suria

Jawatan tertinggi Pemuda Gerakan menyaksikan pertandingan selepas 24 tahun

BUAT kali pertama sejak penubuhannya pada 1984, Pemuda Gerakan akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan tertingginya.

Jawatan Ketua Pemuda akan menyaksikan pertarungan tiga penjuru, membabitkan pertembungan antara Timbalan Ketua Pemuda Lim Si Pin, ketua pemuda Kedah Tan Keng Liang dan ketua pemuda Negeri Sembilan Chai Tek Loong.

Sejak 24 tahun lalu jawatan Ketua Pemuda sentiasa diisi tanpa sebarang pertandingan, dengan rundingan dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan calon pilihan memenangi jawatan itu tanpa perlu diadakan pertandingan.

Walaupun pencalonan bagi bagi sayap Pemuda yang berlangsung di ibupejabat parti di Menara PGRM semalam menyaksikan tidak ramai penyokong berhimpun untuk memberi sokongan kepada calon pilihan mereka, namun perebutan bagi jawatan itu dijangka sengit.

Jawatan Ketua Pemuda menyaksikan kekosongan apabila penyandangnya Datuk Mah Siew Keong tidak lagi layak memegang jawatan itu kerana umurnya sudah melampaui had yang ditetapkan.

Pemilihan sayap itu yang ditetapkan pada hari Jumaat minggu depan akan turut menyaksikan bilangan terbesar calon yang mencuba nasib bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan.

Jawatan timbalan ketua akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara naib pengerusi sayap itu Paul Yong Yoon Kong dan ketua pemuda Pulau Pinang Oh Yong Keong.

Lima calon akan bertanding bagi tiga jawatan naib pengerusi sementara 28 lagi akan bertanding bagi 18 jawatan anggota jawatankuasa pusat sayap itu.

Semasa bercakap kepada pemberita kemudiannya, Lim, anak kepada bekas Presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik berkata, beliau komited untuk memastikan pemuda Gerakan merupakan yang pertama untuk menerima persijilan ISO 9001, berbanding pertubuhan-pertubuhan pemuda lain dalam negara.

Beliau juga berjanji akan memperkenalkan indeks prestasi utama (KPI) bagi sayap itu dalam memastikan keberkesanan sayap pemuda Gerakan.

Lim yang mendakwa mempunyai sokongan pemuda daripada lapan negeri juga yakin pengalaman 10 tahun beliau dalam sayap itu akan membantu beliau membawa Gerakan ke tahap yang lebih tinggi. "Saya sedia bekerja sebagai satu pasukan bersama pemimpin-pemimpin lain dalam barisan pemuda," katanya selepas memperkenalkan manifestonya yang bertema Kepimpinan, Keikhlasan, Nafas Baru: Mewujudkan Identiti Baru bagi Pemuda Gerakan".

Sementara itu, Chai, seorang lagi calon ke jawatan Ketua Pemuda berkata, keputusannya untuk bertanding jawatan tertinggi pemuda adalah untuk memperkukuh dan memperbaharui sayap itu ekoran prestasi buruk parti Gerakan dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Bagaimanapun, beliau mendakwa hasratnya untuk bertanding tidak direstui oleh beberapa pemimpin tinggi dengan beberapa orang meminta beliau berkompromi. BERNAMA

Artikel Sebelum

In step with the rakyat

Artikel Berikut

Kenaf pengganti ideal tembakau

Artikel Lain