atau diberi pandangan negatif.

Penulis hadir pada AGM PIBG ke-9 sesi 2010/2011 sebuah sekolah menengah baru-baru ini.

Walapun jumlah pelajar di sekolah itu seramai 2,280 orang, ibu bapa yang hadir tidak mencerminkan angka berkenaan. Ibu bapa menyuarakan pendapat serta cadangan mereka secara bertulis sebelum bermulanya mesyuarat itu.

Antaranya mereka meminta kelas tambahan bagi pelajar yang akan meduduki peperiksaan PMR atau SPM terutamanya pada hujung minggu atau cuti sekolah.

Pada mesyuarat itu, guru kurikulum menerangkan bahawa kelas sedemikian memang akan diadakan setiap tahun lebih-lebih lagi bila hampir musim peperiksaan bagi membantu pelajar yang agak lemah.

"Sehingga kini, pelajar-pelajar memberikan reaksi yang baik terhadap sistem sekolah. Guru adalah ibu bapa juga. Kami juga punya anak. Kami tahu betapa pentingnya pelajaran bagi anak-anak ini", kata beliau.

"Ibu bapa memang mengambil berat tentang prestasi anak mereka. Mereka mahu yang terbaik," kata seorang guru Bahasa Inggeris yang mesra dengan panggilan Lucille.

PIBG merupakan satu hubungan yang penting bagi pertalian antara klien dan sekolah, membuatkan ia menjadi lebih interaktif, proaktif dan berkekalan.

Ini memberi manfaat bagi pelajar serta anak-anak di Malaysia dalam jangka panjang terutama bila terdapat satu jalinan kukuh yang wujud tanpa batasan antara ibu bapa dan pendidik. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan