Pengguna semakin sedar kuasa membuat aduan

Diterbitkan: Rabu, 4 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ACAP kali kita membaca berita penipuan yang dilakukan oleh segelintir peniaga ke atas pengguna.

Pelbagai helah juga digunakan untuk memperdaya pengguna, antaranya dengan tawaran potongan harga atau pemberian hadiah percuma.

Namun di sebalik pendedahan yang dibuat media, masih ada lagi pengguna yang berjaya di'gula-gulakan' peniaga sehingga membuat pembelian yang tidak perlu atau terbelit hingga membuat bayaran yang tinggi.

Justeru, pengguna perlu sentiasa peka dan berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tipu-helah peniaga, terutama dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang.

Pengguna juga perlu berani menggunakan hak mereka untuk tampil membuat aduan jika menyedari diri telah diperdaya atau produk yang dibeli kurang berkualiti.

Dewasa ini terdapat pelbagai saluran untuk pengguna membuat aduan. Antaranya dengan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Aduan meningkat

Laporan Tahunan 2007 NCCC menunjukkan peningkatan 33 peratus jumlah aduan yang diterima pada 2007 iaitu 24,873 berbanding 2006 (18,345).

Sepuluh aduan tertinggi diterima pada 2007 ialah terhadap pemaju perumahan (2,076), jualan langsung (1,933), pendidikan tinggi swasta (1,856), perbadanan pengurusan (1,739), telekomunikasi (1,721), produk kurang bermutu (1,519), jualan murah (1,410), pengangkutan awam (1,254), institusi kewangan (1,044) dan hipermarket (975).

Mengulas kenaikan ini, Ketua Eksekutif NCCC, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata sebahagian besar adalah hasil kesedaran pengguna tentang hak mereka untuk menuntut ganti rugi atau pun pembaikan apabila tidak berpuas hati dengan barang atau perkhidmatan yang diperoleh.

"Meskipun hebahan tentang perkhidmatan NCCC masih kurang dan terhad kerana kekangan sumber dan dana tetapi majoriti pengguna yang menghubungi pusat ini memperoleh maklumat selepas melayari internet untuk mencari saluran bagi mengutarakan masalah mereka," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata trend membuat aduan kepada NCCC dijangka terus meningkat.

"Melihat statistik 2008 yang sedang dikumpul, sehingga Oktober tahun itu, jumlah aduan melebihi 20 peratus bagi tempoh yang sama 2007," kata Muhammad Sha'ani sambil menyatakan Laporan Tahunan 2008 NCCC dijangka dapat dikeluarkan penghujung Mac ini.’

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya akan juga meningkatkan kecekapan pengendalian aduan dengan mengurangkan purata jangka masa respons kepada lima hari.

Katanya bagi meningkatkan kemahiran petugas-petugas pengendalian aduan, mereka akan diberi kemahiran ICT dan diberi pendedahan berkaitan perundangan yang relevan dengan aduan pengguna. Aduan lain

Bagi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), kes penipuan melibatkan peraduan gores dan menang serta SMS adalah kes tertinggi yang diterima sepanjang 2008.

Jumlah aduan yang diterima bagi kes berkenaan ialah 1,288 daripada 7,440 kes.

Pengerusi TTPM, Rungit Singh dipetik sebuah media tempatan baru-baru ini sebagai berkata kebanyakan syarikat yang terlibat dalam kes gores dan menang ini menggunakan taktik penjualan yang menekan dan mengelirukan pengguna.

Syarikat-syarikat itu, katanya menawarkan hadiah percuma untuk menarik pengguna menyertai peraduan berkenaan. Kes aduan tertinggi lain yang diterima oleh TTPM ialah penipuan pembelian kereta (412), telefon bimbit (336), pelancongan (327), 'time sharing' (241), bengkel kereta (223), institusi pengajian tinggi (85) dan pakej haji dan umrah (82).

E-Aduan KPDNHEP

Di bawah kementerian, terdapat beberapa saluran untuk pengguna membuat aduan termasuk menggunakan sistem e-Aduan menerusi laman web kementerian.

Sistem yang beroperasi sejak 14 Jun 2004 ini membolehkan pengguna menghantar terus aduan kepada kementerian, dan pengadu kemudian boleh menghubungi KPDNHEP jika tidak menerima maklum balas dalam masa tiga hari bekerja.

Menurut Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pengguna kementerian, Dr Mohd Mokhtar Tahar, sehingga 16 Dis 2008, pihaknya menerima 10,385 aduan berbanding 8,879 pada 2007 dan 6,350 pada 2006.

"Jika kita perhatikan peningkatan jumlah aduan, menunjukkan pengguna di negara ini sudah tahu menggunakan hak mereka untuk membuat aduan dan ke mana hendak menyalurkan aduan itu," katanya. Beliau berkata sekiranya aduan yang diterima adalah untuk tindakan agensi lain di bawah kementerian itu, pihaknya akan mengemukakan aduan itu kepada pihak yang berkenaan.

Susulan akan dibuat untuk melihat tindakan yang telah diambil ke atas aduan itu. Impak kesedaran

Kesedaran kepenggunaan dalam kalangan rakyat negara ini sudah tentu akan memberi impak ke atas peniaga dan pengeluar barang tempatan.

Seperti kata Muhammad Sha'ani, golongan berkenaan akan terdorong untuk menjadi lebih bertanggungjawab dengan menambah baik amalan pemasaran dan perniagaan mereka.

"Mereka juga akan menjadi sedar tanggungjawab serta had kebebasan dari segi pernyataan tawaran dalam iklan dan bahan promosi," jelasnya.

Dalam masa yang sama, kata beliau, peniaga juga sudah tentu akan meningkatkan kemampuan untuk menarik pelanggan dengan bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang mesra pelanggan tetapi juga barang yang bermutu.

Menurut Muhammad Sha'ani, peniaga dan pengeluar barangan juga mungkin terpanggil untuk mewujudkan saluran pengendalian aduan pengguna mereka sendiri berhubung perkhidmatan pelanggan dan mekanisme menangani pembaikan dan tebus ganti.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai saluran aduan yang ada dan supaya "nasi tidak menjadi bubur", sewajarnyalah masyarakat pengguna negara ini mengamalkan sikap bijak berbelanja.

Peniaga yang sudah tentu mahu mengaut keuntungan akan melakukan apa sahaja untuk melariskan jualan barang atau perkhidmatan mereka, justeru, pengguna perlu terus mengamalkan sikap bijak berbelanja dan "beringat sebelum kena" dan "berjimat sebelum habis." BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan