Memulihara Biodiversiti Kita

Diterbitkan: Jumaat, 19 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAHUN 2010 dikhususkan sebagai Tahun Antarabangsa Biodiversiti (IYB2010) untuk meraikan alam kehidupan di bumi ini dengan negara-negara dan rantau berusaha meningkatkan lagi komitmen dalam memulihara sumber genetik.

Di rantau ini, Asean pula telah mengisytiharkan tahun 2011 sebagai Tahun Biodiversiti Asean yang dianggap bertepatan pada masanya memandangkan sumber-sumber genetik semakin pupus oleh kerana pembangunan pesat serta penggunaan secara berlebihan dan kurang cekap.

Walaupun rantau Asean mewakili tiga peratus daripada permukaan bumi, ia menjadi tuan rumah kepada 20 peratus daripada kesemua flora dan fauna yang diketahui. Gunung-ganang, hutan, sungai, tasik dan lautan di Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam mewakili antara khazanah biodiversiti terbesar di dunia.

Biodiversiti yang kaya ini membantu Asean menampung populasinya yang berjumlah separuh bilion dan dengan itu sudah tiba masanya bagi rantau ini untuk mengambil kira sumber-sumber genetiknya dan mula menggunakannya secara lestari.

Tetapi ini sudah pasti bukan mudah memandangkan biodiversiti kurang dihargai dan kerakusan manusia pula tiada hadnya. Di sinilah mereka yang terbabit dalam pemuliharaan mahukan pendekatan yang lebih menggamit semua pihak berkepentingan, yang saling menguntungkan pemilik dan pengguna sumber-sumber genetik.

BIODIVERSITI KHAZANAH TIDAK TERNILAI BAGI MANUSIA

Dalam mencari penyelesaian jangka panjang bagi memulihara biodiversiti, Asean harus mengambil iktibar daripada objektif ketiga Konvensyen bagi Kepelbagaian Biologi (CBD) yang menekankan kepada Akses dan Perkongsian Manfaat (ABS).

Semasa sebuah bengkel mengenai Biodiversiti di Jakarta, antara pembuka tirai bagi IYB2010, yang dianjurkan oleh Pusat Asean bagi Biodiversiti yang terletak di Filipina dan Sekretariat Konvensyen bagi Kepelbagaian Biologi (SCBD), Suhel Al-Janabi menjelaskan kelebihan pendekatan ABS.

Al-Janabi dari Deutsche Gesellschaft fUr Technische Zusammenarbeit (GTZ) di Jerman bermula dengan menunjukkan beberapa contoh menarik akan inisiatif pembangunan kapasiti ABS di Afrika.

Contoh-contoh ini menunjukkan bagaimana pengetahuan tradisional akan sumber genetik bukan sahaja telah dikomersil tetapi dipulihara melalui inisiatif pemilik-pengguna.

Satu contoh menarik ialah bijiran bebas gelatin yang dikenali sebagai Teff. Selama lebih 5,000 tahun penduduk Ethiopia dan Eritrea telah menanam dan menggunakan Teff kerana ia mudah dihadam dan kaya dengan kalsium. Teff kini digunakan dengan meluas di Barat untuk membuat roti diet khas.

Dalam contoh ini para petani di Afrika adalah pemilik sumber genetik ini dan Barat pula adalah pengguna sumber ini. Barat bukan sahaja mempunyai akses kepada sumber ini tetapi juga berkongsi hasil daripada sumber ini bersama pemiliknya, sebagai contoh menerusi pemindahan teknologi dalam penanaman atau dalam penjanaan kapasiti. Ini bukan sahaja membantu memulihara sumber genetik ini tetapi juga dalam meningkatkan sumber ini.

Juga terdapat contoh-contoh lebih kurang sama yang lain. Penduduk San di Afrika Selatan memakan sejenis kaktus sukulen yang tumbuh semulajadi di rantau itu - Hoodia Cordonii - yang membantu mereka menahan rasa lapar dan dahaga semasa pergi memburu untuk tempoh beberapa hari. Hari ini, kandungan tumbuhan ini digunakan dengan meluas sebagai penahan rasa lapar dalam formula-formula pengurangan berat badan.

Di Malaysia, para penyelidik telah mengasingkan unsur tertentu daripada getah sejenis pokok (Calophyllum lanigerum var.auslrocoriaceum) yang digunakan untuk merawat human immunodeficiency virus type 1 (HIV-1).

Orang Cina, kata Al-Janabi, telah lama menggunakan tumbuhan Artemisia yang hari ini digunakan untuk membuat ubat anti-malaria.

BERKONGSI SUMBER GENETIK

Sementara contoh di atas menunjukkan betapa penting umat manusia memulihara biodiversiti, pemilik dan pengguna sumber-sumber genetik memainkan peranan penting di sini.

Valerie Normad dari SCBD berkata sementara konvensyen biodiversiti mengiktiraf kedaulatan negara-negara terhadap sumber genetik masing-masing, perkongsian adil dan saksama manfaat daripada penggunaan sumber genetik ini merupakan intipati objektif ini.

Pembekal dan pengguna, kata beliau, juga harus mempertimbangkan manfaat bukan kewangan - usaha melatih saintis tempatan dan penjanaan kapasiti, peruntukan sokongan infrastruktur dan teknologi, kemudahan perkilangan di negara pembekal, royalti yang dikongsi oleh pembekal dan pengguna serta pemilikan bersama hak harta intelek.

Beliau berkata dalam menepati objektif, undang-undang tempatan perlu disesuaikan supaya menjadi pelengkap kepada ABS selain membolehkan penjanaan kapasiti dan pemindahan teknologi.

HERO BIODIVERSITI

Sementara itu, dalam membawa penyertaan semua peringkat masyarakat Pusat Asean bagi Biodiversiti mempelawa mereka yang sanggup memperjuangkan biodiversiti - hero moden yang boleh membawa biodiversiti lebih dekat dengan diri anda.

Kader pejuang, tidak kira individu, perbadanan atau pertubuhan akan memainkan peranan sebagai duta rakan bagi biodiversiti.

Pusat ini mahukan penyertaan langsung masyarakat kerana umat manusialah yang mempunyai keupayaan untuk menentukan nasib dan kelestarian alam sekitar.

Peranan mereka akan dinilai daripada segi sumbangan mereka demi kebajikan manusia, pembasmian kemiskinan dan sebagai asas bagi mencapai Matlamat Pembangunan Millennium.

Jadi sudahkah anda bersedia untuk menyahut cabaran sebagai duta rakan Asean bagi biodiversiti? - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan