suria

Menguji batasan untuk meminda undang-undang tukar agama

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan untuk merujukkan kes melibatkan hak penjagaan anak dan penukaran agama anak lelaki S. Shamala dan Muhamad Ridzwan (Dr Jeyaganesh C. Mogarajah) ke Mahkamah Persekutuan Selasa lepas telah mencetuskan beberapa isu menarik.

Paling penting, ini akan menjadi ujian terbesar bagi kerajaan dan juga badan kehakiman negara apabila Kabinet membuat keputusan berani bahawa anak kepada pasangan yang telah bercerai perlu diasuh dengan agama yang dianuti semasa perkahwinan mereka, sekiranya seorang daripada mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Keputusan penting yang dibuat oleh Kabinet dua minggu lepas itu bakal menjadi ujian kepada mahkamah tertinggi negara jika undangundang dan enakmen sedia ada dipinda untuk memberikan tafsiran jelas mengenai perkara berkaitan dengan kes penukaran agama, menurut kalangan pengamal undang-undang.

Kebanyakan orang melihat keputusan Kabinet itu sebagai langkah penyelesaian terhadap kekecewaan ibu bapa apabila anak mereka ditukar agama tanpa pengetahuan, persetujuan atau bertentangan dengan kehendak mereka.

Langkah itu selaras dengan semangat 1Malaysia, konsep yang dilihamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menggesa rakyat Malaysia mengelak daripada melihat sesuatu perkara itu daripada perspektif etnik yang sempit atau apa yang disifatkannya sebagai "silo etnik".

Malaysia mempunyai dua sistem perundangan iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Mahkamah Rayuan telah memutuskan untuk merujukkan lima persoalan perlembagaan kepada mahkamah tertinggi sebelum perbicaraan rayuan kerana ia mahu Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman mengenai percangggahan antara undang-undang Islam dan sivil mengenai penukaran agama dan kebebasan beragama.

Sebagai contoh, terdapat persoalan sama ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993, yang memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama untuk menukar agama anak mereka daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu atau bapa yang kekal dengan agama asal, adalah tidak konsisten dengan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961.

Ini kerana pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak memberikan hak samarata kepada ibu atau bapa dalam pengasuhan dan penjagaan anakanak mereka.

Isu lain ialah sama ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang persekutuan berkaitan dengan isu menukar agama mereka di bawah umur oleh ibu bapa.

Mahkamah Persekutuan juga perlu memutuskan sama ada Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah yang bercanggah dan jika berlakunya penukaran agama kanakkanak daripada perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh ibu atau bapa tanpa persetujuan pihak ibu atau bapa yang bukan Islam, dengan itu di manakah ibu atau bapa bukan Islam itu boleh mendapatkan penyelesaian.

Dalam kes Shamala-Muhamad Ridzwan, kedua-duanya bergantung kepada kedua-dua set perundangan, Muhamad pada undang-undang syariah dan Shamala pada Akta Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

Di bawah sistem undang-undang yang berbeza itu, kedua-dua mereka diberikan hak penjagaan kedua-dua anak lelaki mereka yang dilahirkan sepanjang 11 tahun perkahwinan mereka, dan tujuh tahun kemudian, kes mereka masih tiada noktahnya.

Perkara yang sama juga berlaku dalam kes Indira Ghandi dan K. Patmanathan (Mohd Ridzuan Abdullah), di mana mahkamah syariah sebelum itu memberikan hak penjagaan sementara anak kepada Mohd Ridzuan dan dua minggu kemudian, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan sementara kepada Indira.

Pada kaca mata orang ramai, ini merupakan perkara yang serius jika Mahkamah Persekutuan perlu membuat tafsiran mengenai sama ada mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa ke atas mahkamah syariah jika perkahwinan itu asalnya didaftarkan mengikut undang-undang sivil.

Bagaimanapun, sesetengah pihak bimbang bahawa tanpa sebarang pindaan terhadap undang-undang sedia ada, keputusan Kabinet itu mungkin tidak dapat membantu mereka yang mencari jalan penyelesaian terhadap masalah mereka.

Seperti ditegaskan oleh Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan, arahan Kabinet merupakan kenyataan dasar yang memerlukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada bagi penguatkuasaan sepenuhnya.

"Perundangan relevan perlu segera dipinda untuk dilaksanakan sepenuhnya arahan itu tanpa tertangguh lebih lama lagi," katanya.

Senator Datuk Gooi Hoe Hin berkata, menerusi semangat 1Malaysia, kerajaan sekarang perlu segera meminda beberapa undang-undang untuk menjamin bahawa hak asasi bukan Islam yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan tidak dicabuli.

Undang-undang yang perlu dipinda ialah Perkara 12(4) dan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 (semakan 1988) dan Akta Undang-Undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

Pindaan berkenaan adalah untuk memastikan prinsip asas bagi sistem sosial yang adil dan saksama dapat dipertingkatkan, dengan itu akan dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan, kata Gooi.

Bagaimanapun, ada pihak yang berhujah bahawa meminta kerajaan membuat perubahan dengan kadar segera adalah mudah tetapi realitinya ia akan mengambil masa.

Lebih-lebih lagi yang membabitkan perkara penting berkaitan dengan pindaan undang-undang Islam yang memerlukan perkenan raja-raja Melayu dan persetujuan badan-badan agama Islam.

Beberapa organisasi Islam dilaporkan membantah arahan Kabinet itu dan ini menimbulkan tanda tanya sama ada pindaan seumpama itu dapat dilaksanakan.

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria menyatakan kerajaan perlu mendapatkan pandangan Majlis Mufti Malaysia kerana tegasnya "dalam Islam apabila bapa atau ibu adalah beragama Islam, anak secara automatik menjadi Islam kecuali anak itu berumur 15 tahun ke atas dan mereka boleh membuat pilihan agama."

Rata-rata peguam syariah Malaysia berpendapat keputusan Kabinet itu telah menafikan hak orang yang memeluk agama Islam.

Peguam kanan Roger Tan berkata, Mahkamah Persekutuan boleh membuat mana-mana keputusan atau ia mungkin tidak membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu dan akan meminta pengubal undang-undang untuk mencari penyelesaian berhubung bidang kuasa yang bercanggah atau bertindih.

"Mahkamah Persekutuan boleh membuat sebarang keputusan. Ia boleh lari daripada keputusan biasa. Tiada siapa tahu dengan pasti," katanya.

Apa pun, kerajaan perlukan sokongan majoriti dalam Parlimen untuk membuat perubahan yang perlu demi kebaikan semua menerusi semangat berani 1Malaysia. BERNAMA

Artikel Berikut

Fenomena Hikayat 1001 Malam

Artikel Lain