suria

Najmudin tak sabar kembali ke padang, akui 2020 ada banyak agenda penting

Najmudin tidak sabar untuk kembali beraksi. - Foto Instagram @m.najmudin_

PENYERANG muda Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal mengakui sudah semakin 'gian' untuk kembali ke padang selepas empat bulan berehat panjang.

Pemain kelahiran Selangor berusia 17 tahun ini terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament) Sepetember lalu.

Muhaamad Najmudin Akmal atau lebih selesa dipanggil Din mengakui seperti kehilangan sesuatu selepas beberapa bulan tidak bersama skuad AMD.

ARTIKEL BERKAITAN: Najmudin akur terpaksa gantung but 9 bulan - “Mula-mula ‘down’ tapi tak putus asa”

Jelas Najmudin, keadaan kecederaannya semakin baik dengan rawatan pemilihan yang diikuti setiap hari di Institut Sukan Negara (ISN).

Najmudin kini berada di Bukit Jalil untuk proses rawatan pemulihan sehingga Jun ini.

Mahu kembali beraksi

Jelas Din, biarpun terpaksa berehat panjang, dia tetap meneruskan latihan ringan bagi menguatkan otot.

"Lagi beberapa bulan saya perlu menjalani proses pemulihan selepas pembedahan September lalu. Mungkin Jun ini saya boleh kembali ke padang.

"Rasa rindu untuk kembali ke AMD tu memang ada kerana sejak proses pemulihan ini saya terpaksa menumpang bersekolah di Bukit Jalil.

"Jurulatih saya di AMD, Raja Azlan Shah Raja Sho'ib selalu menghubungi saya bagi mengetahui perkembangan semasa," kongsinya bersama mStar.

Najmudin mahu kembali ke skuad Bawah 17 Tahun kebangsaan.

Dekat dengan keluarga

Menurut Din, sepanjang berada di Bukit Jalil ini, dia sentiasa bersama dengan keluarganya, lebih-lebih lagi dengan ibu, Ramlah Amir, 52 tahun.

"Setiap minggu akan balik ke rumah keluarga di Rawang berbanding sebelum ini agak jarang kerana tinggal di Gambang, Pahang.

"Jadi saya ambil peluang ini untuk menghabiskan masa lapang bersama keluarga dan gembira kerana mereka sentiasa menyokong serta memberi semangat kepada saya supaya tidak berputus asa.

"Dengan kepercayaan itu, saya bertekad untuk kembali pulih dan memberikan yang terbaik dalam bidang bola sepak ini. Saya mahu kembali ke skuad utama AMD.

"Dalam masa sama, saya juga tidak akan abaikan pelajaran dan berharap peperiksaan SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia ) tahun ini akan berjalan lancar," ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Najmudin akan kembali ke AMD pada Jun ini.

Pemain idola

Setiap pemain bola sepak pastinya mempunya idola masing-masing.

Bagi Din dia sangat meminati pemain muda Paris Saint-Germain (PSG) Kylian Mbappe.

"Walaupun masih muda hanya 21 tahun, Mbappe telah mencipta nama sebagai antara pemain terbaik dunia.

"Corak permainannya sangat matang dan saya ingin menjadi seperti satu hari nanti.

"Manakala bagi pemain tempatan saya lebih suka membaca kisah bintang legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari," katanya yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesioanal satu hari kelak.

Najmudin Akmal, AMD, Cedera, ACL, Bangkit

Artikel Lain