suria

MEASAT Tawar Biasiswa Untuk Ijazah Lanjutan Pengajian Angkasa

KUALA LUMPUR: Measat Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT) menawarkan biasiswa sepenuhnya bagi Ijazah Sarjana dalam kajian angkasa atau pengurusan angkasa di International Space University, Strasbourg, Perancis.

Biasiswa berkenaan merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial syarikat, yang menumpukan kepada usaha menyokong pembangunan pemimpin teknologi masa depan untuk industri Malaysia.

Biasiswa selama setahun mulai September tahun ini terbuka kepada warga Malaysia berumur 35 tahun ke bawah, demikian menurut syarikat itu dalam satu kenyataan Isnin.

Pemohon mesti fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris dan purata mata gred minimum kumulatif 3.6 atau di atas dalam ekonomi atau kewangan, matematik, undang-undang, pengurusan perniagaan, kejuruteraan komunikasi, kejuruteraan aeroangkasa atau fizik," katanya.

Bagi memohon biasiswa berkenaan, calon hendaklah menghantar permohonan mereka sebelum 1 Mac, resume terperinci, sijil berkenaan yang disahkan, slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, transkrip universiti, tiga nama untuk rujukan dan dokumen sokongan yang lain.

Calon juga perlu mengemukakan penulisan tidak lebih daripada 500 perkataan, menjelaskan minat mereka dalam teknologi satelit dan sebab mereka sewajarnya diberikan biasiswa itu.

Permohonan perlu dihantar kepada [email protected] atau MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (Company No 247846-X) MEASAT Teleport and Broadcast Centre, 63000 Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.measat.com. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain