suria

Lebih sedekad menyepi... Anuar Manan sarung jersi negara, kembali hangatkan LTdL 2020

Anuar kembali menyarung jersi negara selepas 11 tahun.

PERLUMBAAN Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini membawa tarikan tersendiri daripada segi barisan pelumba negara dengan kehadiran jaguh pecut lebuh raya terkenal, Anuar Manan.

Anuar dan LdTL memang tidak asing lagi memandangkan pelumba berusia 33 tahun kelahiran kampung Kuala Ibai ini telah merakam pelbagai rekod kejayaan sepanjang berkecimpungan dalam dunia berbasikal sejak 2007.

Lebih manis, Anuar pernah melakar kenangan gemilang meraih kemenangan peringkat dalam saingan LTdL 2010 ketika bersama pasukan Korea, Geumsan Ginseng Asia.

ARTIKEL BERKAITAN: Najmudin tak sabar kembali ke padang, akui 2020 ada banyak agenda penting

Musim ini, kematangan dan pengalaman Anuar dituntut tahun ini untuk membantu skuad kebangsaan menghadapi saingan di beberapa venue terpilih.

Malah dia yang kali terakhir berkayuh bersama skuad kebangsaan 11 tahun lalu teruja untuk bergandingan bersama pelumba muda seperti Nik Mohd Azwan Zulkiflie dan Sofian Nabil dalam saingan berprestij itu.

Anuar tidak menganggap dirinya sebagai pelumba paling berusia, sebaliknya tetap yakin mampu untuk menyumbangkan sesuatu buat pasukan dan akan berusaha mengulangi kegemilangan zaman kegemilangannya.

Anuar (tiga kanan) bersama pasukan kebangsaan. Foto: Instagram Anuar.

Sentuhan Anuar dalam mengiringi pasukan negara pada edisi LTdL yang ke-25 kali ini memang ditunggu-tunggu oleh semua peminat sukan berbasikal tanah air dengan melihat saingan peringkat kedua di Terengganu mungkin memberi kelebihan buat dirinya bergelar juara berdasarkan penamat di laluan lurus.

Menurut Anuar, dia gembira dapat kembali menyarung jersi negara.

"Sebelum ini tak ada kesempatan kerana banyak bersama pasukan luar tapi kali ini semangat itu lain sedikit sebab dapat bersama pelumba muda negara.

“Saya mungkin boleh gunakan kelebihan daripada segi pengalaman dalam perlumbaan besar ini selain pernah meraih kemenangan di antara lapan peringkat untuk membantu membuka laluan buat rakan pasukan mendapatkan keputusan yang baik kali ini.

Zaman kegemilangan Anuar menjuarai peringkat perlumbaan LTdL 2010.

“Tapi saya tahu persaingan kali ini sengit dan laluan kali ini banyak memberi kelebihan kepada pelumba pecut,” katanya yang kini bergelar bapa kepada Auriska Mikayla.

Bekas pelumba Terengganu Pro Asia Cycling Team ini dijangka tidak berdepan kesukaran untuk membantu pasukan negara apabila mendapat sentuhan bimbingan Mohd Yusof Nasir.

Sebelum dipanggil menyertai skuad kebangsaan, Anuar merupakan pelumba bagi pasukan Champion System dari Hong Kong dan banyak menghabiskan masa menjalani latihan di Hong Kong dan Hainan.

Anuar bersama buah hati pengarang jantungnya, Auriska Mikayla. Foto: Instagram Anuar.

Sebagai rekod edisi LTdL 2020 menyaksikan perlumbaan lapan peringkat berlangsung pada 7 hingga 14 Februari 2020, meliputi jarak keseluruhan 1,145.9 kilometer merentasi sembilan negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Sejumlah 21 pasukan telah mengesahkan penyertaan pada edisi ke-25 tahun ini, yang bermula dengan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada Khamis, 6 Februari.

Perlumbaan kriterium yang diadakan buat pertama kali bersempena sambutan ke-25 Jubli Perak LTdL tahun ini, sebelum peringkat pertama perlumbaan bermula pada 7 Februari di lokasi sama.

Sejak edisi pertama pada 1997, LTdL berkisar pada laluan semenanjung dengan Kuala Lumpur dan Langkawi  masing-masing sebagai tempat permulaan dan penamat perlumbaan.

Anuar menjalani latihan bersama rakan sepasukan kebangsaan. Foto: Instagram Anuar.

Pasukan yang telah mengesahkan penyertaan mereka pada edisi tahun ini termasuklah satu pasukan World Tour, lima Pro Continental, 14 pasukan Continental dan satu pasukan kebangsaan (Malaysia).

Dua pasukan berpusat di China - Hengxiang dan Giant Racing telah menarik diri daripada perlumbaan akibat wabak koronavirus di Wuhan.

Juara keseluruhan tahun lepas Benjamin Dyball (bekas pelumba Pasukan Sapura Cycling) tidak akan mempertahankan Jersi Kuningnya selepas dilamar pasukan NTT Pro Cycling, sebuah pasukan bertaraf World Tour yang berpusat di Afrika Selatan.

Tiga pasukan dari Itali akan menunjukkan taring mereka, manakala Perancis, Jepun, Indonesia, Korea dan Australia akan mempunyai wakil masing-masing dalam perlumbaan tahun ini.

Anuar Manan, LTdL, 2020

Artikel Lain