suria

MPP UMT Tidak Dikuasai Pro Mahasiswa: Naib Canselor

KUALA TERENGGANU: Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung pada 17 Januari lepas tidak dikuasai oleh kumpulan pro-mahasiswa, kata Naib Canselor universiti berkenaan, Prof Dr Aziz Deraman.

Menurut beliau, sebaliknya calon-calon yang bertanding bagi pemilihan MPP itu adalah di atas kapasiti persendirian dan ada di antara mereka yang dinaungi oleh beberapa kelab dalaman pelajar yang dipantau oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT.

"Kenyataan bahawa pemilihan MPP UMT baru-baru ini dikuasai oleh kumpulan pro-mahasiswa seperti yang dilaporkan adalah tidak tepat," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Malaysia semalam bahawa kumpulan pro-mahasiswa UMT berjaya memulakan 'era baru' MPP apabila menguasai 11 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan dan berjaya menundukkan penguasaan pro-aspirasi iaitu kumpulan yang condong kepada kerajaan, dalam pilihan raya kampus berkenaan.

"UMT sememangnya mengambil berat dan prihatin serta sensitif berkenaan isu pemilihan MPP ini dan memohon supaya ia diperbetulkan untuk mengelak timbulnya kekeliruan kepada masyarakat umum dan para pelajar UMT khususnya," kata Dr Aziz. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain