Najib tak diasuh keluarga untuk politik

Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah diasuh mahupun dididik untuk menjadi seorang ahli politik meskipun terdapat dua perdana menteri dalam keluarganya.

Bagaimanapun, pada tahun 1976 ketika usianya masih 22 tahun, anak sulung perdana menteri kedua allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, dan anak saudara perdana menteri ketiga, allahyarham Tun Hussein Onn ini, tibatiba mendapati dirinya terjerumus dalam arena politik tanah air apabila ayahandanya meninggal dunia pada usia 53 tahun akibat leukemia semasa masih menjadi perdana menteri.

"Ayahanda saya tidak pernah merancang untuk saya sertai politik," kata Najib, 55, dalam tulisannya berjudul "A Hard Act To Follow" yang terkandung dalam koleksi esei "Tun Abdul Razak A Personal Potrait" hasil karya anggota keluarga dan rakan-rakan allahyarham Tun Razak.

Malahan, kata Najib, ayahandanya tidak menggalakkan beliau terlibat dalam politik kerana mahu beliau belajar bidang perakaunan tetapi beliau mengambil bidang ekonomi dan lulus dengan ijazah Ekonomi Perindustrian daripada Universiti Nottingham pada 1974.

Beliau kemudian menjadi pengurus perhubungan awam Petronas sehingga 1976 apabila ditawarkan bertanding kerusi Parlimen Pekan berikutan kematian ayahandanya.

"Tak termimpi langsung yang saya akan menjadi Anggota Parlimen pada usia semuda itu," katanya.

Dalam Umno, Najib mula mencipta nama sebagai Ketua Pemuda Umno Pekan pada tahun yang sama beliau menang tanpa bertanding sebagai Anggota Parlimen di sini, dan empat tahun kemudian mengetuai Pemuda Umno Pahang.

Pada 1981, ketika umurnya 28 tahun, Najib menjadi anggota termuda Majlis Tertinggi Umno, dan setahun kemudian dipilih Ketua Umno Bahagian Pekan dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, dan selepas itu, pengerusinya.

Semasa berlaku pergolakan dalam Umno pada 1987 yang menyebabkan parti itu dibubarkan, Najib dilantik pemangku Ketua Pemuda Umno, dan apabila Umno Baru ditubuhkan, beliau menjadi Ketua Pemuda sehingga 1993 apabila beliau memenangi kerusi Naib Presiden parti. Beliau mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti pada 1996 dan 2000, dengan meraih undi terbanyak.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Presiden Umno pada 2003 dan digantikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Najib menjalankan tugas sebagai orang nombor dua dalam parti sehinggalah disahkan sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti 2004.

Dan pada tahun ini, selaras dengan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada beliau, Najib disahkan pula sebagai Presiden Umno pada perhimpunan agung Umno minggu lepas.

Dalam pentadbiran kerajaan pula, Najib memulakan perkhidmatannya pada tahun 1978 ketika berusia 25 tahun, dengan dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos oleh bapa saudaranya dan perdana menteri ketika itu, Tun Hussein Onn.

Dua tahun kemudian, beliau ditukarkan sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

Pada pilihan raya umum 1982, di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, Najib bertanding pula kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Bandar Pekan, dan dilantik Menteri Besar Pahang ke11 pada usia 29 tahun.

Beliau memegang jawatan itu selama empat tahun sebelum berpindah semula ke pentadbiran kerajaan pusat dengan dilantik Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, setelah memenangi kerusi Parlimen Pekan, pada usia 33 tahun.

Pada 1990, Najib dilantik Menteri Pertahanan dan empat tahun kemudian menjadi Menteri Pelajaran sebelum kembali ke Kementerian Pertahanan pada 1999 dan pada September tahun lepas, dilantik Menteri Kewangan.

Selain meninggalkan kesan besar di semua kementerian yang diterajuinya, Najib juga ditugaskan pada 2004 membimbing Felda, satu skim pembangunan tanah yang dipelopori allahyarham ayahandanya.

Beliau memperkenalkan pelbagai program termasuk menjadikan Felda sebuah konglomerat bertaraf dunia selain memberi tumpuan kepada bidang pendidikan kepada anak-anak peneroka.

Walaupun amat sibuk dengan tugasnya, Najib berjaya menghasilkan tiga buku berjudul "For The Sake of Peace", "AsiaPacific's Strategic Outlook Shifting of Paradigms" dan "Defending Malaysia: Facing the 21st Century."

Dalam eseinya " A Hard Act To Follow", beliau menceritakan bagaimana selepas menyertai politik, beliau cuba melakukan amalan mengikut cara yang direstui oleh ayahandanya.

Maka tidak hairanlah, darah yang mengalir dalam tubuhnya menjadikan Najib seorang pemimpin berjiwa rakyat. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan