Pendirian Seimbang Najib Mengenai Agama Terserlah Melalui Curahan Pendapat

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AMAT jarang sekali akhbar The Wall Street Journal begitu bermurah hati memperuntukkan semuka penuh bagi menyiarkan pandangan dari Malaysia.

Tetapi, perkara ini terjadi hari ini apabila ia berbuat demikian bagi menghidangkan kepada pembaca pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul dan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kalau adapun persamaan tentang pandangan dua pemimpin politik ini ialah secara kebetulan, ia tersiar di halaman yang sama, tetapi daripada segi pendirian, jika direnung secara mendalam, perbezaan pandangan mereka amat ketara sekali.

Melalui curahan pendapat beliau bertajuk, Finding Unity in Malaysia's Diversity (Mencari Perpaduan Dalam Kepelbagaian Malaysia), Najib mempamerkan sikap tenang dan seimbang beliau apabila menyentuh tentang agama isu yang agak sensitif berikutan kejadian merosakkan gereja dan rumah ibadat lain di negara ini.

Beliau berkata, yang pasti, Malaysia bukanlah satu-satunya negara di mana terdapat segelintir individu melakukan perbuatan jenayah dengan alasan kononnya untuk mempertahankan agama tertentu.

Bagaimanapun, semangat sebenar rakyat pelbagai kaum dan agama negara ini terpamer dengan begitu jelas apabila mereka senada dalam mengutuk tindakan keji segelintir individu yang tidak bertanggungjaab itu, katanya.

"Saya sangat berharap agar tindakan merosakkan tempat ibadat dan perbuatan khianat yang dilakukan terhadap Gereja Metro Tabernacle serta bantahan keras yang disuarakan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia mengenainya, memberi suatu pengajaran kepada kita," tulis beliau.

Najib menyambung: "Kami akan hadapkan pengkhianat ini ke muka pengadilan. Sambil itu, inilah juga masanya untuk kami bersatu padu sebagai suatu bangsa bagi sama-sama mengutuk keganasan dan memperkukuhkan tekad untuk terus komited terhadap usaha menjayakan misi nasional yang dikenali sebagai '1Malaysia'."

Jaminan Najib itu merupakan penawar yang diperlukan bagi meredakan suasana tegang yang tercetus akibat perbuatan segelintir individu yang berfikiran sempit.

Beliau juga menyentuh tentang pelbagai pembaharuan lain yang sedang dilaksanakan, seperti pengliberalan ekonomi, menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan dan meningkatkan peluang pendidikan kepada seluruh rakyat Malaysia serta mengaku bahawa ada kalanya, usaha melaksanakan pembaharuan menghadapi kesukaran kerana politik.

"Bagaimanapun, ia tetap penting kerana secara jangka panjang, kesihatan masyarakat Malaysia dan ekonomi negara ini boleh dipertingkatkan melalui apa yang menyatupadukan kami, bukan apa yang memecahbelahkan kami. Kami tidak akan melencong daripada usaha untuk menjayakan 1Malaysia," tulis beliau.

Demikianlah sikap seorang pemimpin yang kuat dan bertanggungjawab serta sedar bahawa beliau perlu bertindak secara adil dan bertanggungjawab terhadap seluruh rakyatnya. Ini sejajar dengan ungkapan yang sering disuarakan oleh Najib bahawa beliau adalah Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun tugas yang perlu dilaksanakan tidaklah semudah yang diucapkan, tetapi Najib memberi banyak harapan dan keyakinan kepada rakyat negara ini, walaupun sekali-sekala timbul polarisasi kaum di sana sini akibat tindakan segelintir individu yang berfikiran sempit.

Harapan merupakan suatu unsur penting dalam kehiduapan seharian kami, terutama melalui lapan nilai teras yang dianjurkan melalui gagasan 1Malaysia penerimaan, integriti, rendah hati, ketabahan, kesetiaan, budaya kecemerlangan, pendidikan dan meritokrasi yang secara jangka panjang menjadi asas yang amat berguna dalam membina sebuah Malaysia yang lebih kukuh, kata beliau.

Kini, semakin ramai yang meyakini bahawa nilai tersebut akan menjadi kuasa penyatu di kalangan rakyat negara ini kerana mereka mengharapkan masa depan yang lebih cerah di bawah kepimpinan Najib.

Istilah "Harapan" juga sering dijadikan azimat oleh pemimpin pejuang hak asasi manusia Amerika-Afrika dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan Dr Martin Luther King, Jr, yang pernah berkata: "Kalau anda hilang harapan, anda akan hilang kekuatan yang meneruskan kehidupan, anda akan hilang semangat untuk hidup, kualiti yang membantu anda untuk terus maju, biar apapun rintangan yang dihadapi. Oleh itu, hari ini, saya terus memiliki impian."

Berbeza dengan Najib, Anwar melakar masa depan yang gelap bagi Malaysia dan mengundang masyarakat antarabangsa mempunyai pandangan buruk terhadap negara ini.

Dalam tulisan bertajuk, Muslims Have No Monopoly over Allah (Umat Islam Tidak Boleh Memonopoli Kalimah Allah), beliau berkata wawasan Malaysia untuk menjadi sebuah negara aman dan menyediakan lokasi yang stabil bagi tujuan pelaburan, pelancongan dan penghijrahan, kini terancam.

Nama baik Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai etnik dan agama kini musnah, katanya.

Malah, Anwar tergamak berkata bahawa perbuatan khianat terhadap rumah ibadat yang berlaku baru-baru ini mencerminkan "kesilapan cara Malaysia melayan rakyatnya yang bukan Islam."

Beliau juga mendakwa ekonomi Malaysia juga tidak berkembang, manakala standard pendidikannya menurun dan jumlah kes jenayahnya pula meningkat. Sebaliknya, kita patut bertanya: Adakah ekonomi kita begitu teruk? Adakah anak-anak kita di univerisiti tempatan menjadi manusia yang bahlul? Adakah kini kita berasa takut untuk keluar makan di bandar pada waktu malam?

Orang sering berkata, sesuatu pembohongan yang sering diulang akhirnya akan diterima sebagai suatu kebenaran. Kita perlu hindari manusia yang hanya pandai memutarbelitkan kebenaran dan gemar menarik perhatian ramai.

Mereka yang gemar menyebarkan pembohongan perlu sedar bahawa "anda boleh menipu sesetengah orang sepanjang masa, tetapi tidak boleh menipu semua orang sepanjang masa." - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan