Kecemerlangan dan profesionalisme masih kepunyaan hospital awam

Diterbitkan: Jumaat, 6 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KADANG KALA kita mendengar pelbagai rungutan tentang 'wujudnya' perkhidmatan yang dikatakan agak tidak memuaskan di hospital awam, baik mengenai masa menunggu yang lama sama ada di klinik pesakit luar atau untuk mengambil ubat di farmasi.

Begitu juga dengan beberapa aduan tentang layanan serta khidmat lain yang tidak berapa mesra dan mengecewakan.

Adakah ini mencerminkan tentang kualiti khidmat yang disediakan sektor kesihatan awam?

"Bagi saya, tidak sekali-kali," kata bekas pensyarah maktab perguruan, Ismail Ibrahim.

Bagi mereka yang sependapat dengan Ismail, isu tentang khidmat yang tidak memuaskan boleh timbul di mana-mana hospital termasuk juga di institusi kesihatan swasta.

"Memang tidak dapat dinafikan, sekali dua mungkin timbul beberapa masalah tentang perkhidmatan dan layanan terhadap pesakit di hospital awam tetapi masalah yang sama pun wujud juga di hospital swasta.

"Tetapi, khidmat yang tidak memuaskan di hospital kerajaan selalu mendapat perhatian umum dan digambarkan sebagai serius apatah lagi digembar-gemburkan di dalam laporan media. Perkara yang sama pun wujud dan ada berlaku di hospital swasta tetapi ini terlepas pula daripada pandangan dan reaksi orang ramai.

"Bagi saya ini sudah menjadi lumrah hidup yang kita harus hadapi. Apa-apa yang berlaku di institusi awam seperti hospital serta agensi yang lain akan menarik perhatian umum sebab badan-badan ini beroperasi di atas dana kerajaan dan sudah tentu mereka mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti," kata beliau.

CEPAT MENGADU, MALAS NAK MEMUJI

"Sudah menjadi kebiasaan (rakyat Malaysia), kalau ada masalah mereka akan cepat melenting dan mahu mengadu tetapi yang agak pelikya mereka pula tidak semurah itu bila mahu memuji," kata jururawat Halimatun Saadiah Ramli yang bertugas di sebuah pusat perubatan awam di sini.

Bagi Halimatun, memang terdapat ramai orang yang menikmati perkhidmatan cemerlang atau setidak-tidaknya layanan yang memuaskan di hospital awam, tetapi yang agak anehnya mereka ini merasakan tidak perlu melahirkan rasa terima kasih dan menceritakan kepuasan hati.

"Tetapi, kalau anda melawat wad-wad di pusat perubatan awam, sudah tentu anda akan terpandang kad-kad ucapan terima kasih yang terpampang. Kad-kad ini dihantar oleh pesakit dan juga keluarga mereka.

"Ini ialah bukti mereka menyanjung tinggi jasa doktor dan jururawat yang bertugas tanpa mengira penat dan waktu di hospital awam.

"Adalah baik untuk memberi sanjungan di mana perlu, tetapi kita (institusi awam) pula tidak perlu mendabik dada sambil berkata kita ialah yang terbaik," tambah beliau.

MURAH, SELESA DAN RAWATAN BERTARAF DUNIA

Bekas penjawat awam, Hashimah Madon, berkata hospital kerajaan mempunyai piawaian yang tinggi bagi perkhidmatan mereka.

"Walaupun banyak rungutan yang dilemparkan terhadap hospital awam, banyak di antara institusi kesihatan ini yang mempunyai perkhidmatan yang murah, selesa serta juga bertaraf dunia," kata beliau.

Menurut Hashimah, beliau baru-baru ini dimasukkan ke sebuah pusat perubatan awam.

"Makcik sakit dada dan terpaksa menjalani angioplasti. Kena duduk wad selama lima hari. Bayangkan bilnya hanya RM15 (RM3 bagi satu hari) sebab makcik orang pencen. Mana nak cari?

"Kalau di (hospital) swasta bilnya sudah tentu berbelas ribu (ringgit). Nasib baik makcik ni bekas kakitangan awam... kerajaan sangat prihatin tentang pekerja sektor awam," katanya.

UNTUK SEMUA RAKYAT MALAYSIA

Sementara itu, seorang pegawai kejururawatan di pusat perubatan yang sama, berkata hospital awam ialah untuk semua rakyat tanpa mengira kedudukan.

"Kalau institusi kesihatan swasta hanya untuk mereka yang mampu, itu tidak bagi hospital awam bahkan ada di antara mereka yang dari golongan berada pun memilih mendapatkan khidmat hospital awam kerana kecekapan dan tahap profesionalisme tinggi yang sedia ada.

"Negara mempunyai kepakaran terbaik dalam bidang perubatan dan kebanyakan daripada pakar-pakar ini masih berkhidmat di hospital awam seperti universiti hospital di seluruh negara," tambah pegawai itu.

Dalam Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan memperuntuk RM14.8 bilion untuk membina dan menambah baik hospital serta klinik kesihatan awam.

Kerajaan juga akan mengembangkan lagi khidmat klinik komuniti di kawasan bandar dengan mewujudkan Klinik 1Malaysia.

Klinik-klinik ini, yang akan beroperasi di rumah kedai, akan memberi khidmat untuk masalah kesihatan yang asas seperti demam, batuk dan selesema dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

KECEMERLANGAN DAN PROFESIONALISME

Baru-baru ini, penulis secara kebetulan 'berpeluang' mengukur tahap profesionalisme dan kecekapan di hospital awam.

Bila mengalami sakit dada dan sesak nafas ketika sedang mandi, penulis mengambil keputusan untuk segera pergi ke sebuah pusat perubatan awam di sini.

Sampai sahaja di pintu pusat Unit Kecemasan dan Kemalangan, penulis segera didapatkan oleh petugas di situ.

Jururawat yang bertugas terus membawa penulis ke Dewan Rawatan Akut di mana rawatan awal terus diberi. Kemudian penulis dikerumuni beberapa orang doktor yang bertindak memberikan rawatan serta ujian darah yang diperlukan dengan cepat.

Tidak lama selepas itu seorang pakar yang 'on call' turut memberikan rawatan.

Setelah keadaan penulis stabil, beliau terus dimasukkan ke sebuah wad penjagaan koronari untuk pemerhatian lanjut dan selang satu hari selepas dimasukan ke wad berkenaan, beliau menjalani prosedur angiogram yang dijalankan oleh seorang pakar kardiologi.

Beliau kemudian dibenarkan pulang ke rumah pada tengah malam hari yang sama.

Itulah yang dimaksudkan sebagai kecemerlangan dan profesionalisme tetap kepunyaan institusi kesihatan awam. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Kolumnis

iklan

Iklan