Fahami Jualan Langsung Agar Tidak 'Terjebak' Penipuan

Diterbitkan: Selasa, 29 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TIDAK dinafikan, perniagaan jualan langsung menyediakan peluang dan masa depan yang cerah kepada pengguna.

Kaedah perniagaannya jika dilakukan secara serius dan bersungguh-sungguh mampu memberi pendapatan yang lumayan. Malah ia diakui sebagai satu industri besar sehingga jumlah jualannya mampu mencecah berbilion ringgit.

Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) melaporkan, nilai perolehan yang dicatat bagi industri jualan langsung negara pada 2008 berjumlah RM5.6 bilion dengan RM3.15 bilion daripadanya disumbangkan oleh anggota DSAM yang terdiri daripada 55 buah syarikat multinasional dan tempatan.

Kejayaan ini disebabkan konsep jualan terus ini menjamin perkhidmatan dan penerangan yang sampai secara langsung kepada pengguna.

Penerangan dan maklumatnya yang jelas, turut memberi kepuasan kepada mereka.

Antara produk popular menerusi aktiviti jualan langsung membabitkan produk makanan kesihatan, kosmetik dan pil pelangsing.

Bagaimanapun, aktiviti jualan langsung kini dicemari oleh sikap segelintir pihak yang berusaha mengaut keuntungan dengan cara yang negatif. Sehingga timbul pandangan sinis dalam kalangan orang ramai terhadap perniagaan jualan langsung.

Daripada perniagaan berkonsepkan jualan terus kepada pengguna, ada pula segelintir syarikat jualan langsung yang menukar strategi pelan pemasaran mereka iaitu daripada kaedah jualan langsung kepada kaedah penajaan ahli.

Kaedah penajaan ahli ini lebih menitikberatkan kepada penajaan ahli baru oleh penaja dan lebih dikenali sebagai sistem Jualan Pelbagai Peringkat atau 'Multi Level Marketing' (MLM).

TANGGUNG HUTANG BANK KERANA MLM

Pelbagai cara digunakan penaja untuk menarik ramai ahli di bawahnya. Bagi yang kekurangan modal, mereka diminta membuat pinjaman bank. Kaedah ini dinamakan front loading iaitu memaksa ahli atau pengedar membeli barangan atau servis terlebih dahulu dengan nilai yang tinggi.

Masalah timbul apabila ahli tidak mampu menjual produk berkenaan dan akhirnya terpaksa menanggung kerugian.

Bagi Mohd Shah Lamat, 23, hutang bank sejumlah RM23 ribu terpaksa ditanggungnya apabila mengambil keputusan tidak mahu meneruskan perniagaan itu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bukan kerana tidak mampu menaja ahli baru, tetapi berasa was-was dengan cara keuntungan yang diperoleh secara atas angin.

"Saya mula terfikir adakah rezeki tersebut halal apabila ia melibatkan keuntungan yang diperoleh atas cara menindas orang lain. Maksudnya downline (ahli di bawah) saya menderita kerana terpaksa menanggung beban kewangan.

"Apa yang saya lakukan sekarang ialah hanya menjual produk yang sedia ada di dalam simpanan dan mendapat keuntungan atas jualan produk. Dan bukannya keuntungan atas penajaan ahli. Begitu jugalah yang saya nasihatkan kepada downline saya," jelas beliau yang setakat ini membayar hutang bank atas hasil jualan produk yang dibelinya.

Bagi beliau konsep jualan langsung tidak salah kerana ia membantu meningkatkan pendapatan.

"Tetapi biarlah menggunakan cara yang betul serta tidak menyusahkan orang lain. Saya terima jika ia benar-benar jualan langsung dan tidak membabitkan sebarang aktiviti yang berbentuk skim piramid," jelasnya yang pernah menyertai lima syarikat jualan langsug.

ANTARA JUALAN LANGSUNG DAN MLM

Dalam kalangan pengguna, masih ramai yang keliru di antara Jualan Langsung dan MLM sehingga menyebabkan ramai yang menganggap perniagaan MLM dan Jualan Langsung ialah satu bentuk perniagaan yang sama.

Akta Jualan Langsung 1993 menakrifkan jualan langsung sebagai jualan dari pintu ke pintu dan jualan pesanan.

Bermaksud, ia tidak dijual atau dipamerkan di kompleks membeli-belah atau di kedai runcit, sebaliknya bergerak dengan melantik ejen-ejen yang telah dilatih. Ejen inilah yang akan memberi penerangan dan menjual produk syarikat.

Sementara MLM pula ialah satu bentuk pelan pemasaran yang menekankan pencarian ahli baru dalam bentuk penajaan. Contohnya setiap ahli dikehendaki mencari atau menaja beberapa ahli baru untuk diletakkan di bawahnya atau dipanggil downline.

Ada juga situasi melibatkan setiap ahli mencari beberapa individu untuk diajak menghadiri ceramah berkaitan produk yang dianjurkan syarikat dan jika mereka menyertai skim itu, secara automatik mereka akan menjadi downline kepada ahli berkenaan.

Sistem ini turut dikenali sebagai skim piramid yang mana idea asasnya ialah seseorang itu membuat hanya satu pembayaran, tetapi dijanjikan keuntungan berganda daripada orang lain, sebagai balasannya.

Kebanyakan skim ini mengambil peluang di atas kekeliruan antara perniagaan sebenar dan penipuan membuat wang atau mencari keuntungan yang rumit.

Jika diperhatikan, skim piramid ini tidak mempunyai keuntungan akhir. Dengan kata lain, ia merupakan sistem berantai yang membolehkan individu terawal mendapat keuntungan daripada wang yang dilaburkan oleh ahli bawahan mereka.

Bagi mendapatkan wang, ahli perlu mencari lebih ramai orang bawahannya dan begitulah seterusnya. Hasilnya, skim ini berakhir dengan membayar peserta baru melalui jualan barang dengan harga yang tinggi dan bukannya melalui pembayaran yuran pendaftaran awal "peserta".

PILIH YANG TERBAIK

Usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mewujudkan peraturan mengenai skim piramid di dalam Akta Jualan Langsung 1993 sangat bertepatan berikutan terdapat banyaknya aduan mengenai penipuan yang dilakukan dengan berselindung di sebalik nama Jualan Langsung.

Bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat syarikat yang menggunakan skim piramid secara sah dengan memberi keuntungan sama rata kepada ahlinya. Ciri yang membezakan kedua-dua konsep ini ialah wang bagi skim piramid sebahagian besarnya datang daripada peserta itu sendiri.

Selalunya keuntungan pelabur awal akan lebih banyak daripada pelabur terkemudian.

Bagi MLM yang sah, wang atau keuntungan datangnya daripada jualan barang atau perkhidmatan kepada pelanggan yang tidak menyertai skim itu.

Paling utama, jika pengguna ingin melibatkan diri dalam perniagaan jualan langsung, pilihlah produk atau perniagaan yang sesuai. Pengguna perlu suka, selesa dan percaya dengan barangan yang dipilih bagi memudahkan mereka menjualnya kelak.

Pastikan juga anda memilih perniagaan yang mempunyai pelan pemasaran yang memberi ganjaran terhadap kerja iaitu jualan anda. Jangan sesekali memilih perniagaan jualan langsung yang bergantung hanya kepada kemasukan ahli baru kerana ia tidak akan bertahan lama.

Bagi pengguna yang berminat untuk mengetahui atau membuat sebarang aduan mengenai Jualan Langsung, boleh menghubungi talian Hotline 1-300-888-255/1-300-888 AJL atau layari laman web KPDNKK di www.kpdnkk.gov.my. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan