Menggosok gigi bukan jaminan kesihatan oral

Diterbitkan: Khamis, 19 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

FAKTA mengenai kesihatan oral menunjukkan bahawa menggosok gigi sahaja tidak cukup untuk menghilangkan plak di dalam mulut.

Ini kerana gigi memenuhi kira-kira 23 peratus ruang mulut manusia.

Jika anda seorang pembersih sekalipun dan mengamalkan gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, ia akan hanya dapat membersihkan satu perempat bahagian mulut sahaja. Tidak termasuk di celah-celah gigi dan kawasan yang sukar dicapai.

Hakikatnya, menggosok gigi sahaja mungkin tidak mampu mengekalkan tahap kesihatan oral yang mencukupi untuk mengawal pembentukan plak bakteria pada gigi. Ia dapat dikurangkan dengan penggunaan flos dan cecair kumur antiseptik.

Flos misalnya boleh membantu menjaga kebersihan gigi. Ia dapat mengeluarkan sisa makanan dan plak gigi yang melekat di antara gigi yang tidak boleh dibersihkan ketika memberus gigi.

Sementara cecair kumur antiseptik pula bertindak membantu membersihkan sisa makanan dalam mulut, dan cecair yang digunakan dapat mengalir ke bahagian celah-celah gigi yang sukar dibersihkan. Penggunaan bahan kumuran menambah keberkesanan pembersihan gigi selain daripada memberus dan menggunakan flos.

Amalan yang betul

Menurut Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr S. Sivanesan, beberapa kajian di beberapa buah negara maju juga mengesahkan bahawa kebanyakan individu tidak dapat mengekalkan tahap kebersihan oral yang secukupnya untuk mengawal pembentukan plak dengan hanya menggosok gigi.

"Ini mungkin disebabkan mereka tidak menguasai kemahiran menggosok gigi dengan teknik yang betul", jelas Sivanesan.

Beliau berkata, penjagaan gigi di Malaysia telah berubah daripada merawat kesakitan kepada mencegahnya. Menurutnya, dua sebab utama kehilangan gigi adalah disebabkan kerosakan gigi dan penyakit gusi yang bermula dengan pembentukan plak bakteria pada gigi.

Walau bagaimanapun, kedua-dua masalah tersebut dapat dikurangkan dan mungkin dapat dielakkan sepenuhnya. Iaitu dengan amalan kesihatan oral yang betul dan dilakukan secara kerap. Malah, usaha bersama di antara doktor gigi dan pesakit juga membantu mengelakkan rawatan pergigian untuk jangka panjang.

"Pesakit boleh membantu mengurangkan risiko penyakit periodontik dengan mengawal pembentukan plak. Sebahagiannya melalui rutin kesihatan oral harian iaitu menggosok gigi, menggunakan flos dan menambah cecair pencuci mulut antiseptik sebagai bahan kumuran bagi kawalan plak yang lebih baik", jelas beliau sewaktu melancarkan Kempen Jelajah Lengkapkan Penjagaan Oral Anda dengan Pencuci Mulut di Sunway Resort Hotel & Spa baru-baru ini.

Pemeriksaan setiap enam bulan

Menurut Sivanesan, pada masa yang sama, pengamal pergigian bertanggungjawab menyebarkan maklumat mengenai penjagaan gigi dan menggalakkan pesakit mereka untuk mengikuti rutin penjagaan oral harian ini.

"Kami juga berperanan memastikan pesakit datang melakukan pemeriksaan setiap enam bulan dan menyarankan mana-mana rawatan yang perlu untuk mengekal atau mempertingkat kesihatan oral mereka", tambah beliau.

Menurut Pengurus Kanan Hal Ehwal Profesional Johnson & Johnson, Dr. Arunee Unsook, memberus gigi sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kesihatan dan kebersihan mulut secara menyeluruh.

"Bagi seorang dewasa, purata masa yang diambil untuk memberus gigi ialah 37 saat".

Beliau menjelaskan sebanyak 79 peratus daripada pesakit gigi yang dilaporkan tidak pernah melakukan flos gigi manakala 50 peratus orang dewasa menghadapi masalah gingivitis pada dua atau tiga batang gigi mereka.

"Gingivitis adalah peringkat awal penyakit gusi akibat penghasilan plak yang tidak dibuang dengan cara yang sepatutnya. Oleh itu, amalan menggunakan pencuci mulut antiseptik melengkapkan penjagaan mulut", tambahnya.

Jelajah Malaysia

Kajian Kesihatan Oral Orang Dewasa Malaysia yang dijalankan pada tahun 2000 menunjukkan secara amnya kesihatan oral bagi mereka yang berumur 15 tahun ke atas telah meningkat.

Sebahagian besarnya adalah disebabkan terdapatnya fluorida di dalam bekalan air. Bagaimanapun, terdapat juga kawasan yang mempunyai masalah serius dan kekurangan sumber yang mencukupi, seperti memerlukan rawatan pergigian, maklumat kesihatan oral dan mencabut gigi.

Di bawah Pelan Kesihatan Oral Kebangsaan bagi tahun 2010, sasaran telah ditetapkan dengan objektif untuk mencapai kesihatan oral optimum di kalangan rakyat Malaysia menjelang tahun 2010.

Sasaran ini memfokuskan kepada mengurangkan empat keadaan oral, dua daripadanya ialah karies gigi dan penyakit periodontik iaitu penyakit gusi bengkak yang menyebabkan kehilangan gigi.

Dalam usaha untuk membimbing dan mendidik rakyat Malaysia mengenai penjagaan oral yang betul, cecair kumur antiseptik Listerine dengan kerjasama Persatuan Pergigian Malaysia telah melancarkan kempen jelajah Malaysia bermula Februari hingga Jun ini.

Perbetulkan persepsi

Jelajah tersebut membabitkan kenderaan yang dinamakan 'Mobile Mouth' yang akan berada di lokasi-lokasi seperti pasar raya besar, pasar raya, pejabat dan kompleks membeli-belah di pusat pasaran utama di seluruh Semenanjung Malaysia.

Ia melibatkan aktiviti interaktif dan menyeronokkan yang bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna dewasa mengenai penjagaan oral yang berkesan.

Pengarah Urusan Johnson & Johnson, Joyce Lee, sewaktu majlis pelancaran kempen berharap kempen tersebut dapat mencapai tiga objektif. Pertama, memperbetulkan persepsi bahawa menggosok gigi sudah memadai untuk menghindari masalah gigi.

"Di samping itu, kita juga berharap, kempen ini dapat memberi kesedaran di kalangan rakyat Malaysia akan langkah yang betul terhadap penjagaan oral dengan menambah pencuci mulut Listerine sebagai pelengkap kepada rutin harian penjagaan gigi mereka.

"Ia juga sebagai menyahut keperluan kesihatan oral negara dan rancangan untuk mempromosi pendidikan kesihatan oral, serta mengurangkan karang gigi dan penyakit periodontik menjelang 2010", tambahnya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan