suria

Kampung Baru: Antara dua darjat

JAM besar di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru menunjukkan waktu 4.55 petang.

Baru sebentar muezin melaungkan azan masuk waktunya solat Asar dan berpusu-pusu umat Islam di sekitar Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Abdullah ini meninggalkan sementara pekerjaan mereka untuk menunaikan ibadat fardu.

Ini ialah rutin harian para peniaga dan pekerja pejabat serta orang ramai di sekitar Kampung Baru Kuala Lumpur dan kesempatan untuk solat berjemaah seperti tidak mahu mereka lepaskan setiap hari.

Laungan azan memuji kebesaran Allah swt bergema di seluruh kampung yang mencetuskan tindak balas pantas para peniaga terutamanya pada deretan kedai di hadapan masjid untuk serta merta menutup premis perniagaan dan menyahut seruan mengerjakan solat.

Dari muka pintu masjid tua ini kelihatan Menara Kembar Petronas di sebelah barat manakala di sebelah timur pula kelihatan Menara KL dan beberapa pencakar langit seperti Menara Bank SME, Menara Universiti Kuala Lumpur, antaranya tiga hotel mewah dan beberapa lagi struktur yang seakan-akan membentuk suatu kepungan mengeliling Kampung Baru, satu-satunya entiti dan warisan Melayu di tengah-tengah ibu kota metropolitan ini.

Solat berjemaah berikutnya ialah pada waktu Maghrib dan masa selama lebih dua jam di antaranya membenarkan umat Islam kembali kepada pekerjaan dan perniagaan mereka. Ada yang pulang ke rumah yang berdekatan untuk berehat.

Pendek kata mereka banyak masa untuk melakukan pelbagai perkara.

Dua darjat

Bagaimanapun, masa juga seakan-akan bergerak perlahan, kadang kala seperti terlalu perlahan di Kampung Baru, sekiranya dibandingkan kerancakan pembangunan di kawasan ini dengan jirannya di sebalik sempadan bersama, terutama Sungai Kelang yang menjadi penanda aras.

Kampung Baru terletak di bahagian utara pusat bandar raya yang disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan, dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat.

Sebagai contoh, menara kembar yang paling tinggi di dunia hanyalah satu kilometer dari sini sedangkan masjid, deretan kedai, kelompok rumah dan pelbagai lagi tidak kelihatan berubah seperti mana Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan seakan-akan wujud dua darjat antara Kampung Baru dan kawasan di sekelilingnya.

Ironinya menara itu berdiri megah bersebelahan Kampung Baru dan seseorang hanya perlu menaiki pelbagai bangunan pencakar langit di sekeliling kampung ini untuk meninjau keadaan warisan Melayu ini dan betapa ia juga sewajarnya sudah lama dimajukan seiring dengan kemajuan fizikal di sekitarnya.

Tujuh kampung utama membentuk kampung baru Kampung Baru yang seluas 90.35 hektar (225.89 ekar) terdiri daripada tujuh buah kampung Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, Kampung Periuk, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B.

Saiz perkampungan membesar selepas beberapa kampung kecil turut dirangkumkan ke dalam Kampung Baru seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru dan kemudiannya disertai perkampungan yang ditakrifkan setinggan sebelum ini, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru.

Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik.

Dahulunya pernah terdengar jenaka bahawa yang berubah di Kampung Baru hanyalah pada nama-nama jalannya sedangkan kampung ini masih lagi seadanya. Apa tidaknya, Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British di zaman penjajah kini bernama Jalan Raja Abdullah manakala Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang merentangi Kampung Baru dahulunya ialah Princess Road dan Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad pernah bergelar Jalan Watson. Begitu juga dengan Jalan Raja Alang di mana bermulanya Bazar Ramadan Kuala Lumpur sebelum ini dikenali sebagai Perkins Road.

Sementara itu Jalan Dewan Sultan Sulaiman pula yang wujud satu-satunya kelab Orang Melayu di dada ibu kota ini pernah dikenali sebagai Stoney Road.

Nama-nama keluarga Diraja Melayu Selangor dan tokoh Melayu yang pernah tinggal dan menyumbang kepada kemajuan penduduk Kampung Baru diabadikan dalam penjenamaan semula jalanjalan di Kampung Baru yang kini berusia 110 tahun.

Justeru, tiada lagi nama berbau Eropah di jalan atau bangunan di sekitar Kampung Baru, nama Vision City yang pernah dicadangkan berdekatan dengan kelab itu kini dikenali sebagai Bandar Wawasan.

Entiti tunggal orang Melayu ini juga menyaksikan pelbagai dimensi sejarah Kongres Melayu Pertama pada 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman yang mencetuskan gerakan menuntut Kemerderkaan 1957, tempat bersemaraknya Peristiwa 13 Mei 1969, pernah wujudnya Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor (di Jalan Raja Muda Abdul Aziz), kemuncak Perhimpunan Melayu di Stadium TPCA (kini dikenali sebagai Stadium Jalan Raja Muda) yang disusuli dengan Operasi Lalang II 1987 dan tempat perhimpunan mingguan gerakan Reformasi 1998.

Umno dilahirkan di Kampung Baru Menurut mantan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, Umno dilahirkan di Kampung Baru, lebih tepat lagi di Kelab Sultan Sulaiman, dan pendapat beliau disokong Ketua Bahagian Umno Titiwangsa Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed yang menambah bahawa "saya menyifatkannya sebagai Umno hamil tua di Kampung Baru dan dilahirkan di Istana Besar Johor Baharu".

Pendek kata, semuanya ada di Kampung Baru Pasar Minggu Kampung Baru yang popular sebagai pusat menjamu selera, Masjid Jamek yang sinonim dengan bubur lambuk percuma sepanjang Ramadan dan yang memperkenal Solat Tarawikh dipimpin oleh Hafiz Arab Saudi hinggalah kepada Banjir Kilat besar pada tahun 2001 akibat pembangunan di sekelilingnya.

Sepuluh tahun selepas keberantakan gerakan Reformasi yang tercetus ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, beliau sekali lagi bertandang ke Kampung Baru khususnya ke Kelab Sultan Sulaiman bersama-sama penyokongnya untuk menghadiri Perhimpunan Black 14 pada 14 April 2008.

Di sebalik semua spektra sejarah ini, entiti Kampung Baru Kuala Lumpur sebenarnya sentiasa dipelihara dan dipertahan sebagai Warisan Melayu, lebih-lebih lagi ia masih wujud sebagai yang tunggal di ibu kota.

Mengikut sejarah, sebuah lembaga pentadbir khusus untuk Kampung Baru ditubuhkan serentak dengan pembukaannya sebagai Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu) dan bertanggungjawab kepada Residen British bagi menguruskan hal ehwal pentadbiran kampung yang ketika itu diukur seluas 89.63 hektar.

Malay Agriculture Settlement (MAS Antara tugas Lembaga Pentadbir Kampung Baru itu ialah memberi kebenaran kepada sesiapa sahaja orang Melayu yang memohon tinggal di kampung ini dan luas kawasan yang diperuntuk tidak melebihi setengah ekar (0.2 hektar) seorang.

Dua persatuan- Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Kebajikan Anakanak Melayu Kampung Baru (Pakam) pada 1994 dalam memorandum mereka mengenai pembangunan Kampung Baru menyatakan bahawa kampung ini terbentuk apabila sekumpulan orang Melayu yang tinggal di kawasan Sungai Gombak dan Sungai Kelang terpaksa berpindah untuk memberi jalan kepada pembangunan bandar Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Sultan Selangor Sultan Sulaiman atau Sultan Alauddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa memperuntuk sebuah kawasan di tepi Sungai Kelang untuk orang Melayu berpindah dan MAS diwartakan pada 1 Jan 1900.

Disebabkan semua urusan pentadbiran tanah adalah hak lembaga tadbir MAS, ia tidak dapat memenuhi harapan tuan tanah yang berhasrat membangunkan kawasan ini kerana mereka tidak memegang apa-apa surat hak milik yang boleh diurusniagakan hinggalah pada tahun 1960an.

Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris yang ketika itu menjadi pengerusinya, mengusahakan geran hak milik tanah bagi penduduk kampung ini. Ketika itu juga kediaman rasmi Menteri Besar Selangor terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

Cakap-cakap mengenai Kampung Baru akan dibangunkan timbul selepas itu dan sentiasa terdengar. Sejak 1975, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula dikatakan cenderung menjalankan usaha ke arah itu.

Usaha terkini membangunkan Kampung Baru Usaha pertama untuk membangunkan Kampung Baru bermula pada 1975 dengan menyatukan pelbagai lot kecil tetapi langkah itu tidak mendapat sambutan dan 10 tahun kemudian DBKL mengemukakan pelan konsep pembangunan dengan tujuan mengelakkan pemilik individu membangunkan tanah mereka secara persendirian.

Setelah lama menyepi, khabar angin mengenai pembangunan Kampung Baru hangat diperkata semula pada 1991 susulan lawatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad bersama rombongannya, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Bandar Kuala Lumpur, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Datuk Dr Suleiman Mohamed, ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sebelum itu dilantik mengetuai jawatankuasa pembangunan semula Kampung Baru, turut mengiringi beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain