suria

Adakah anda membasuh atau membasahkan tangan?

Adik-adik biasa cuci tangan tak sebelum makan? Sekumpulan kanak-kanak tadika dengan suara nyaring menjawab "ya" apabila seorang jururawat bertanya kepada mereka baru-baru ini.

Bagaimanapun, berapa lama sebenarnya masa yang diperlu untuk membasuh tangan anda supaya benar-benar bersih?

Tinjauan yang dilakukan Dettol baru-baru ini terhadap 1,000 ibu bapa warga Malaysia menunjukkan kita mengambil mudah amalan mencuci tangan ini. Tinjauan itu menunjukkan 34 peratus daripada ibu bapa berpendapat 5-saat sudah memadai untuk membasuh tangan sementara 34 peratus lagi berkata 10-saat.

Kedua-duanyanya tidak mencukupi, demikian kata Catherine Tantoco, Pengarah Pemasaran Reckitt Benkiser (M) Sdn Bhd yang memasarkan produk pencuci dan bahan penyahjangkit termasuk Dettol, Lysol, Pine-O-Cleen dan Sagrotan.

Beliau berkata: "tempoh optimum untuk mencuci tangan ialah 20 saat dan jika kurang daripada itu anda sebenarnya hanya membasahkan tangan!"

"Perkara paling penting mengenai kebersihan tangan ialah membasuhnya dengan betul menggunakan teknik tertentu. Tangan kita perlu digosok dengan betul bukan sahaja pada telapak tangan tetapi juga keseluruhan tangan," katanya semasa Kempen Sekolah Dettol 2009 yang bertujuan mendidik kanak-kanak mengenai pentingnya menjaga kebersihan menerusi amalan mencuci tangan dengan betul.

Kempen ini dianjurkan bersama Pusat Perubatan Pantai dengan sokongan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kempen ini disasarkan kepada 25,000 murid berumur antara 5-10 tahun di tadika dan sekolah rendah.

CARA MENCUCI TANGAN DENGAN BETUL

Pada majlis pelancaran itu, kanak-kanak diajar cara betul membasuh tangan melalui satu kaedah yang menyeronokkan dan sukar dilupakan dengan kanak-kanak diajar mengenai kuman, bagaimana ia boleh menjangkiti mereka dan betapa pentingnya bagi mereka memastikan tangan mereka selalu bersih.

"Pastikan 100 peratus tiada kuman pada tangan kamu," kata jururawat Azian melalui penyampaian yang menggunakan animasi menarik dan berwarna-warni untuk mengingatkan kanak-kanak itu bahawa mereka perlu membasuh tangan selepas bermain di luar rumah.

"Kita perlu cuci tangan sebelum makan, selepas ke tandas dan selepas bersin. Basuh kedua-dua tangan menggunakan sabun pencuci tangan dan air bersih, gosok tapak tangan, gosok setiap jari dan juga ruang-ruang di antara mereka, gosok kuku dan belakang tangan, cuci tangan dengan air yang bersih dan keringkan tangan dengan tuala yang bersih dan kering," kanak-kanak itu diberitahu.

Objektif utama kempen itu ialah mendidik kanak-kanak mengenai cara betul membasuh tangan dan kebersihan diri memandangkan mereka lebih mudah terdedah kepada kuman kerana sentuhan mereka dengan persekitaran luar, rakan-rakan, alat permainan dan haiwan peliharaan.

HFMD BERBAHAYA

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai kanak-kanak di Malaysia dilaporkan dijangkiti penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

"Mengajar kanak-kanak untuk membasuh tangan mereka merupakan cara terbaik dan paling murah dalam melindungi mereka daripada penyakit-penyakit ini," kata Tantoco.

Dettol memetik Dr Christopher Lee, Pengerusi Majlis Kebersihan Asia sebagai berkata orang ramai mesti memahami cara mencuci tangan secara berkesan memandangkan ia mengurangkan beban bakteria pada tapak tangan dan seterusnya risiko jangkitan.

Majlis Kebersihan merupakan inisiatif global yang disokong oleh Dettol.

"Kanak-kanak mudah dijangkiti. Mereka akan menyentuh kanak-kanak lain yang dijangkiti dan lebih kerap bersentuhan dengan anggota keluarga lain termasuk datuk dan nenek yang mungkin lebih cenderung dijangkiti. Mengajar kanak-kanak mengenai cara mudah menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan mereka dengan betul boleh memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian jangkitan," jelas beliau.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Sallehuddin Abu Bakar yang melancarkan kempen itu berkata sejak beberapa tahun lepas terdapat peningkatan dalam kes penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Selesema Burung dan HFMD.

"Terdapat banyak punca bagi penyakit-penyakit ini, lazimnya ialah kekurangan penjagaan kebersihan diri. Mencuci tangan, tanpa diragui merupakan cara yang paling mudah, paling berkesan daripada segi kos dan murah dalam mencegah penyakit.

"Kanak-kanak pun boleh melakukannya. Apa yang diperlukan ialah air dan sabun," katanya.

PENYAKIT BERJANGKIT MELALUI TANGAN

Kementerian Kesihatan baru-baru ini melancarkan kempen keselamatan makanan kebangsaan untuk menangani masalah keracunan makanan yang amat membimbangkan di sekolah-sekolah.

Mesej utama dalam kempen ini ialah mengingatkan kanak-kanak supaya mencuci tangan mereka memandangkan pencemaran lazimnya berlaku antara makanan dan tangan, katanya.

Pengurus Kanan Khidmat Pelanggan Hospital Pantai S.Amupillay menarik perhatian bahawa jangkitan paling lazim berlaku menerusi tangan dan amalan mencuci tangan amat penting bagi kanak-kanak supaya mereka sihat dan boleh makan dengan betul, seronok bermain dengan rakan-rakan dan hadir ke sekolah.

Pusat perubatan itu, katanya, sentiasa menekankan mengenai pentingnya amalan membasuh tangan disebabkan penyakit berjangkit lazimnya merebak melalui tangan.

Bersempena dengan kempen itu, Dettol mengelolakan sebuah program pendidikan di radio untuk mewujudkan kesedaran terhadap HFMD dan bagi menggalakkan penjagaan kebersihan tangan. HFMD merebak melalui sentuhan langsung sering kali melalui tangan yang tercemar atau melalui sentuhan pada permukaan yang dicemari virus. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain