suria

Ramai pelancong terkandas, kos menyelamat meningkat, Datuk Bandar larang guna Google Maps

Pemandangan tanah rata Ogliastra dari Baunei di Itali. foto/Alamy Stock Photo

BAUNEI, sebuah kampung di kawasan pulau pergunungan indah di Sardinia, Itali merayu kepada pengunjung lokasi itu untuk berhenti bergantung kepada arahan Peta Google ketika memandu di sekitar kawasan tersebut.

Datuk Bandar Baunei, Salvatore Corrias mendakwa pada tahun lepas sahaja pasukan penyelamat gunung tempatan telah dihubungi sebanyak 144 kali untuk membantu pelancong terkandas selepas mereka mengikut arahan Peta Google.

Pengunjung ke sini sering menggunakan aplikasi yang dikuasakan oleh GPS itu untuk pergi ke lokasi yang dikenali sebagai 'pantai tersembunyi' di sekitar Baunei dan akhirnya dibawa ke lorong yang tidak sesuai untuk laluan kereta.

Untuk mengelakkan kejadian ini daripada terus berlaku, polis tempatan telah memasang papan tanda 'Jangan ikut arahan dicadangkan Peta Google'.

"Apa yang berlaku ialah kebanyakan mereka tidak biasa dengan jalan raya di kawasan itu dan bergantung pada Peta Google.

"Tetapi tak lama kemudian mereka menyedari bahawa mereka tidak berada di jalan yang sepatutnya, jadi kami harus pergi dan menyelamatkan mereka.

"Kami mempunyai begitu banyak contoh, terutamanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini - malang sekali kerana Peta Google tidak membawa orang ramai ke tempat yang mereka mahu pergi," kata Corrias memetik The Guardian.

Datuk Bandar, Salvatore Corrias menyalahkan Google Maps apabila pihaknya terpaksa menyelamatkan ramai pengunjung terkandas. -foto Google Maps

Khidmat menyelamat dibiayai oleh komuniti setempat, jadi pelancong yang terkandas tidak perlu membayar untuk diselamatkan.

Bagaimanapun, bilangan operasi menyelamat yang begitu banyak akhirnya menjadi satu tekanan dari segi kos.

Masalah ini menjadi begitu serius sehingga pihak berkuasa Baunei mahu melarang penggunaan aplikasi tersebut tetapi ternyata ia mustahil.

"Tidak mungkin kami dapat melarang penggunaannya jadi kami keluarkan amaran supaya tidak menggunakan Google Maps kerana mereka akan berakhir di tempat yang tidak sepatutnya. Hanya perlu guna sedikit common sense," kata Corrias.

Pihak berkuasa Baunei telah memaklumkan kepada Google mengenai masalah ini tetapi setakat ini masih tidak menerima balasan.

Dalam masa yang sama, bandar ini menyediakan lebih banyak papan tanda jalan dan memulakan kempen maklumat di media sosial untuk menghalang pengunjung daripada menggunakan Peta Google di kawasan itu.

"Peta kertas lebih baik, atau lebih baik lagi, gunakan pemandu tempatan dari kawasan kami," nasihatnya kepada pelancong.

Google Maps, sesat, Baunei

Artikel Lain